Berita

FDI: Jangan adakan angka yang tiada, kata Tony Pua

PETALING JAYA, 1 JULAI – DAP gembira jika pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia meningkat demi kebaikan semua rakyat tetapi DAP menolak putar belit angka-angka oleh kerajaan Barisan Nasional untuk membohongi rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata angka-angka peningkatan FDI dalam kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed baru-baru ini adalah terlalu besar berbanding dengan FDI sebenar yang masuk ke negara ini.

Dalam jawapan kepada beliau di Dewan Rakyat pada 16 Jun lalu, Mustapa mendakwa:

“Dari segi pelaburan asing, saya ingin berkongsi maklumat Ahli Yang Berhormat bahawa untuk tiga bulan pertama jumlahnya RM11 bilion berbanding RM29 bilion tahun lepas. Bermakna pada tahun ini prestasi pelaburan asing adalah amat menggalakkan berbanding dengan prestasi tahun lepas.”

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata semakan dengan laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mendapati jumlah FDI untuk 2010 sebanyak RM29 bilion dan untuk tiga bulan pertama tahun ini sebanyak RM11 bilion itu hanya pada tahap “diluluskan” sahaja, dan bukan FDI yang sebenar.

Malah, katanya, dalam keadaan “diluluskan” itu pun, perangkaan MITI menunjukkan FDI bagi tiga bulan pertama tahun ini hanya berjumlah RM4.6 bilion, dan bukannnya RM11 bilion sebagaimana yang didakwa oleh Mustapa.

“Malah, dengan maklumat terkini dari laman web itu yang turut menyertakan angka-angka bulan April untuk FDI, iaitu bagi empat bulan pertama tahun ini, jumlah “diluluskan” hanya RM9 bilion, iaitu masih kurang daripada apa yang Menteri katakan untuk tiga bulan pertama.

“Datuk Mustapa perlu jelaskan perbezaan angka yang amat ketara itu supaya rakyat Malaysia dan pelabur asing tidak keliru dengan angka-angka yang bertentangan.

“Pembuat-pembuat dasar pula perlu mengukur kemajuan iklim pelaburan Malaysia dengan lebih tepat lagi,” tambah beliau.

Pua mencadangkan MITI supaya menambah maklumat untuk memastikan bukan sahaja FDI yang “diluluskan” dinyatakan dalam laman webnya, malah perlu ada FDI yang “sebenar” yang dibawa masuk ke dalam negara ini selepas diluluskan.

Ini adalah kerana sejak bertahun-tahun lamanya kerajaan telah membuat pengumuman tentang projek-projek pelaburan yang telah “diluluskan” tetapi gagal dibawa masuk ke Malaysia, ujarnya.

Menurutnya kerajaan perlu konsisten dan telus dalam menyediakan angka-angka sebenar kerana sebarang usaha untuk memutarbelitkan perangkaan akan mencerminkan iklim pelaburan negara yang boleh mengakibatkan salah dasar serta hilang daya tarikan ekonomi untuk jangka panjang. – Roketkini.com