Berita

Pakai kuning tanda bersih setiap Sabtu

KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Lim Kit Siang mengajak semua rakyat Malaysia di dalam dan luar negara memakai pakaian kuning pada setiap hari Sabtu sebagai langkah pertama untuk memastikan negara ini bersih daripada politik terkongkong, tidak adil dan kotor.

Pemimpin politik veteran itu berkata rakyat Malaysia yang sudah bangkit dari lena yang panjang selepas kejayaan besar perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katanya rakyat kini tidak takut lagi untuk berhimpun bersama-sama secara aman tanpa mengira kaum, agama, jantina atau umur untuk menyuarakan rasa kasih dan sayang serta patriotisme kepada Raja dan negara demi perubahan ke arah pilihan raya bersih, politik berwibawa dan pentadbiran yang tidak mudah dirasuahkan.

Menurutnya rakyat Malaysia patut memakai pakaian kuning setiap Sabtu sehinggalah:

* Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang juga pemimpin Parti Sosialis Malaysia, Timbalan Pengerusi PSM M Saraswathy, Ahli-ahli jawatankuasa pusat PSM Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha Cawangan PSM Sungai Siput A Letchumanan dan pemimpin Pemuda PSM Sarat Babu yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dibebaskan tanpa syarat;

* Pengharaman terhadap Bersih ditarik balik;

* Penyakit takut kepada warna kuning atau xanthophobia oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional diubati dan dipulihkan; dan

* Pelaksanaan lapan tuntutan Bersih 2.0 untuk pilihan raya bebas, adil dan bersih, iaitu membersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, tempoh minimum 21 hari berkempen, akses media yang adil dan bebas, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor;

Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP berkata catatan peribadi rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Satu lalu perlu menjadi bacaan wajib kepada Perdana Menteri dan timbalannya serta seluruh Kabinet, dan juga Ketua Polis Negara dan semua anggota polis.

Katanya, ia akan membolehkan mereka belajar, memahami dan menerima hakikat bagaimana rakyat biasa bertindak secara luar biasa pada 9 Julai untuk mengatasi rintangan ketakutan, ketidaktahuan dan kebimbangan menghadapi kemungkinan berlakunya tragedy akibat ancaman dan ugutan pihak berkuasa.

“Jika Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakan Kabinetnya tidak tersentuh hati mereka dengan cerita-cerita pengalaman Bersih, maka Perdana Menteri dan Barisan Nasional boleh lupakan sahaja slogan 1Malaysia dan masa depan kerajaan mereka.

“Ini adalah kerana mereka berada di sebelah pihak yang salah dalam sejarah yang sedang dicatatkan oleh rakyat,” katanya. – Roketkini.com