Rencana

Mengenali DAP: Bahagian Keenam

DAP dan demokrasi sosial

Apabila Karl Marx meletakkan ideologi komunis sebagai asas untuk pembebasan insan yang diharapkannya dapat meruntuhkan sistem kelas pada abad ke-19, musuh politiknya pada masa itu seorang anarkis Mikhail Bakunin telah lebih awal meramalkan bahawa komunisme Marx akan melahirkan “kelas baru” yang bakal mewujudkan “rejim yang paling aristrokratik, zalim, bongkak dan hina”.

Bakunin sendiri adalah penentang kapitalisme tetapi beliau sudah menghidu kelemahan ideologi anti-kebebasan komunis yang berteraskan penguasaan parti terhadap rakyat.

Kekejaman rejim komunis bermula dari Lenin dan disempurnakan oleh Stalin dan kemudiannya oleh Mao Zedong, serta anak-anak buah mereka di Albania, Jerman Timur, Hungary, Bulgaria, Poland, Czechoslovakia dan banyak lagi negara lain di benua Amerika Selatan, Afrika dan Asia.

Ini termasuk rejim Pol Pot yang mengepalai Khmer Rogue yang membunuh lebih sejuta rakyat Kemboja kerana mahu memulakan dunia baru dengan kalendar Tahun Sifar komunisme dengan memenjara, menyiksa dan membunuh sesiapa sahaja yang boleh bertutur bahasa asing, pernah bekerja dengan syarikat asing dan berbagai “jenayah” anti-revolusi.

Gejala komunisme

Marx menyatakan bahawa “ahli falsafah hanya mentafsirkan dunia, apa yang perlu ialah mengubahnya”. Suaranya radikal tetapi apa yang Marx hasilkan, sama ada disengajakan atau tidak, ialah satu kepercayaan baru yang lengkap dengan “nabi” dan “ulamak”nya serta jaminan masa depan dalam bentuk syurga pekerja.

Marx juga mencipta istilah “kapitalisme” untuk menunjukkan kezaliman “modal” yang didakwanya menindas pekerja dengan melihat kesan-kesan sampingannya sahaja tanpa mempedulikan kejayaan menegakkan hak asasi dan kebebasan, menaikkan taraf hidup dan kemakmuran, dan menjamin keadilan melalui undang-undang yang berasaskan fitrah manusia yang semulajadi.

Kegagalan memahami pasaran bebas – yang berteraskan kebebasan – menyebabkan ramai penganut komunisme mudah keliru.

Sejak lebih separuh abad, purata jangkaan hidup di negara membangun meningkat daripada 46 kepada 64 tahun. Sejak 1950, kadar kematian bayi menurun daripada 18 peratus kepada 8 peratus. Kadar buta huruf jatuh daripada 70 peratus kepada 25 peratus. Sejak 1970, kadar kebuluran dunia berkurangan dari 29 peratus kepada 23 peratus (kira-kira 100 juta orang).

Kebanyakan negara ini mengamalkan sistem pasaran bebas dan demokrasi, walau pun masih dalam keadaan serba kekurangan. Ini adalah penemuan pengkaji politik dan ekonomi Sweden Johan Norberg yang turut mendapati bahawa negara-negara yang diperintah secara demokratik dan menghormati hak asasi semakin bertambah.

Hari ini ada 120 negara demokratik dengan jumlah penduduk keseluruhan 3.5 bilion orang.

Sedekad lalu, negara-negara paling liberal khususnya di Eropah Barat dan Utara mempunyai kadar pertumbuhan tahunan 2.27 peratus sedangkan negara paling kurang liberal 1.45 peratus.

Negara-negara paling liberal juga mempunyai tahap kemiskinan 60 peratus lebih rendah daripada negara-negara yang paling kurang liberal.

Hubungan di antara kebebasan ekonomi dan kebebasan politik ditunjukkan oleh warganegara yang mempunyai hak untuk berdagang di peringkat antarabangsa, berpeluang empat kali ganda untuk turut menikmati kebebasan politik berbanding mereka yang tidak mempunyai hak untuk berdagang.

Perdagangan bebas yang dibenci oleh komunis sebenarnya memberi peluang kepada negara miskin untuk meningkatkan taraf dan akhirnya akan bersama tahap negara maju.

Sebaliknya Rusia sebagai pengeluar bijiran terbesar di dunia sebelum 1917 dihancurkan oleh eksperimen Lenin dan Stalin melalui sistem pertanian kolektif yang melanggar hukum semula jadi ekonomi yang berasaskan permintaan/penawaran dan insentif.

Lebih lima juta rakyat Rusia mati kebuluran di antara 1920-an dan 1930-an sahaja. Namun, lebih 12 juta diselamatkan daripada maut melalui bantuan makanan dari negara-negara bukan komunis Barat atas nama kemanusiaan.

Mulai tahun 1959 hingga 1962, antara 20 hingga 30 juta rakyat China mati kebuluran kerana Mao mahu melompat tinggi menyaingi negara Barat melalui sistem pertanian kolektif. Apabila pengganti Mao menghentikan eksperimen sosialisnya, pengeluaran bijirin meningkat 12 peratus setiap tahun sejak akhir 1970-an walau pun cuaca buruk melanda China pada tahun 1980.

Kesederhaan pilihan DAP

Menyedari keadaan ini, DAP memilih sosialisme dalam bentuk sederhana kerana terasnya adalah demokrasi dan kebebasan yang merangkumi keadilan sosial serta hak dan peluang saksama.

DAP menolak komunisme kerana telah terbukti ia adalah ideologi yang kadang kala sedap didengar propagandanya tetapi penderitaan rakyat sering menjadi hasil amalannya.

Menurut Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, DAP bertunjangkan ideologi demokrasi sosial yang memperjuangkan keadilan sosial, kesamarataan peluang (equality of opportunity), kebebasan dan solidariti.

Katanya, demokrasi maksudnya kita membawa obor perjuangan kita melalui sistem pilihanraya dan bukannya melalui sebarang cara yang tidak mengikut lunas perlembagaan.

Hakikatnya, DAP bertanding dalam sistem pilihanraya di Malaysia sejak tahun 1965 lagi dan walau pun sering kali bersaing di atas padang yang tidak sama rata, DAP tetap menerima setiap keputusannya.

“Mungkin prinsip-prinsip yang saya perkatakan tadi terlalu abstrak bagi masyarakat umum. Namun keadilan sosial boleh ditakrifkan sebagai keadilan untuk masyarakat dari segi layanan, pertimbangan dasar dan bantuan kepada mereka yang miskin dan terpinggir tanpa melihat warna kulit dan latarbelakang agamanya.

“Adakah prinsip-prinsip ini bertentangan dengan ajaran agam Islam? Jawapannya tentu tidak! Perdebatan dalam perkara ini sering menjadi hangat di Dewan Rakyat. Setiap kali Ahli Parlimen DAP bangun menimbulkan isu ini, ada sahaja YB dari UMNO yang bangun yang cuba memutar-belitkan bahawa DAP menentang bantuan kerajaan untuk orang Melayu.

Smash ini cukup mudah dibalas. Sekiranya prinsip ini dipratikkan, ramai yang mendapat bantuan itu terdiri daripada masyarakat Melayu juga yang benar-benar memerlukannya. Perbezaannya, golongan Cina dan India atau apa-apa kaum yang lain yang juga memerlukan bantuan tetap diberi perhatian.

“Adakah masyarakat Melayu di akar umbi akan berasa dengki? Saya cukup yakin tidak,” jelasnya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah menjelaskan bahawa DAP mahu kepada kesamarataan dari segi peluang – peluang untuk belajar di universiti, peluang untuk mendapat biasiswa, peluang untuk berniaga, peluang untuk menduduki apa-apa jawatan penting dan peluang untuk berjaya dalam segala aspek hidup.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO menggunakan alasan bahawa orang Melayu masih di belakang dalam pelbagai aspek dan tidak mempunyai daya saing dengan kaum-kaum lain dan justeru itu memerlukan “perlindungan” daripada kerajaan.

Demokrasi sosial rapatkan jurang kaya-miskin

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong pula menjelaskan istilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digunakan buat kali pertama oleh Lenin sebagai pemerintah Soviet Union pada tahun 1920-an.

Sistem komunis Soviet pada masa itu menggalakkan perdagangan dan keusahawanan untuk membolehkan Rusia membangunkan ekonomi yang telah pincang. Tujuannya ialah merapatkan jurang di antara miskin dan kaya.

Walau pun sistem itu kemudian diubah kembali kepada kuasa penuh kerajaan komunis di bawah rejim Stalin, idea dasar itu menjadi popular di kalangan kiri sederhana di Eropah dan Amerika Utara.

Ia dilihat sebagai jalan keluar dari pertikaian sistem kapitalis dan komunis, jalan tengah untuk memenuhi keperluan majoriti rakyat. Dasar itu yang menolak sistem komunisme dan berhati-hati dengan system pasaran menjadi satu daripada tonggak utama demokrasi sosial.

Malangnya, kata Liew, idealisme demokrasi sosial untuk memastikan kesaksamaan peluang dalam masyarakat, telah dirampas oleh elit pemerintah di Malaysia untuk menghalalkan diskriminasi berasaskan perkauman.

Dalam usaha menyebarkan ideal demokrasi sosial di Malaysia, DAP memperlihatkan diri sebagai parti untuk semua kaum, dengan penekanan dibeirkan kepada peningkatan tahap kemahiran dan kehidupan golongan kelas rendah dan pertengahan.

Demokrasi akan hanya berkembang jika kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan Melayu miskin yang nama mereka digunakan oleh elit pemerintah untuk mengaut jutaan ringgit daripada kekayaan negara, mula hidup dalam keadaan yang lebih baik berbanding yang ada.

Catatan Liew membawa kepada satu gagasan ideologi DAP yang berteraskan kepada hakikat sebenar persekitaran masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dalam Deklarasi Tanjong 1991, “DAP tetap menentang sistem-sistem bersifat menindas yang ada hubung kait dengan komunisme Soviet dan lain-lain negara di blok Eropah sepanjang era selepas Perang Dunia Kedua. Kami mengecam semua negara sama ada kapitalis atau komunis yang mencabuli hak asasi manusia, demokrasi dan hak menentukan masa depan sendiri.” – roketkini.com

*Rencana ini dipetik dan disesuaikan dari buku “Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP)” karya Wan Hamidi Hamid. Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama dengan harga RM15 senaskah

Akan datang: Bahagian terakhir – siapa komunis?