Berita

SPRM perlu tangkap ‘ikan besar’

KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Jika setakat menangkap “ikan bilis” sahaja, tidak ada apa yang hebatnya dengan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Mneurutnya, kenyataan Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang bangga dengan peningkatan tangkapan pemberi rasuah tidak memberi banyak makna kepada negara yang dilanda kemelut salah guna kuasa dan rasuah besar.

“Apa yang rakyat Malaysia mahukan ialah tindakan SPRM terhadap kes-kes rasuah berprofil tinggi, oleh pemimpin-pemimpin politik, dan pegawai-pegawai besar.

“Bukan semata-mata hanya menangkap pemberi-pemberi rasuah sahaja,” katanya kepada Roketkini.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan Hishammudin sebagai berkata penambahan penangkapan 74 pemberi rasuah dalam separuh tahun pertama ini adalah peningkatan ketara berbanding tahun lepas.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, beliau tidak membantah kenyataan Hishamuddin tersebut, tetapi mempersoalkan kenapa tidak pula dilaporkan tentang penangkapan penerima rasuah.

“Bagaimana pun, yang lebih penting, apa yang semua rakyat Malaysia ingin tahu ialah, apa tindakan terhadap penerima rasuah pula?

“Bagaimana pula SPRM menyelesaikan kes-kes rasuah yang melibatkan mereka yang menerima rasuah? Itu yang sepatutnya diberikan penekanan,” katanya.

Loke turut mempersoalkan sama ada kenyataan Pengarah SPRM itu berkemungkinan satu ‘perangkap’ atau mereka seolah-olah mahu menonjolkan betapa gigihnya mereka bekerja.

“…Dan yang lebih penting, ini akan menjadi persoalan dan tanda tanya kepada rakyat,” katanya. – Roketkini.com