Berita

Adun UMNO kata Cina suka main judi, Adun DAP kena hukum

MELAKA, 12 JULAI – Yang membuat tuduhan adalah UMNO tetapi yang dihukum adalah DAP; adegan politik Malaysia berterusan lagi, kali ini di Melaka.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Melaka semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mohd Yunos Hussin dari UMNO telah membuat tuduhan bahawa judi adalah budaya kaum Cina.

Mohd Yunos dalam menjawab soalan tambahan Adun Kesidang Goh Leong San telah dipetik sebagai berkata: “Kita dapat lihat sebahagian besar rakyat Cina bermain judi…”

Mendengar tuduhan berkenaan, Goh mendesak Mohd Yunos menarik balik kenyataan perkauman dan salah fakta terhadap kaum Cina itu.

“Saya cuma minta beliau (Yunos) tarik kembali apa yang dikatakannya kerana sebenarnya judi bukanlah budaya orang Cina,” katanya kepada Roketkini.

Sebaliknya, timbul kekecohan yang dimulakan oleh Adun-Adun UMNO dengan menjerit dan menepuk-nepuk meja.

Speaker Datuk Othman Mohamad kemudian mengarahkan Goh keluar dari Dewan setelah digantung selama tiga hari melalui usul oleh Ketua Menteri Mohd Ali Rustam yang dipersetujui 23 Adun Barisan Nasional.

Seperti biasa lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia mempersalahkan Goh dalam isu yang ditimbulkan oleh Adun UMNO.

“Utusan Malaysia telah berbohong. Sebenarnya saya meminta (Yunos) untuk mengulang kembali apa yang dicakapnya, tetapi beliau menafikan apa yang diperkatakannya dalam Dewan itu,” kata Goh yang juga Pengerusi DAP Melaka.

Utusan dalam laporannya hari ini memetik Mohd Yunos sebagai berkata: “’Kita semua akui memang orang Cina main judi, hari-hari mereka main judi, malah hari raya pun main judi, adakah kenyataan ini salah? Tak salahkan!” – Roketkini.com