Wawancara

Program 100 hari Pakatan Rakyat mufliskan negara?

Wawancara Roketkini dengan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli

Antara tawaran Program 100 Hari Pakatan rakyat yang agak kontroversi adalah membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda. Apa maksudnya dan bagaimana ia boleh dilaksanakan?

Felda kini sudah tidak ubah seperti syarikat-syarikat perladangan yang lain. Felda Plantations itu hanyalah sebuah syarikat perladangan, mereka ambil tanah, bawa masuk hingga 60 peratus ekerja asing dan ia diusahakan secara ladang komersil, bukan secara tanah persekutuan dan untungnya tak sampai kepada peneroka walau pun mereka kata keuntungan itu akan diagih-agihkan. Ini yang jadi kemarahan dan kemelut generasi kedua dan ketiga Felda.

Felda Plantations diberi tanah beribu-ribu ekar oleh kerajaan-kerajaan negeri. Ia dimiliki oleh Felda Holdings, ia dimiliki secara bersama oleh koperasi, peneroka dan lain-lain. Nak bubar bagaimana?

Ada banyak cara, termasuklah contohnya dengan cara pihak pengarah urusan Felda Plantations boleh buat keputusan untuk serah semua tanahnya kepada Koperasi Felda dan buka permohoinan kepada generasi kedua dan ketiga Felda yang cukup syarat tertentu (yang akan kita gubal) yang boleh memohon tanah yang sebelum ini diusahakan secara perladangan oleh Felda Plantations dan akan diberikan secara plot, macam generasi pertama dahulu.

Sudah tentu isu yang mungkin timbul ialah tidak cukup tanah sebab generasi kedua dan ketiga Felda ini ramai. Ya mungkin tanah itu terhad tapi pada masa yang sama ia perlu memenuhi syarat tapisan hanya yang benar-benar layak akan dapat.

Pada kami pelaksanannya amat mudah, dari banyak-banyak yang tertulis dalam Buku Jingga, isu Felda Plantation lah yang paling mudah dilaksanakan kerana ia hanya melibatkan keputusan dalaman Felda sahaja, tidak melibat perjanjian dengan syarikat luar.

Lembaga pengarah Felda sekarang ini yang dipenuhi oleh orang-orang UMNO seperti Pengerusinya Tan Sri Isa Samad boleh buat keputusan untuk kembalikan tanah-tanah ini kepada Felda dan kita tukar modus operandinya daripada ladang komersil kepada rancangan tanah persekutuan.

Bagaimana kita nak buat? Kita buka permohonan ke seluruh negara, tetapkan syarat, malah syarat itu pun tak perlu sama dengan syarat bagi generasi pertama dulu sebab faktor perubahan semasa. Ladang pun sudah ada. Perinciannya lebih mudah daripada membuat atau meneruskan Felda Plantations.

Bagaimana Felda boleh memastikan peneroka mendapat keuntungan?

Ha, itulah masalahnya. Secara fundamentalnya dengan kepala otak orang-orang UMNO, ia adalah salah kerana Felda adalah sebuah rancangan tanah persekutuan. Tujuan utamanya apa? Tujuan untuk menyusun semula ekonomi masyakat melalui rancangan tanah. Dulu getah. Mula-mula dulu bagi tanah, tanam dan sekarang adakah kita puas hati tentang produktivitinya, teknologinya, industrinya? Sudah tentu tidak.

Sepatutnya Felda ambil untung dengan maksud keuntungan itu untuk memajukan golongan Felda, bukan ambil untung untuk buka syarikat lain. Itu secara fundamentalnya dan keleselurahan idea Felda Plantations telah lari dari tumpuan Felda yang asal.

Dalam minda pemimpin-pemimpin UMNO, seolah-olah keuntungan Felda itu terlalu eksklusif dengan peneroka Felda sedia ada. Mereka hanya tahu guna duit yang banyak untuk buka syarikat yang bermotif keuntungan yang terasing dari manfaat peneroka Felda. Mereka (UMNO) lupa dari mana datangnya kuntungan besar yang diusahakan oleh peneroak generasi awal. Ini tiada moral.

Mereka menggunakan alasan dan menuduh peneroka Felda ini tak produktif, maka mereka perlu mewujudkan entiti lain seperti Felda Plantations. Mereka terus melupakan bahawa penubuhan Felda adalah untuk reformasi masyarakat Felda dengan menjadikan mereka lebih maju.

Inilah perbezaan besar antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kita yakin bahawa peneroka ini jika dibantu betul-betul, mereka pasti boleh maju.

Jadi, jika begitu bagimana Felda nak buat untung? Tentulah dari duit yang dilarikan oleh Felda Plantations yang selama ini tidak kembali kepada Felda dan peneroka. Felda dan peneroka ini sepatutnya sudah lama untung dan dapat difokuskan untuk bantu dan bangunkan generasi kedua dan ketiga.

Bagaimana pula program yang ditawarkan untuk guru. Boleh jelaskan?

Sudah tentu kita belum tiba ke tahap mewujudkan blueprint, kerana itu akan jadi tugas utama kementerian Pendidikan/Pelajaran apabila kita ambil alih nanti, Insyallah. Itu juga persoalan prinsip dan fundamental, bagaimana PR menghargai profesion perguruan berbanding BN.

Mengapa imbuhan elaun RM500 sebulan itu dianggap penting? Kerana kita kena tarik minat mereka yang best of the best untuk profesion perguruan. Profesion perguruan tak sepatutnya menjadi profesion profesional pilihan terakhir. Hal ini agak sensitif, tetapi itulah kenyataan.

Ramai pilih menjadi guru kerana tak dapat pilih jurusan lain. Maka tindakan kita ini adalah permulaan untuk tarik minat mereka yang betul-betul berkebolehan dalam bidang perguruan, maka kita tak boleh lari dari isu gaji dan imbuhan.

Kita kena mula dengan mengangkat isu ini untuk tarik minat dan komitmen guru yang baru dan sedia ada. Ini juga mampu menjadikan profesion guru dilihat bagus sebagai kerjaya profesional dan dihormati oleh masyarakat. Akhirnya kita akan dapat guru yang berkualiti.

Di samping semua ini sudah tentu yang lebih penting adalah reformasi pendidikan. Memang semua sistem ini kena diperbetulkan. Cuma ia isu mana perlu dibuat dahulu. Jika kita nak overhaul system, contohnya nak hantar angkasawan ke bulan, soalan pertama ialah adakah kita sudah ada orang yang tepat untuk laksanakan tugas itu?

Jadi dalam isu ini, isunya ialah untuk menyediakan dahulu guru yang boleh deliver, maka untuk itu, tarikan untuk guru itu mesti jelas dan menarik. Jadi, ketika itu barulah kita mudah untuk laksanakan reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh.

Bagaimana dengan pengumuman kerajaan BN yang menjanjikan imbuhan kepada guru?

Apa yang ada dalam Buku Jingga tak boleh dibuat secara cut and paste macam BN buat. BN selepas 50 tahun masih tak faham bahawa masyarkat kita sudah lebih sofistikated dan lebih bijak. Jika dulu, memang apa yang BN buat ini orang tak akan sedar. Kita (PR) tak menganggap Buku Jingga ini adalah dokumen paling lengkap atau hebat, sebaliknya Buku Jingga ini adalah manifestasi kehendak rakyat yang lama terpendam selama 50 tahun dalam pemerintahan kerajaan BN.

Kita tak bimbang jika BN nak copycat Buku Jingga kerana ia hanya permulaan ke arah reformasi yang lebih utama. BN are just shooting themselves in the foot.

Bagaimana pula tentang hubungan parti-parti komponen PR dalam mendepani pilihan raya yang akan datang tak lama lagi?

Pada saya, hubungan PR semua tenang dan harmoni. Segala serangan BN kepada parti-parti PR adalah kerana mereka tidak pernah ada kerjasama ikatan yang ikhlas dalam BN sendiri. Oleh kerana itu amalan BN selama lebih 50 tahun ini, maka mereka sangka kerjasama dalam PR juga sama macam kerjasama parti komponen BN yang kucar-kacir, itu sama sekali salah.

Hubungan dalam PR ini adalah beyond hubungan politik, kerana kita memang menganggap hubungan antara parti komponen PR itu kerana kita kenal kekuatan dan kelemahan antara kita, kita saling memerlukan, malah kita sudah capai tahap duduk sama rendah berdiri sama tinggi, baik di kalangan pemimpin dan ahli parti.

Yang ini BN tidak faham kerana amalan dan proses kematangan politik mereka jauh berbeza, UMNO rules the BN. Mereka percaya pada propaganda mereka sendiri. PR tak begitu.

Memang ada perbezaan pendapat di dalam PR, tetapi budaya kematangan kita berpolitik jauh lebih baik dari BN. Perbezaan inilah yang mengeratkan kita dalam PR. Ini tak mungkin difahami oleh BN. – Roketkini.com