Berita

Mansuh Felda Plantations, peneroka kaut untung

KUALA LUMPUR, 27 JUN – Mengapa Pakatan Rakyat mahu memansuhkan Felda Plantations?

“Felda Plantations berpusing-pusing mencari tanah di seluruh Malaysia terutamanya di Sabah dengan menggunakan nama Felda. Bila dapat tanah beribu-ribu ekar, mereka tidak guna sebagai rancangan tanah persekutuan, sebaliknya dijadikan tanah perladangan swasta biasa.

“Felda Plantations sebagai syarikat telah membeli tanah, memasukkan 60 peratus pekerja asing dan tanah itu diusahakan secara ladang biasa. (Felda Plantations mempunyai 87,000 hektar tanah di Sabah).

“Ia tidak diuruskan sebagai tanah persekutuan, malah keuntungannya ‘diserap’ dan ia tak semestinya sampai kepada peneroka walau pun kerajaan Barisan Nasional mendakwa kononnya keuntungan akan diagihkan kepada peneroka,” jelas Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli.

Dengan itu, katanya, satu-satunya cara untuk memastikan kembali kepada tujuan asalnya, iaitu memajukan peneroka dengan melatih dan mencipta kepakaran kepada generasi baru peneroka untuk bersaing dan membuka sektor perladangan di luar negara, adalah membatalkan Felda Plantations, salah satu anak syarikat Felda.

Ini lah yang yang dijanjikan dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat untuk memastikan setiap peneroka Felda mendapat hak mereka yang sebenar, tambah beliau.

Felda ditubuhkan pada Julai 1956 apabila Akta Pembangunan Tanah dikuatkuasakan. Sehingga sekarang Felda mempunyai lebih kurang 60 syarikat di bawahnya, 50 daripadanya aktif dan kebanyakannya membawa untung.

Antara anak-anak syarikat Felda adalah Felda Plantations, Felda Palm Industries Sdn Bhd, Felda Technoplant Sdn Bhd, Felda Agricultural Services Sdn Bhd dan Felda Farm Pruducts Sdn Bhd.

Justeru itu, Rafizi yang juga Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata Felda Plantations telah memburukkan keadaan sosio-ekonomi kepada generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, kerana konsep rancangan tanah persekutuan itu hanya ‘melekat’ pada generasi pertama sahaja.

“Felda seharusnya berada di barisan depan dalam persaingan perladangan berteknologi baru, tetapi tak perlu lah tertumpu di Malaysia sahaja sedangkan Felda sebuah syarikat besar, ianya boleh diperluaskan lagi ke luar negara,” katanya dalam satu wawancara dengan Roketkini.

Rafizi memberi contoh Petronas yang mengasah bakat dan peluang seterusnya menghantar bakat muda Malaysia ke luar negara untuk memperluaskan lagi syarikat.

“Felda adalah sebuah konglomerat yang tujuan utamanya wujud ialah membantu kebajikan peneroka. Bila tujuannya beralih kepada Felda Plantations, iaitu perladangan semata-mata, sudah tentu fokus dan tujuan asalnya terbengkalai,” katanya.

Jelasnya, kesemua gagasan ketika Felda ditubuhkan termasuk melatih peneroka menjadi moden, meningkatkan produktiviti peneroka dan sebagainya sudah lari dari fokus asal.

Antara langkah cadangan untuk kembali kepada matlamat asal adalah dengan memastikan “kepala-kepala” yang menguasai Felda Plantations mengembalikan tanah itu kepada Felda dan mengubah modus operandi daripada ladang komersil kepada tanah persekutuan.

“Walau pun orang akan kata ‘kamu bubar Felda Plantations dan bagi tanah dan sebagainya, nanti Felda tak dapat untung’. Bagi saya itu satu pembohongan.

“Pakatan hanya mahu bubar satu ‘arm of Felda’ yang sudah menyimpangkan Felda dari tujuan asalnya kerana sebagai konglomerat. Felda mesti jaga kepentingan peneroka,” tambah beliau – Roketkini.com

Ikuti wawancara Roketkini dengan Rafizi Rami dalam ruangan Wawancara