Berita

Adakah kuasa Polis lebih agung dari Agong?

KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Walaupun Yang di-Pertuan Agong bertitah membenarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 diteruskan di stadium, polis tetap mengharamkannya serta melarang 91 orang termasuk penganjur Bersih dan pemimpin politik daripad amemasuki ibu kota esok.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Teresa Kok berkata tindakan polis itu tidak adil dan tidak menghormati kebebasan rakyat untuk bergerak dan berhimpun seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Yang di-Pertuan Agong sudah bagi greenlight, kenapa mahu sekat penganjur lagi? Adakah polis sekarang sudah berada di atas kuasa Agong?

“Selain itu adalah amat tidak adil untuk menghadkan gerak geri saya sebagai Ahli Parlimen Seputeh, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tindakan mereka (Barisan Nasional dan polis) ini adalah lebih teruk daripada rejim komunis,” katanya kepada Roketkini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan senarai 91 orang yang dilarang masuk ke Kuala Lumpur termasuk Teresa sendiri, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, serta hampir semua pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dan beberapa pemimpin Pemuda UMNO dan kumpulan ultra Melayu Perkasa.

Teresa berkata tindakan polis mendapatkan perintah mahkamah melarang 91 orang tersebut diperolehi dengan sewenang-wenangnya secara ex-parte (sebelah pihak) dan bersifat ultravires (melampaui kuasa yang dibenarkan)

“Jelas sekali halangan tersebut bertentangan dengan Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bergerak kepada semua Rakyat Malaysia.

“Lebih-lebih lagi, saya bekerja dan tinggal berhampiran pusat Bandar Kuala Lumpur. Tidakkah perintah mahkamah ini juga telah menjadikan saya seolah-olah di bawah tahanan rumah (house arrest)?

“Malah saya tidak diberi peluang untuk mencabar dan berdebat dengan mereka sebelum hakim membuat keputusan tersebut,” kata Teresa yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor.

Walau pun begitu, beliau berkata pada hari perhimpunan tersebut esok, beliau bersama para pimpinan Pakatan Rakyat akan berusaha untuk turun bersama ratusan ribu rakyat untuk berhimpun bersama.

Dalam masa sama Teresa menambah: “Yang pasti ramai ahli-ahli DAP sekitar Lembah Klang akan bersama menghadiri perhimpunan tersebut.

“Ini hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapa yang boleh menyalahgunakan kuasa untuk menafikan rakyat hak ini.”

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng), Zairil Khir Johari memberitahu Roketkini bahawa kerajaan UMNO-BN sedang berkelakuan seperti makhluk yang berkepala dua.

“Memang betul dan jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong sudah membenarkan perhimpunan diadakan secara aman dalam mana-mana stadium, dan ini juga nasihat Perdana Menteri Najib Razak.

“Namun demikian, rakan-rakan PM daripada Jemaah Menteri, terutama sekali sepupunya sendiri Hishamuddin yang menjawat sebagai Menteri Dalam Negeri, tidak pula faham titah Agong dan juga nasihat PM sendiri.

“Perintah larangan bagi 91 orang itu menimbulkan persoalan siapakah yang sebenarnya berkuasa di pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan?” kata beliau.

Menurut Zairil, rakyat Malaysia kini seperti berada di bawah rejim ‘negara polis’ di mana hak asasi untuk berhimpun secara aman tidak dibenarkan, dan di mana Ketua Pembangkang, Menteri Besar Kelantan, Ahli-ahli Parlimen dan EXCO Kerajaan Negeri pun tidak dapat dibenarkan masuk ke ibu kota.

“Keadaan ini sungguh menyedihkan. Walaubagaimanapun, saya yakin bahawa rakyat Malaysia akan bersama dan sebulat suara menyatakan tuntutan Bersih 2.0 secara aman esok,” katanya.

Beliau menambah bahawa daripada laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, jelas orang ramai yang dahulunya tidak mengambil peduli tentang politik sudah marah dengan tindakan-tindakan rambang kerajaan dan polis. – Roketkini.com