Budaya

Apa yang tidak kena dengan pusat komuniti kita? – oleh Prof Dr Mohd Tajuddin M Rasdi

Pemangkin kebudayaan yang baru: Pusat Pembangunan Komuniti

Bahagian Pertama

29 JUN – Dalam negara kita mengorak umur lebih separuh abad, kita masih lagi di takuk lama dengan slogan yang membela nasib satu etnik semata-mata.  Dasar kerajaan kini seolah-olah inginkan perbezaan besar di antara kaum etnik di Malaysia supaya kaedah ‘pecah dan perintah’ dapat diamali dengan berkesan.

Di Singapura, kerajaan di sana bertungkus-lumus membanting tulang empat kerat bagi menjayakan bangunan dan rangka pengurusan komuniti. Pusat komuniti dibina dengan banyak dan dilengkapi dengan baik bersama pengurusan yang bertanggungjawab.

Di Malaysia? Kita masih termenung memandang dewan serbaguna yang bagi saya boleh disifatkan sebagai ‘serba-tak-guna’ dari sudut pembangunan komuniti.

Esei ini mengkaji keberkesanan “dewan rakyat” atau dewan serbaguna kini yang juga dikenali sebagai balai raya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Sedang ia berdiri teguh, ia hanya menjadi ruang kosong  yang besar digunakan hanya untuk permainan seperti badminton, ping-pong, dan beberapa acara-acara tertentu.

Masyarakat Malaysia yang moden dan sentiasa berubah-ubah ini perlukan lebih dari apa yang disediakan oleh fasiliti yang ketinggalan zaman ini. Ianya begitu jelas daripada apa yang telah kita perbincangkan dalam esei-esei yang lepas bahawa kita memerlukan sebuah pemangkin kebudayaan untuk mendorong dan menggalakkan rakyat dan kaum etnik kita supaya hidup sebagai sebuah ’komuniti’.

Tiga ramuan

Terdapat tiga ramuan penting dalam  pemangkin baru ini supaya ia dapat wujud tanpa bersandar dalam konteks di negara ini.

Dari segi arkitekturnya, sebuah tempat untuk semua kumpulan etnik mestilah diadakan untuk ritual-ritual moden dijalankan seperti ’Hari Keluarga’, pemeriksaan kesihatan, taman permainan kanak-kanak, kelas-kelas muzik atau masakan, dan sebagainya.

Yang keduanya, program-program komuniti patut juga dianjurkan yang ’neutral’ dari segi budaya tetapi lebih penting untuk keselamatan, kemajuan diri, dan untuk  beberapa aspek yang berkaitan dengan pembangunan nasional.

Yang ketiga, dan ini adalah ramuan yang paling penting, seorang pengarah mestilah wujud bersama-sama dengan orang-orang yang bekerja untuk bersamanya untuk mereka ’kurikulum’ komuniti dan memastikan implementasinya.

Dewan serba-tak-guna?

Mula-mula, marilah kita menangani masalah mengenai arkitektur. Dewan raya, dewan orang ramai dan dewan serbaguna yang kini wujud, pada pendapat saya, sebenarnya adalah Dewan Sekali-Sekala-Raya, Dewan Orang-Tak-Ramai dan Dewan Serba-tak- Guna.

Idea mengenai sebuah ruang yang serba boleh untuk apa-apa fungsi boleh dilihat 100 tahun yang terdahulu, daripada ide Mies van der Rohe mengenai ’ruang universal’.

Idea itu logik, menarik, dan mudah; bina sebuah ruang besar yang tidak mempunyai kolum-kolum dalaman dan buatkannya cukup tinggi untuk menyesuaikan dengan apa-apa fungsi seperti sukan dan untuk sesebuah komuniti berhimpun.

Masalah dengan idea ini ialah bilik itu sekarang hanya boleh digunakan untuk dua perkara; sebuah perhimpunan komuniti yang jarang sekali dianjurkan dan permainan mingguan badminton.

Cubalah bermain catur dalam dewan besar itu. Cubalah pergi ke sana untuk bersembang-sembang dan lihatlah jika anda boleh melepasi pagar besinya. Dan jika anda berjaya melepasi pagar itu, dimanakah anda boleh duduk?

Fungsi utama siling dewan yang tinggi itu digunakan untuk permainan badminton. Untuk fungsi-fungsi lain, separuh daripada ruang siling hanya membazirkan tenaga penghawa dingin dan pencahayaan.

Ia memerlukan tenaga daripada lampu dan kipas yang kuat untuk sampai ke bawah yang berukuran 24 kaki atau lebih daripada siling yang tinggi itu.

Dan, mengapa pula kita menutup tingkap-tingkap dewan yang boleh memberikan lebih banyak pencahayaan dan pengudaraan? Adakah untuk mengelakkan angin daripada mengganggu bola tangkis badminton?

Maka dengan itu, hanya disebabkan oleh satu fungsi untuk permainan badminton, bangunan tersebut telah gagal untuk menarik fungsi-fungsi lain dan juga membuatkan fungsi untuk berhimpun tidak begitu bagus.

Bayangkanlah efek gaung daripada ruang tertutup dan isipadu ruang yang besar, yang menyukarkan seseorang untuk membuat sebuah pengumuman menggunakan speaker. Dengan itu, tipologi seperti ini mestilah dinyahkan.

Yang paling utama, sebuah pusat komuniti mestilah mempunyai sebuah kafeteria atau pun tempat makan yang mempunyai suasana seperti warung. Kafeteria adalah salah satu tempat yang penting dalam elemen sosial untuk berkenalan antara satu sama lain. Ia adalah sebuah entiti kebudayaan yang neutral memandangkan semua orang perlu makan.

Perpustakaan, tempat permainan, ruang letak kereta

Kemudian, sebuah ruang untuk perpustakaan serta tempat-tempat untuk pelajar-pelajar belajar, merupakan sebuah bantuan yang besar untuk anak-anak yang tinggal di rumah flat kos rendah.

Budaya membaca kita sangat lemah, bukanlah kerana anak-anak kita tidak suka membaca, tetapi kerana mereka tidak mampu untuk membeli buku-buku tersebut, tiada perpustakaan yang terdapat di kawasan perumahan, mereka tidak pernah berpeluang untuk meluangkan masa yang lebih di perpustakaan sekolah.

Mereka tidak mempunyai masa selepas sekolah untuk membaca buku di perpustakaan kerana perlu menghadiri sekolah agama pada sebelah petang dan kedua-dua ibu bapa mereka kurang membudayakan habit membaca buku sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Sebuah taman permainan yang bagus dan selamat serta tempat-tempat duduk di bawah pohon-pohon rendang akan menarik minat ibu-bapa untuk membawa anak-anak kecil mereka padanya dan ibu-ibu yang berada di sana akan bersembang hal-hal anak-anak dan kos sekolah yang semakin tinggi.

Sudah tentu, kita memerlukan ruang yang mempunyai banyak fungsi  tetapi bukanlah sebuah bangunan yang setinggi dua tingkat.

Ruang pentadbiran patut  disertakan bilik-bilik untuk seorang pengarah dan dua orang pembantu yang mempunyai ruang stor simpanan yang besar dan bilik untuk bekerja supaya dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti pameran-pameran dan hari keluarga.

Patut juga ada dua atau lebih bilik-bilik yang kecil untuk kelas-kelas dan aktiviti tusyen untuk kanak-kanak.

Tempat meletak kereta patut direka supaya ia boleh memuatkan ruang untuk khemah-khemah dan apa-apa struktur yang temporari.

Tempat duduk di luar perlu ada untuk diintegrasikan dalam lanskap yang sesuai untuk aktiviti terbuka ataupun aktiviti tertutup.

Bahasa arkitekturnya perlulah memasukkan vokabulari etnik serta material yang semulajadi seperti batu-batu, batu-bata, dan kayu balak yang disokong oleh struktur bingkai konkrit. Buatkan tempat itu seolah-olah tempat percutian, dan bukanlah seperti pusat sukan atau pun seperti sebuah kilang kecil yang telah lama ditinggalkan.

Saya melihat helaian-helaian besi-besi deck yang digunakan sebagai dinding dan atap yang melengkung yang ada pada dewan raya kini, dan saya andaikan ianya adalah jenis evolusi semula jadi sebuah dewan badminon yang bertukar kepada bengkel industri yang kecil!

Jangan jadikan dewan ala Putrajaya

Elakkanlah keinginan hati untuk membina komposisi simetri sebuah ’Putrajaya’ untuk jisim bangunan tersebut, tetapi buatkan ia asimettri dengan jisim yang berpecah untuk merendahkan skala bangunan itu untuk membenarkan pencahayaan dan pengudaraan masuk ke dalam bangunan itu.

Saya berpendapat, dengan beberapa cadangan yang telah di nyatakan tadi, barulah kita boleh hidup sebagai sebuah komuniti. – Roketkini.com

Penulis adalah Profesor Jabatan Seni Bina di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia

Cadangan rekabentuk Pusat Komuniti oleh Saudari Afzan Yas dari UTM