Berita

Gotong-royong bersihkan pasar ditahan polis.

KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Polis telah menangkap lebih 100 orang – kira-kira 30 masih ditahan atas tuduhan “menghasut” orang ramai menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Tuduhan menghasut itu merangkumi memiliki dan mengedar risalah Bersih 2.0 yang menuntut kerajaan mengadakan pilihanraya bebas, adil dan bersih, serta memakai baju-t berwarna kuning, sama ada dengan logo Bersih 2.0 atau pun tidak.

Pagi ini, Ahli Parlimen DAP Bakri Er Teck Hwa bersama pemimpin Pemuda DAP Johor Tan Hong Ping serta empat yang lain ditahan oleh polis kerana didakwa mempromosi Bersih 2.0 di Taman Sri Tebrau, Johor Bahru.

Er bagaimana pun menafikan tuduhan polis kerana beliau bersama rakan-rakannya hanya menjalankan kempen gotong-royong untuk membersihkan kawasan pasar di taman berkenaan.

“Saya sudah jelaskan kepada polis tapi mereka ini amat sensitif. Kami hanya buat gotong-royong, tema kami adalah Negara Bersih, Rakyat Bertuah, tetapi mereka tidak mahu dengar penjelasan kami,” katanya.

Difahamkan sekumpulan pasukan polis dating untuk menahan Er dan rakan-rakannya yang berbaju-T kuning sedang bergotong-royong membersihkan kawasan tersebut.

Sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu juga ditahan polis kerana didakwa menghasut orang ramai menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0.

Liu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Pandamaran ditahan polis selepas satu majlis ceramah di Hulu Selangor dan kemudian dibebaskan selepas memberi keterangan. – Roketkini.com