Rencana

Apa lagi yang kita harap dari UMNO-BN? – Oleh Adil Mat Selamat

12 JULAI – Perhimpunan aman Bersih 2.0 sudah berakhir, dunia telah menyaksikan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum telah bersatu di bawah satu niat iaitu reformasi sistem pilihan raya.

Dunia juga telah melihat bagaimana anggota polis menjalankan “tugas”. Dan, rakyat Malaysia sendiri telah mendengar silat lidah para pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang menangkis semua dakwaan salah guna kuasa, penindasan dan kezaliman.

Ini bukan zaman Tunku Abdul Rahman atau Tun Razak dengan satu stesen TV dan radio serta tiga empat akhbar. Ini zaman internet. Lihat saja YouTube, Facebook dan sebagainya untuk menyaksikan kebenaran.

Begitu banyak juga ulasan dan komentar mengenai Bersih dari kedua-dua belah pihak. Yang menyokong sudah mengemukakan hujahnya, yang menentang telah memberi retoriknya, malah yang berkecuali juga tidak terkecuali memberi pandangan.

Ini bukan lagi tanda-tanda, sebaliknya bukti yang rakyat Malaysia telah bangkit dari lena yang panjang selama lebih dari lima puluh tahun ditidurkan oleh kerajaan agar ‘jangan masuk campur’ hal pentadbiran negara.

Sejak Reformasi 1998 kepada Bersih 2007 hingga Bersih 2.0 pada Sabtu lalu, pasti kita akan menghela nafas yang amat sempit untuk melihat bagaimana proses mendidik masyarakat ke arah perubahan pandangan, cara berfikir dan budaya, adalah sesuatu yang amat sukar dan mengambil masa yang bukan pendek.

Ini mungkin menjelmakan suatu keinsafan kepada diri kita yang lemah dan kerdil ini.

Rupa-rupanya, melakukan kejahatan atau kerosakan itu amat mudah bagi mereka di puncak kuasa, terutamanya UMNO-BN, tetapi untuk berbuat kebaikan dan kebajikan adalah suatu kerja yang amat sukar buat kita, lebih-lebih lagi kita yang berjuang di sebelah Pakatan Rakyat dan sesiapa sahaja yang mahu kepada keadilan dan kebenaran. Inilah realitinya.

Tidak kira jika kita seorang Muslim, Buddha, Hindu atau Kristian sekali pun, hakikat untuk melakukan islah bukan suatu kerja yang enteng, namun bukanlah pula ianya mustahil untuk dilaksanakan.

Janji kepada golongan pejuang ialah cahaya dan kejayaan ada di hujung jalan. Ini pasti.

Adalah tidak masuk akal bagi kita jika mengharapkan kerajaan UMNO-BN memuji-muji usaha Bersih, adalah mustahil jika kita mengharapkan kerajaan UMNO-BN akan membela nasib mangsa-mangsa keganasan pihak polis atau menghukum polis dan ketua-ketuanya yang bertindak melampau.

Malah, adalah satu perkara yang menakjubkan berlaku jika kerajaan UMNO-BN menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berlembut dan bersetuju melaksanakan lapan tuntutan Bersih untuk reformasi sistem pilihan raya tanpa syarat.

Semua ini tidak mungkin akan berlaku kerana kerajaan UMNO-BN telah menganggap dan yakin dengan keyakinan yang amat jitu sekali bahawa mereka ‘betul’ setiap masa.

Perkara ‘Betul’ atau ‘Benar’ itu bagi mereka sudah menjadi semacam awan kumulonimbus yang senantiasa memayungi mereka setiap masa dan di mana jua. Dengan bahasa lain, mereka menganggap mereka itu maksum dari kelemahan politik, kelemahan mentadbir sumber negara dan kelemahan mengurus keperluan rakyat.

Jadi, mengapakah ada lagi diantara kita yang masih mengharap UMNO-BN akan berubah untuk membela nasib dan masa depan kita dan negara?

Yang menjadi berita baik adalah, dalam aspek yang lain, kesombongan dan kezaliman UMNO-BN jugalah yang menjadi sumber kekuatan bagi rakyat untuk bekerja dan berjuang dengan lebih gigih dan ikhlas.

Walau pun keikhlasan dan kesungguhan kita belum cukup kuat untuk menumbangkan gergasi UMNO-BN, kita tidak perlu merasa segan atau kecewa.Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

PR akan beroleh kejayaan hanya setelah kita semua benar-benar kuat dan yakin melebihi dari keyakinan palsu UMNO-BN itu.

Justeru, bagaimana untuk menggenggam keyakinan setulen yang kita harapkan itu?

Tiada jalan lain lagi kecuali terus berjuang dengan penuh keikhlasan dan kebijaksanaan. Ingatlah Bersih 2.0 hanya salah satu daripada usaha untuk menegakkan keadilan. Ia bukan kata penamat. Ia juga satu permulaan baru.

Lapan tuntutan Bersih itu dianggap oleh UMNO-BN sebagai ‘imaginasi dan ilusi’ puak-puak yang terlalu idealis, yang poyo dan yang terlalu optimis.

Begitu juga momokan yang digambarkan oleh mereka terhadap Buku Jingga, demokrasi sosial dan negara berkebajikan serta gagasan Ketuanan Rakyat. Kita tidaklah sekali-kali merasa hairan dan marah dengan ‘penghinaan’ UMNO-BN ini.

Sedarkah kita bahawa yang ilusi itu sebenarnya, tidak lain dan tidak bukan hanyalah propaganda UMNO-BN itu sendiri.

Realiti di sebalik ilusi yang dimomokkan itu adalah, jika PR berpeluang melaksanakan dasar-dasar ini, akan lahir suatu suasana ekonomi dan keadaan sosial yang lebih stabil dan kondusif untuk semua rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik.

Inilah yang amat ditakuti oleh UMNO-BN. Satu alternatif yang amat baik kepada rakyat. Kerana itu UMNO-BN tidak ada jalan lain lagi kecuali meneruskan momokan mereka tanpa ada hasrat untuk reformasi diri.

Kehidupan yang lebih baik dan selamat untuk semua rakyat adalah perjuangan PR. Perasaan ‘selamat’ ini bukan lahir dari slogan seperti 1Malasyia atau Islam Hadhari tetapi perasaan yang dapat dilihat secara real (lahiriah) bila semua kaum mendapat hak dan pembelaan yang sewajarnya.

Bersih 2.0 hanyalah kesinambungan dari banyak lagi tuntutan rakyat untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih selamat dan subur untuk didiami.

Yang penting kita jangan putus asa. – Roketkini.com