Berita

BN gagal tangani masalah tenaga, hanya kejar keuntungan bagi kroni

KUALA LUMPUR, 15 JULAI – Kerajaan Barisan Nasional gagal mengatasi masalah bekalan tenaga, terutamanya elektrik, kerana mahu mengaut keuntungan cepat bagi kroni-kroni mereka tanpa mempedulikan kepentingan dan keperluan rakyat.

Timbalan Ketua Pemuda DAP Jenice Lee berkata bahawa walau pun negara mempunyai banyak sumber alam, kerajaan BN memilih jalan pintas untuk bersekongkol dengan pelobi-pelobi nuklear antarabangsa.

Menurutnya, pihak kerajaan sering memberi alasan penghasilan tenaga nuklear lebih mudah berbanding tenaga alam yang kononnya sukar dilaksanakan kerana memakan belanja besar.

“Mereka hanya memikirkan kerja senang sahaja. Mereka hanya tumpu kepada keuntungan. Senang kerja mereka dan mungkin juga senang kita rakyat Malaysia mati kerana radioaktif,” katanya kepada Roketkini.

Beliau menjelaskan tidak ada salahnya membuat keuntungan jika ia dapat disalurkan kepada rakyat tetapi projek seperti loji nadir bumi Lynas milik Australia di Pahang, jika dilaksanakan juga walau pun dibantah majoriti rakyat Malaysia kerana berbahaya, akan lebih menguntungkan pelabur asing.

“Jadi itulah sebab kita tidak boleh atasi masalah pencemaran alam sekitar ini. Semuanya adalah kerana niat kerajaan tak cukup ikhlas,” kata Jenice yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai.

Beliau turut memberi contoh tentang pembalakan berlebihan di Sabah dan Sarawak yang telah menyebabkan kawasan hutan sebesar Singapura telah “hilang” akibat pembalakan yang gagal dikawal dengan baik oleh kerajaan BN di Sarawak.

“Empangan Bakun, saiz kawasannya lebih besar dari saiz Singapura. Semua pokok-pokok di situ berusia beratus-ratus tahun telah hilang. Pembalakan yang tidak ada lesen. Yang haram itu, kenapa tidak ada yang ditangkap?” soal beliau.

Katanya keadaan di Sabah juga hampir sama di mana kawasan hutan simpanan semakin pupus, malah yang masih ada disediakan untuk tanaman kelapa sawit.

Menurutnya tanaman kelapa sawit mempunyai masalah tersendiri kerana disembur racun, dan racun itu diserap ke dalam tanah lalu mengalir masuk ke sungai.

“Bukan sahaja tanah itu tidak boleh diguna lagi, malah air sungai turut tercemar,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan buruk itu juga berlaku di Semenanjung, termasuk di kawasan tempat tinggal Orang Asli.

Menurut Jenice, Orang Asli yang dahulunya menggunakan air sungai untuk memasak dan cuci kini tidak dapat bergantung lagi kepada sumber alam itu kerana banyak yang semakin tercemar.

“Sekarang macam mana air itu? Maka terpaksalah mereka beli dari bandar. Bagaimana pula dengan kos air? Siapa bayar? Rakyat juga yang bayar.

“Kerajaan BN tidak peduli masalah ini sebab mereka asyik nampak ‘untung’ penjana kuasa nuklear. Di mana yang boleh untung, di situ mereka pergi. Yang tidak boleh untung, dia larilah,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat lebih serius dalam usaha menangani masalah pencemaran alam sekitar dan pertanggungjawaban dalam penggunaan tenaga, walau pun peruntukan kerajaan pusat kepada mereka amat kecil. – Roketkini.com

Ikuti wawancara Roketkini dengan Jenice Lee dalam ruangan WAWANCARA.