Rencana

Sosialisme, Islam dan penindasan BN – oleh Er Teck Hwa

29 JUN – Sosialisme dan Islam banyak perbezaannya, namun ada juga persamaan-persamaan tertentu yang membolehkannya mempunyai ikatan yang rapat. Sosialisme yang bukan komunisme berkait dengan keadilan sosial.

Islam turut memperjuangkan keadilan sosial. Islam sentiasa menekankan perjuangan dan pengorbanan yang luar biasa untuk melawan status quo yang menindas umat manusia.

Sepertimana kata-kata Saidina Abu Bakar RA sebaik sahaja beliau dipilih menjadi Khalifah pertama selepas Nabi Muhammad SAW:

Lihatlah kami memikul beban yang berat sebagai kewajipan seorang pemimpin. Kami bukanlah orang yang paling utama di antara kamu. Sangat perlu kami mendapat nasihat dan batuan dari kamu semua.

“Apabila kami berbuat kebaikan, bantulah kami. Apabila kami tersesat, berilah ingatan kepada kami. Berkatalah yang sebenarnya kepada seseorang yang diserahi kekuasaan pemerintahan, itulah ertinya kesetiaan, tidak berbuat demikian bererti khianat.

“Dalam pandangan kami, orang yang kuat adalah sama dengan yang lemah. Kepada kedua-duanya, kami hendak memberikan keadilan”.

Bagi saya, ucapan ini jelas sikap keadilan tanpa memilih ras dan tahap kekayaan sebagai keutamaan. Dengan apa yang saya faham sedikit-sebanyak dari ajaran Islam, hal ini sebenarnya sama seperti aspirasi Al-Quran berkenaan layanan yang sama perlu diberikan kepada semua rakyat dan keturunan pemerintah sekali pun.

Sebagai contoh, Islam mempunyai sistem zakat, di mana yang kaya akan mengeluarkan zakat agar orang miskin, orang tua, orang yang sakit, balu, anak yatim dan sebagainya, dapat dibantu kewangan mereka. Zakat adalah wajib dalam Islam.

Dan membantu golongan susah merupakan antara ciri sosialisme. Adakah ia menjadi satu kesalahan atau dosa untuk membantu golongan yang kurang upaya, miskin dan memerlukan bantuan?

Zalim terhadap pejuang rakyat

Tindakan kerajaan Barisan Nasional menahan 30 anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kononnya kerana memerangi Yang di-Pertuan Agong adalah usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak.

Ia juga merupakan tindakan yang menolak perjuangan kebajikan dan juga menolak ajaran Islam itu sendiri.

Pemerintah BN mengatakan mereka adalah sebuah kerajaan berkebajikan. Namun, dengan terjadinya kejadian ini telah membuktikan bahawa mereka sebenarnya menolak kebajikan dan tidak menghormati agama Persekutuan.

Adakah mengedar risalah segala kepincangan dan keburukan pemerintah yang zalim boleh dikatakan sebagai memerangi Yang Di-Pertuan Agong? Senjata apakah yang mereka bawa sehingga perkataan “memerangi” telah digunakan?

Inilah satu lagi usaha yang untuk menghalalkan tindakan pemerintah, terutama dalam ketakutan menghadapi kebangkitan rakyat dan tahap celik politik terhadap kepincangan yang ada sekarang ini.

Tambahan lagi, untuk menyamakan kempen “Udah La Tu…Bersaralah BN” anjuran PSM dengan Himpunan Bersih 2.0 merupakan satu keputusan yang sangat tidak tepat. Kempen PSM ini merupakan satu kempen yang telah dirancang sejak sekian lama di mana kempen ini membawa satu matlamat agar rakyat tahu bahawa sudah sekian lama BN membohongi rakyat.

PSM parti sah, bukan komunis

PSM adalah sebuah parti yang berdaftar secara sah dan amat terbuka. Ia adalah parti berideologi sosialis. Ia tidak menganggap diri sebagai komunis. Tiada agenda yang tersembunyi melainkan segalanya diketahui umum. Mesyuarat mereka terbuka kepada sesiapa saja dan tidak ada istilah yang bernama rahsia.

Memang komunisme suatu ketika dahulu menjadi ancaman. Tetapi hari ini dunai sudah menolak komunisme. Ideologi itu sekarang hanya dilihat sebagai satu daripada sistem ekonomi dan tidak ada kena mengena dengan keganasan zaman dahulu.

Sampai bila kita mahu terus menerus menipu rakyat tentang komunis? Tidak kah pihak polis tahu bahawa kerajaan kita pun telah menjalin hubungan yang amat baik dengan beberapa negara yang mengamalkan fahaman komunis seperti China dan Vietnam.

Berapa orang pelabur kita yang telah mati ketika berurusan di negara China? Berapa orang yang telah menjadi mangsa kekejaman rakyat China yang tegar fahaman komunisnya sewaktu melancong ke negara itu?

BN menuduh PSM cuba menyebar fahaman komunis, namun dalam masa yang sama memberikan warga-warga negara komunis keluar masuk dalam negara kita, sama ada untuk berniaga, belajar atau apa sahaja.

Adakah pemerintah BN berani untuk memutuskan segala bentuk hubungan termasuk hubungan dagangan dengan China semata-mata kerana negara itu mengamalkan fahaman komunis? Beranikah kerajaan untuk menghantar pulang warga Vietnam yang bekerja di sektor perindustrian kerana negara itu mengamalkan fahaman komunis?

Sanggupkah kerajaan BN menarik balik pelaburan Malaysia di negara-negara komunis?

Menghasut rakyat?

Sememangnya PSM “menghasut” tetapi “hasutan” mereka adalah agar rakyat menolak BN yang selama ini telah menindas dan meratah segala hak rakyat miskin.

“Hasutan” itu tidak ada kena mengena dengan Agong atau keselamatan negara tetapi ia bertujuan untuk menyelamatkan negara. Menyelamatkan negara dari dibaham oleh UMNO-BN yang sentiasa lapar dan tamak mengaut kekayaan negara.

Dan dengan memegang ideologi sosialis yang bertujuan membantu orang miskin, ia tidak akan menjadikan seseorang itu derhaka kepada negara. Sebaliknya, semangat sosialisme untuk membantu orang yang daif dan yang dipinggirkan, boleh membuatkan seseorang itu menjadi Muslim yang baik. – Roketkini.com

Penulis adalah Ahli Parlimen DAP Bakri