Rencana

Krisis Legitemasi Intelektual UMNO-BN – Oleh Haris Zuan

18 JULAI – “DAP anti-Melayu”, “DAP tidak hormat Islam”, “DAP cauvinistik”, antara sebahagian dari tomahan UMNO-Barisan Nasional kepada Parti Tindakan Demokratik. Sikap tidak beretika dan perkauman UMNO-BN ini bukanlah perkara baru dan ramai yang telah sedia maklum.

Maka, bukanlah menjadi tujuan tulisan ini untuk menghuraikan satu persatu tuduhan UMNO-BN ini, melainkan untuk melihat hubungan sentimen perkauman ini dengan krisis legitemasi moral dan intelektual UMNO-BN.

“Legitimacy is a generalized perception or assumption that the actions of an entity  are desirable, proper, or appropriate within some socially constructed system of  norms, values, beliefs, and definitions” (Suchman, 574: 1995)

Legitemasi atau keabsahan adalah kemampuan untuk membuatkan warga mematuhi dan menerima tindakan atau kenyataan yang dibuat oleh sesuatu autoriti.

Apa yang membezakan legitemasi ini dengan kuasa? Secara mudah, kuasa dalam konteks negara adalah kemampuan untuk membuatkan warga mematuhi keputusan atau dasar yang digubal, sama ada melalui cara pemujukan (persuasive) atau pun paksaan.

Sebagai contoh, kerajaan memiliki kuasa untuk menangkap warga yang melakukan kesalahan. Ini kuasa yang datang dari perundangan dan lembaga negara.

Legitemasi adalah pandangan umum terhadap sesuatu tindakan/keputusan/kenyataan yang dibuat memiliki asas norma, nilai, kepercayaan dan tujuan yang baik. Legitemasi hadir tanpa boleh dipaksakan.

Ya, UMNO-BN memiliki kuasa untuk menangkap dan menghukum warga yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0, kerana UMNO-BN memegang kuasa negara. Namun warga secara moralnya pasti tidak dapat menerima tindakan UMNO-BN ini kerana asas nilai dan maksud baik dari tindakan ini sukar dicerna akal sihat.

Begitu juga halnya  tindakan UMNO-BN menggunakan isu/sentimen perkauman terhadap DAP dan Pakatan Rakyat secara umumnya kerana UMNO-BN gagal meraih legitemasi dari warga melalui hujah-hujah mereka untuk menyangkal kritikan-kritikan PR terhadap dasar-dasar negara.

UMNO-BN sendiri pastinya sedar bahawa mereka tidak lagi memiliki legitemasi untuk mewacana, membahaskan dan mempertahankan dasar-dasar negara kerana tindakan mereka yang tidak konsisten serta korup.

Maka, oleh yang demikian, UMNO-BN terpaksa mengelak dari membahaskan persoalan dasar ekonomi, sosial dan pembangunan negara kerana dasar-dasar tersebut tidak lagi memiliki legitemasi.

Bukan itu sahaja, UMNO-BN juga terpaksa memastikan warga termasuk parti pembangkang tidak mewacanakannya. Lalu apakah pilihan yang ada untuk mengalih perhatian warga dan seluruh negara dari persoalan dasar ini?

Hanya sentimen perkauman/agama yang dapat diperalatkan oleh UMNO-BN.

Mengapa sentimen? Sentimen sangat bersifat emosi dan tidak melibatkan akal sihat/ rasional untuk membincangkannya. Tidak hairanlah segala tohmahan UMNO-BN sangat bersifat emosi dan tiada asas intelektual.

“DAP pinggirkan Melayu!” Hujahnya mati di situ. Tidak ada statistik, kajian ilmiah, mahu pun fakta-fakta sampingan yang dapat menyokong tomahan mereka, kerana statistik, kajian ilmiah dan fakta-fakta hanya akan mengheret UMNO-BN kepada wacana yang lebih waras dan rasional.

Mereka pasti kalah di medan itu. Alasan inilah yang menyebabkan wacana politik Malaysia di bawah kawalan UMNO-BN kekal statis dan gagal untuk pergi lebih jauh untuk membincangkan persoalan-persoalan kebajikan warga.

Ini jugalah alasan mengapa Najib Razak mengelak menyahut cabaran Anwar Ibrahim untuk membahaskan Buku Jingga, Program 100 Hari Pakatan Rakyat. Tak percaya? Cuba cabar Najib sekali lagi!

Secara langsung mahu pun tidak, tindakan UMNO-BN ini sangat menghina intelektual warga.

Hanya UMNO-BN yang boleh mewacanakan persoalan perkauman (dengan cara sempit dan sarat emosi mereka), namun menegah warga untuk turut membuka pintu wacana yang lebih matang dan rasional dengan alasan akan menyebabkan terjejasnya keselamatan dan ketenteraman awam.

Di mana legitemasi intelektual hujah bodoh ini?

Sekian, cukuplah 50 tahun lebih kita dibodohkan. – Roketkini.com