Berita

Demonstrasi haram dan ganas: UMNO baling batu sembunyi tangan.

GEORGETOWN, 3 JULAI – Kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang terkejut dengan pembohongan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Zainal Abidin Osman yang menafikan UMNO tidak terlibat dalam demonstrasi ganas di sekitar pulau Jumaat lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata Zainal Abidin sepatutnya memohon maaf kepada rakyat atas penglibatan UMNO ini, bukan dengan menafikan pembabitan ahli-ahli parti tersebut dalam demonstrasi itu.

Demonstrasi haram itu di Komtar dan di JambatanPulau Pinang mengakibatkan kesesakan lalulintas sepanjang 10km dan dalam pada itu beberapa orang telah menyerang dua wartawan akhbar Cina, tambah beliau.

Menurutnya, rakaman video dan penahanan Senator EzamMohd Nor oleh pihak polis membuktikan pimpinan UMNO pengecut untuk menafikan keterlibatan ahli-ahli mereka.

“UMNO adalah penakut dengan menafikan penglibatan mereka dan mengingatkan saya kepada pepatah Melayu, baling batu sembunyi tangan”.

“Adakah Datuk Zainal akan menafikan bahawa Ezam adalah ahli UMNO dan dilantik oleh UMNO untuk menjadi Senator?” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata Ezam telah mengancam untuk tidak menunggu pilihanraya, sebaliknya mahu mengadakan lebih banyak demonstrasi haram untuk memaksanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri lebih awal.

“Di mana letaknya pernghormatan UMNO terhadap demokrasi dan mandate saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang sah?” tambahnya.

Seorang ahli perniagaan tempatan yang dikenali dengan nama Haffis yang berada berhampiran perhimpunan tersebut memberitahu Roketkini bahawa sejak kebelakangan ini Polis kerap mengadakan sekatan jalanraya yang menyusahkan orang ramai.

“Sekatan jalanraya yang diadakan di sini semakin menjadi-jadi, dan sepanjang hidup, kenderaan saya tak pernah digeledah sedemikian rupa, seolah-olah semua rakyat di Pulau Pinang adalah penjenayah,”katanya.

Polis menahan tujuh orang bersama dengan Ezam termasuk Ketua Perkasa Pulau Pinang Mohd Rizuad Mohd Azudin, walau pun mereka dibebaskan dengan begitu pantas.

“Ini membuktikan sekali lagi bahawa UMNO bekerjasama rapat dengan kumpulan perkauman dan anti-bukanMelayu.

“Gerakan, MCA atau MIC mesti menjelaskan mengapa mereka masih menyokong UMNO yang bekerjasama rapat dengan organisasi yang mengamalkan perkauman seperti Perkasa yang pernah melabelkan nenek moyang kaum Cina sebagai pelacur dan nenek moyang India sebagai pengemis dan anjing,” kata Guan Eng.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, satu lagi perkara keji ialah sikap media perdana termasuk The News Straits Times yang terlibat dengan pembohongan UMNO itu kerana tidak menyiarkan berita tentang penahanan Ezam oleh polis serta berita dua wartawan yang diserang oleh penunjuk perasaan.

Katanya polis mesti bertindak segera terhadap mereka yang melakukan kesalahan serius menyerang dua wartawan yang sedang menjalankan tugas seharian mengambil gambar.

Menurutnya, kedua- dua wartawan tersebut telah membuat laporan polis dan menyediakan bukti orang yang menyerang mereka dan kenderaan masing- masing.

“Kegagalan pihak polis untuk mengambil tindakan hanya akan mengesahkan lagi persepsi masyarakat terhadap sikap double- standard yang  pihak polis hanya akan bertindak terhadap penyokong Pakatan Rakyat tetapi bersekongkol dengan UMNO yang berarak mengganggu lalulintas atau memukul wartawan,” tambah beliau. – Roketkini.com