Berita

Satu lagi dividen anti-rasuah: Program Anak Emas Pulau Pinang

GEORGETOWN, 18 JULAI – Apabila rasuah dikurangkan atau dihapuskan, kerajaan dapat menjimatkan wang daripada masuk ke dalam poket penyangak ekonomi dan pemimpin korup. Wang yang diselamatkan itu dapat disumbangkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.

Satu lagi dividen anti-rasuah untuk rakyat Pulau Pinang akan dilaksanakan apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang untuk memberi wang tunai RM100 secara sekali sahaja atau “one-off” kepada setiap bayi kelahiran Pulau Pinang mulai tahun ini.

Untuk menjadi Anak Emas Pulau Pinang itu, salah seorang ibu bapa bayi mesti merupakan pengundi di Pulau Pinang manakala pendapatan isi rumah keluarga tidak boleh melebihi RM4,000 sebulan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata program Anak Emas adalah usaha sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mendengar suara rakyat, membuat kerja untuk rakyat dan memberi harapan kepada rakyat.

“Sungguh pun pemberian one-off RM100 oleh kerajaan negeri PR adalah kecil, ia adalah untuk meraikan tambahan anak Pulau Pinang yang baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya sumber kewangan program Anak Emas Pulau Pinang itu adalah sama dengan program penghargaaan warga emas, iaitu daripada penjimatan hasil kejayaan kerajaan PR menjalankan kempen anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International.

Program Anak Emas adalah cadangan daripada suara rakyat Pulau Pinang sendiri setelah mereka melihat kejayaan program Penghargaan Warga Emas RM100 setiap tahun dan RM1,000 “one-off” urusan jenazah kepada waris warga emas dilancarkan oleh kerajaan negeri PR pada 2010 demi mengenang jasa bakti sumbangan warganegara yang melebihi 60 tahun kepada pembangunan negeri.

“Sebanyak RM20 juta setiap tahun telah dibelanjakan untuk program penghargaan warga emas dan waris mereka.”

“Sungguh pun program penghargaan emas ini cuba disabotaj oleh parti pembangkang Barisan Nasional, sabotaj mereka gagal dengan kadar pendaftaran kini melebihi 87 peratus dengan hampir 115,000 warga emas Pulau Pinang mendaftarkan diri,” kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau berkata cadangan program Anak Emas itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang pada minggu ini dan dijangkakan memakan belanja di antara RM5juta dan RM10 juta setiap tahun. – Roketkini.com