Berita

Kedai Rakyat 1Malaysia hanya simbolik

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Kedai Rakyat 1Malaysia hanyalah usaha Datuk Seri Najib Razak untuk mencari publisiti bagi menonjolkan dirinya sebagai orang yang prihatin kepada kesusahan rakyat.

Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw berkata usaha itu hanya simbolik semata-mata, dan rakyat Malaysia perlu membezakan di antara simbol dan hakikat.

“Simbolik Najib mungkin berjiwa rakyat, tetapi hakikatnya dan kesan yang perlu dipersoalkan rakyat ialah: keuntungan itu memihak kepada kroni atau pun atas desakan kerajaan terhadap kroni supaya menurunkan harga?

“Jika harga turun, siapa bayar? Kerajaan beri subsidi? Duit kerajaan itu wang rakyat,” katanya kepada Roketkini.

Pada 22 Jun lalu Najib telah ‘mengilhamkan’ projek Kedai Rakyat 1Malaysia yang diuruskan Mydin Mohamed Holdings di kawasan Kelana Jaya di mana barangan-barangan yang dijual dikatakan lebih murah berbanding pasar raya lain.

Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong turut mempersoalkan sama ada komitmen dan kualiti pekerja di Kedai Rakyat 1Malaysia itu sama tinggi dengan pekerja di pasar-pasar raya besar.

”Itu pun jika kerajaan benar-benar bersih. Jika ikhlas dan jujur, tekanan inflasi dalam negara mungkin dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau juga mengaitkan kenaikan tarif elektrik sebagai punca kepada kenaikan harga barangan yang menyebabkan munculnya Kedai Rakyat tersebut.

Jelasnya lagi, publisiti yang diberikan oleh pakar dakyah Perdana Menteri terlalu gah, terutamanya berkaitan pengggunaan simbol nombor ‘1Malaysia’.

“Orang ramai hendak mengetahui sama ada semua simbol ini betul-betul berjiwa rakyat dan memberi manfaat kepada majoriti, bukan hanya untuk memelihara segerombolan kroni sahaja,” katanya. – Roketkini.com