Berita

Rakyat perlu memilih – Malaysia yang Bersih atau kotor

KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Arahan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia kepada anggota-anggota polis yang telah bertindak ganas dengan menyerang orang ramai yang berhimpun secara aman sempena perhimpunan Bersih 2.0 adalah bukti pelanggaran hak asasi manusia.

Tindakan kejam itu bertentangan dengan saranan Suruhanjaya Diraja Mengenai Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005 yang mencadangkan tiga fungsi utama polis – mengurangkan jenayah, membasmi rasuah dan menegakkan hak asasi manusia.

“Polis tidak menegakkan hak asasi manusia, sebaliknya melanggar hak asasi manusia dengan menindas rakyat,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya polis telah bertindak keterlaluan sehingga aksi mereka menjadi satu daripada punca kematian Baharuddin Ahmad;  menahan lebih 1,600 orang yang berhimpun secara aman serta tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah; dan menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan Hospital Tung Shin Kuala Lumpur (gambar) danStesen KL Sentral.

Katanya apa yang dilakukan secara zalim itu terhadap rakyat termasuk pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat telah melanggar segala prinsip kepolisan di mana mereka sepatutnya melindungi hak rakyat, dan bukannya menindas rakyat.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mahu pasukan polis dirombak secara besar-besaran bagi memastikan ia menyahkan amalan-amalan zalim yang diwarisi daripada penjajah.

Beliau menambah polis sepatutnya dipandu oleh prinsip-prinsip kepolisan demokratik yang mampu melindungi rakyat dalam apa-apahal yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia yang Bersih bukan hanya untuk system pilihanraya tetapi untuk system politik dan semua aspek pentadbiran negara. Kini Bersih menjadi suara keramat untuk semua rakyat Malaysia yang mahu melihat perubahan dan transformasi sebenar negara,” katanya.

Beliau berkata aksi kerajaan Barisan Nasional yang zalim dan melampau itu telah membuatkan rakyat mempunyai satu pilihan sahaja – samaada rakyat mahu Malaysia yang Bersih atau kotor. – Roketkini.com