Budaya

Cuci sampai bersih – oleh Mazir Ibrahim

Jam menunjukkan sudah hampir 10 malam, tapi bahang panas pada petang tadi masih menghangat, belum ada tanda-tanda mahu reda. Aku merapatkan kereta supaya dekat dengan pagar rumah, ada paip air, dari situ aku akan menarik paip untuk mencuci kereta.

Sedang asyik mencuci, aku putus berkhayal dan menoleh-noleh.

“Halo bos, sudah gelap mau cuci kereta.”

Baru aku perasan, Siga bersama seekor anjingnya singgah lalu di depan rumah aku.

“Eh, Siga, tak ada lah, cuci-cuci sikit, mau ambil angin juga. Awak apa khabar? Sudah seminggu tak jumpa, sibuk kah? ” kata ku.

Sambil menarik-narik anak anjingnya, Siga menjawab:

“Saya ada sini juga, sudah tiga hari kita tidur di rumah mentua. Ini saja-saja bawa dia, sudah lama ini puppy tak dapat angin,” balas Siga sambil menunjukkan anak anjingnya. “Haha…macam you juga la, mau ambil angin.”

Aku turut ketawa. Labun kami hanya yang umum-umum, tentang sampah, tentang paip air dan tentang anjing.

Siga ini jiran dari blok yang berlainan dari lorong rumah aku. Dia seorang peniaga, tapi sejak lebih setahun aku kenal, dia tak pernah ceritakan barang perniagaannya. Aku tak pula bertanya, mahu dia yang berkongsi cerita.

“Wah, malam-malam borak!” Perbualan kami terhenti. Abang Hamid pula singgah. Dia menyendal kaki motosikalnya dan turun.

“ Assalamualaikum, apa kabar?”

Aku dan Siga bersalaman dengan Abang Hamid. Nampaknya, kerja mencuci aku ini tak akan ke mana.

Siga: Abang Amid, apa malam-malam bikin, ronda-ronda ka?

Hamid: Baru balik kedai, beli rokok. You apa khabar Siga?

Tak sempat Siga jawab.

Hamid: Ini Bersih apa cerita? Tak sudah-sudah nak bikin kacau.

Dia merungut.

Siga: Itu la, itu polis sudah bilang jangan pergi. Bahaya ini.

Aku: Apa yang bahayanya pergi Bersih?

Hamid: Ala, tak kan kau tak tahu, ni saja je dia orang nak buat kecoh.

Siga: Ya la, apa mau bikin Bersih. Tak ada guna lawan sama itu kerajaan, sama polis. Kita duduk diam-diam sudah la. Nanti itu semua orang tak bole bikin kerja, bisnes tak da jalan. Susah kita.

Hamid: Patut tangkap je sebelum hari dia orang turun demo.

Mereka merungut bermacam-macam cerita. Abang Hamid seorang pesara kerajaan. Rumahnya berhampiran dengan rumah aku, anak dia dan anak aku berkawan. Jika kelapangan kami selalu melepak sambil memerhatikan anak-anak kami bermain di padang.

“Kau rasa macam mana?” Abang Hamid tiba-tiba bertanya aku.

Aku pula bertanya kembali. “Kita tahu ke kenapa dia orang nak buat Bersih?”

Siga: Sebab dia orang mau kacau itu kerajaan la.

“Mana you tahu itu orang mau kacau kerajaan?” Soal aku lagi.

Hamid: Dah dalam surat khabar ada, polis dah dapat cekup barang-barang komunis. Bahaya tu.

Siga: Ya la.

“Tak kisah la apa surat khabar cakap atau polis dapat. Awak semua tahu kah kenapa dia orang mahu Bersih?” aku ulangi soalan yang sama.

“Habis tu, kalau bukan nak kacau kerajaan, dia nak buat apa?” soal Abang Hamid.

“Dia orang ni terpaksa turun buat demo, tak ada pilihan sebab SPR sampai hari ni tak betulkan sistem pilihan raya kita. Abang Hamid tau ke apa yang Bersih nak buat”?

Hamid: Apa dia?

Aku: Alahai bang, tak kan tak baca internet. Kan kat rumah abang ada internet?

Hamid : Tak tau pulak aku. Tapi polis dah cakap benda tu bahaya, bole jadi kacau bilau, kan Siga? Itu kan selalu disebut dalam Utusan , Berita Harian, TV3…

Abang Hamid memancing Siga yang sudah mula diam. Memang Siga diam, tak menyahut soalan Abang Hamid pun. Dia seperti pura-pura tak dengar sambil memerhatikan anak anjingnya.

“Abang Hamid balik baca la Malaysiakini ke, Malaysian Insider ke, apa-apa la. Nanti tau apa cerita. Kurang-kurang boleh banding berita dia orang dengan Utusan, Berita Harian tu. Jangan dengar sebelah pihak saja.

“Jangan la abang buat lawak zaman-zaman ni. Zaman tak de internet dulu boleh la kita bergantung dengan surat khabar yang ada. Sekarang lain bang. Kalau dah tahu apa Bersih buat, barulah kita timbang nak sokong atau tidak. Jangan main serbu aje,” tambah aku.

Abang Hamid agak tersipu-sipu. Nak mengaku tak pandai internet, dialah yang selalu cerita kepada kami tentang keputusan bolasepak dan badminton yang terkini yang diperolehinya dari laman-laman web.

Bila kami semua terdiam bak malaikat lalu, aku teruskan mencuci kereta ku yang belum bersih. – Roketkini.com