Berita

Penyertaan 30 peratus wanita lebih baik dilaksana dalam kerajaan

BUKIT MERTAJAM, 29 JUN – Mewajibkan penyertaan 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam adalah lebih berkesan untuk mencapai tahap kesaksamaan gender.

Ketua Wanita DAP Chong Eng berkata langkah kerajaan melaksanakan usaha 30 peratus wanita pembuat dasar dalam sektor swasta memang dipuji tetapi lebih baik jika ia diperkenalkan dalam sektor awam terlebih dahulu.

“Ini adalah kerana semua keputusan kerajaan memberi kesan besar kepada rakyat dan negara. Sebagai contoh, keputusan kerajaan berhubung penyertaan 30 peratus wanita untuk sektor swasta itu akan memberi kesan kepada pasaran serta sektor pekerjaan yang membabitkan lelaki dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan adalah 46 peratus di mana kebanyakan mereka berada dalam sektor pekerjaan gaji rendah.

“Kajian-kajian juga telah menunjukkan bahawa lagi tinggi sesuatu jawatan itu, lagi besar jurang pendapatan di antara wanita dan lelaki bagi jawatan yang sama. Kerana itu lah kita perlukan kuota 30 peratus wanita,” tambah beliau.

Chong Eng juga berkata jawatan-jawatan penting dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Menteri Besar tidak pernah dipegang oleh wanita.

Kaatnya, hanya 10 peratus wanita sebagai wakil rakyat berada dalam Parlimen manakala cuma 8 peratus di semua Dewan Undangan Negeri.

Daripada 148 datuk bandar dan presiden majlis tempatan, hanya ada empat wanita sahaja memegang jawatan berkenaan, ujarnya.

“Kerajaan Barisan Nasional nampaknya lebih mementingkan bola sepak daripada hak wanita, ibu dan kanak-kanak. Sebagai contoh, kerajaan membelanjakan RM569 juta untuk bola sepak sejak 26 tahun lalu berbanding hanya RM22.4 juta diberikan sebagai geran peruntukan kepada NGO-NGO yang menjaga 231 pusat penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengatasi masalah itu tetapi Datuk Seri Najib Razak telah memperlihatkan dirinya sebagai tidak ikhlas kerana hanya mahu melihat sektor swasta melaksanakan penyertaan 30 peratus wanita, dan bukan dalam pentadbiran kerajaannya sendiri. – Roketkini.com