Rencana

Hishammuddin, polis perlu buktikan taat setia kepada Agong

Komentar Roketkini

6 JULAI – Tindakan polis yang terus menangkap, menghalang dan mengganggu sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan aman Bersih 2.0, termasuk memiliki t-shirt Bersih menimbulkan persoalan sama ada mereka benar-benar akur dan patuh kepada arahan Yang di-Pertuan Agong.

Sehingga kini tidak kedengaran maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri atau Ketua Polis Negara yang telah mengharamkan Bersih serta perhimpunan aman Bersih 2.0; sebaliknya polis terus dengan aksi-aksi menyekat kebebasan rakyat walau pun Seri Paduka telah bertitah mengenai perkara itu.

“Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.”

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan polis perlu menghormati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dengan menghentikan serta-merta tekanan terhadap rakyat.

“Jika titah Yang di-Pertuan Agong tidak dipatuhi, kedua-dua Hishammuddin dan pihak polis akan dianggap oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sebagai engkar, malah derhaka dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentu ini sesuatu yang tidak diingini dan Malaysia tidak sanggup melihatnya berlaku di bawah konsep 1Malaysia yang dibawakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya hari ini.

Kit Siang menambah bahawa titah Yang di-Pertuan Agong bahawa “setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan” mesti ditempatkan dalam benak fikiran pihak berkuasa, khususnya Menteri Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Polis Diraja Malaysia tidak harus lupa bahawa ia adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

Sebagaimana yang telah tercatat, lambang mahkota PDRM melambangkan polis yang “sentiasa menjunjung tinggi kesucian Islam dan kebesaran Allah, serta merupakan satu sanjungan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas pengurniaan gelaran ‘Diraja’ kepada pasukan polis”.

“Perkataan Allah dan Muhammad melambangkan Tuhan Yang Maha Esa dan Rasulullah sebagai pesuruh-Nya, juga melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara dan keimanan dalam pasukan PDRM yang sanggup berjuang demi menegakkan maruah negara, bangsa dan agama Islam serta sanggup berkorban diri”.

Menurut Kit Siang, rakyat Malaysia bimbang dan kecewa dengan Hishammuddin dan polis yang belum menunjukkan tanda-tanda menghormati titah Seri Paduka dengan tindakan-tindakan anti-rakyat yang masih diteruskan walau pun Najib sendiri akur dengan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di sebuah stadium.

Namun, Najib juga bersikap acuh tak acuh dengan kenyataannya yang menyerahkan kepada polis untuk menentukan sama ada mahu terus menghalang rakyat mengamalkan hak dan kebebasan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau menghentikannya serta-merta.

Rakyat Malaysia, walau pun tidak senang dengan sikap sesetengah pemimpin kerajaan dan pucuk pimpinan polis, tetap menaruh keyakinan bahawa Polis Diraja Malaysia akan akur dengan Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai membuktikan taat setia kepada Seri Paduka yang bijaksana, Kit Siang meminta Hishammuddin dan pihak polis supaya:

  • Melantik seorang pegawai kanan polis sebagai penghubung dengan penganjur Bersih untuk memudah dan memastikan perhimpunan aman Bersih 2.0 diadakan dengan baik dan sempurna tanpa sebarang kejadian tidak diingini;
  • Membebaskan semua orang yang ditahan sejak lebih 10 hari lalu yang berkaitan dengan Bersih 2.0 dan menggugurkan tuduhan-tuduhan terhadap mereka;
  • Membebaskan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah Ordinan Darurat; dan
  • Mengembalikan t-shirt Bersih dan barang-barang berkaitan dengannya yang telah dirampas oleh polis sebelum ini.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan turut meminta kerajaan membebaskan mereka yang ditahan berkaitan dengan Bersih.

Beliau kecewa kerana polis masih meneruskan tindakan menangkap dan mendakwa walau pun Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya segala isu diselesaikan melalui rundingan, sekali gus mengiktiraf Bersih 2.0 sebagai badan dan perhimpunan aman yang sah.

Jika bukan polis yang akur dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong, siapa lagi yang diharapkan untuk mendaulatkan undang-undang? Kod etika PDRM dengan jelas menyatakan taat setia yang tidak berbelah-bagi kepada Raja dan negara.

Malah, polis juga berikrar kepada rakyat untuk menjadi pasukan berwibawa dengan “melaksanakan segala kewajipan dan kuasa-kuasa dengan tegas, berani, adil dan saksama” serta “sentiasa memberi perkhidmatan yang mesra, cepat, betul serta terkini dan mengutamakan hak dan kepentingan masyarakat”.

Inilah harapan rakyat kepada polis. Rakyat bukan musuh polis dan rakyat bukan penjenayah. Jika rakyat akur dengan Yang di-Pertuan Agong, tentunya polis lebih lagi taat setia mereka bagi menjamin keamanan dan keselamatan rakyat. – Roketkini.com