Berita

Bagaimana kerajaan BN membelanjakan wang kita III

KUALA LUMPUR, 29 JUN – Ketika rakyat menghadapi kesan kenaikan harga barangan dan inflasi, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya telah membelanjakan RM17 juta wang rakyat untuk lawatan rasmi sejak memegang jawatan Perdana Menteri.

Setiausaha Organisasi DAP Negeri Selangor Lau Weng San berkata wang RM17juta itu sepatutnya digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat seperti membina 4 hospital besar atau 6 sekolah.

“Malahan ianya boleh digunakan untuk menanggung sebahagian daripada subsidi bahan api,” katanya mengulas jawapan Jabatan Perdana Menteri semasa menjawab soalan tentang perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri di Dewan Rakyat kelmarin.

Lau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku berkata kerajaan pusat mesti memberi butir-butir bagaimana RM17 juta itu dibelanjakan dan sama ada ia melibatkan perbelanjaan pegawai-pegawai kerajaan yang turut menyertai lawatan rasmi berkenaan.

“Rakyat juga ingin tahu apakah hasil lawatan dan pulangan yang mampu dibawa balik oleh PM dalam setiap lawatan. Adakah pulangan dan hasil-hasil lawatan ini setimpal dan berbaloi dengan wang yang dibelanjakan dalam setiap lawatan?

“Adakah kos lawatan rasmi PM dan isterinya termasuk lawatan kedua-duanya ke majlis konvokesyen dan majlis perkahwinan anak mereka turut menggunakan wang rakyat?”

Lau menjelaskan bahawa pada ketika pemimpin-pemimpin Barisan Nasional hidup dalam keadaan serba mewah dengan mengguna pakai wang rakyat, pemimpin-pemimpin Pakatan rakyat pula hidup dalam keadaan sederhana.

Katanya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng masih menaiki kapal terbang tambang murah seperti AirAsia dan FireFly dalam menjalankan urusan rasminya untuk menjimatkan wang rakyat.

“Ini menunjukkan perbezaan yang begitu ketara antara BN yang hanya pandai bermain-main dengan cogan kata 1Malaysia dan PR yang bekerja keras, bersih dan jujur dalam pentadbirannya,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke dalam sidang media di Parlimen semalam bersama Ketua Muslimat PAS  Siti Zailah Mohd Yusof mengatakan pemimpin BN tidak pernah merasai kesusahan rakyat kerana tenggelam dalam kehidupan mewah dan boros mereka.

Beliau mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz di Dewan Rakyat yang mendedahkan kerajaan membelanjakan RM48.8 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan timbalannya.

Kiraan yang dibuat oleh Harakahdaily menunjukkan kos bayaran sewa bagi kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya kepada Perbadanan Putrajaya adalah lebih RM18,000 sehari, dengan bayaran bil elektrik RM5,704 sehari dan bil air RM1,092 sehari.

Kos baik pulih pula ialah RM60,000 sebulan. Jawapan Menteri tidak menjelaskan apa dan bagaimana RM60,000 sebulan digunakan untuk membaik pulih kedua-dua kediaman itu.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata beliau terkejut dengan perbelanjaan yang begitu besar.

“Saya tinggal bersama ibu bapa saya dan kami hanya membayar bil elektrik RM150 sebulan. Bil setahun elektrik rumah rasmi PM dan TPM boleh bayar boleh bayar untuk 100 tahun bil elektrik saya.

“Kalau bil air, di Selangor subsidi 20 meter padu, iaitu RM11, cukup untuk dua orang guna satu bulan,” tambahnya. – Roketkini.com