Budaya

Apabila tangan menjadi kaki – oleh Aishah

Mengenangkan kata-kata A.Samad Said tentang penulis yang carma (cari makan), langsung teringat pada satu sajak yang bernuansa hampa oleh Muhammad Hj Salleh;

suaranya mengajarkan dengan kuasa ulang,

dengung dan rentaknya mengatur kehendak.

dialah penonton dirinya

yang memahami akan kesan suka kata

dan lonjak rasa di anak lidah.

 

kata-kata jadi banjir

kadang-kadang tiada tembok untuknya,

makna ditembusi bunyi

atau tertanam pada dasar diri,

kata hati tercerai dari kata mulut,

rasa berdosa disembunyi oleh kerajaan.

 

Sekarang di puncak usianya

Dia diagungkan oleh bunyi-bunyi merdu,

Tapi dikebumikan oleh kata-kata kosongnya sendiri.

 

tidak kukenalinya lagi

kawan lama

yang pernah peka pada bahasa

dan irama jiwa jejak lurus.

 

Ahli Politik, 23 November 1975

 

Kata orang dalam puisi kita temukan keperibadian penciptanya, kadang-kadang. Mungkin atas percaya-kata tidak mampu terlepas daripada kepentingan penciptanya, yang niatnya suci atau tercemar. Jika manusia itu produk sosial, bahasa pun tak lari jauh.

Biasa bagi penyair menzahirkan kehidupan ideal dalam puisi. Boleh jadi sebagai kritik sosial. Dan ada juga dibayar untuk mencipta kehidupan kedua, novel-novel cinta kasih, rindu dendam, rahsia kelambu, semuanya menjauhkan masyarakat daripada realiti. Penerbit buku suka ini. Bahasa yang dicari-cari ramai orang. Tak percaya? Cuba tanya PENERBIT BANGUNLAH HOI. Akhirnya, tulisan Kereko yang lebih dihargai lipas dan tikus.

Begitulah..

Ada yang ditidurkan dengan lullaby, ada yang dibangunkan dengan kata ala welstanchung – entah dari daerah mana dan ada yang melatah dengan p**kimak, kata kesat lagi keras bunyinya. Dan tidak banyak juga dengan kata laillaha ilallah. Tidak kurang juga dengan Zzzzzz. Macam-macam.

Burung juga masih kenal tempatnya, di atas dahan, anamatopeia yang tidak difahami melainkan bangsanya, mungkin itu lagu kebebasan. Bukan menuntut melainkan meraikan. Penyedap telinga bagi orang yang memikirkan masalah negara, agama, motosikal atau kekasih lari dikebas binatang.

Manusia itu sungguh pelik, di belakang katanya tajam kalah pedang, di depan manis daripada gula, Ya Tuan. Kata-kata ini berubah-ubah agar ia dapat digunakan lagi dan lagi. Jika terlalu jujur, tiada siapa-siapa yang ingin mendengar tetapi menuduhnya gila!

ini bukan daerah berterus terang.

janganlah bicara dengan suara percaya.

jangan menjawab soalan,

yang diminta hanyalah pujian dan ukir bahasa.

 

ini bukan daerah berterus terang

jikalau kau bercita-cita,

belajarlah menyembunyikan keris di belakang

dan menusuk di waktu memaling pandang

luangkan waktu untuk istiadat,

tekunlah menghantar dan menyambut tuan,

aturkan supaya selalu hadir di pertemuan rasmi

tapi jangan lupa, usaplah kepala anaknya.

sebelum pulang tanyakan harga kereta barunya

dan bagaimana dia mengilatkannya.

 

dalam sedikit masa

kau pula akan berpangkat,

merangkai huruf di belakang nama,

malah, lebih beruntung, juga di depannya.

Kau akan jadi ketua

Dan menuntut semua ini dari anak buahmu.

 

Ini Bukan Daerah Berterus terang oleh Muhammad Hj Salleh

 

Gila kerana terlalu berani. Gila kerana tak sedar diri. Tetapi itu jugalah Melayu, memilih untuk berdiam, diam itu emas katanya. Namun, di sisi lain, diamnya ada makna! Ingat-ingat pesan Usman Awang, merendah bukan menyembah, dan hebat amuknya (Melayu) tak kenal lawan.

Dan apabila tangan menjadi kaki di bumi, ia menusuk lawannya dengan peraturan sendiri. – Roketkini.com

NOTA PENGARANG:

  • Dalam satu majlis pada Ahad lalu, Sasterwan Negara Datuk A Samad Said mahu para intelek berhenti bersikap “carma” (cari makan) untuk menjadi berani menegaskan pendirian dalam soal kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan. Baginya, para intelek termasuk penulis dan wartawan jarang sekali menyatakan pendirian terbuka kerana kebanyakan mereka adalah manusia “carma”. Sikap sedemikian telah mengakibatkan kebejatan biak berkembang.
  • Empat Sasterawan Negara – Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan – dalam satu kenyataan semalam menyatakan: “Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi. Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini. Sajak “Unggun-Bersih” sepatutnya diterima sebagai sebuah puisi kontekstual penyair dengan anggota masyarakatnya, dan berada di atas perkiraan politik. Adalah menjadi salah satu peranan penulis untuk memindahkan denyut kehidupan anggota masyarakat ke dalam karya, atau menzahirkan dalam pelbagai bentuk manifestasi atau tindakan yang difikirkan sesuai oleh seseorang pengaran.”
  • Keempat-empat Sasterawan Negara itu turut menyuarakan tentang tangkapan pihak polis terhadap rakyat yang mahu kepada pilihan raya bebas, adil dan bersih: “Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan. Sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam”.