Berita

Masa untuk rakyat di Sarawak dan Sabah menuntut hak

KUALA LUMPUR, 19 JULAI – Momentum perubahan politik bukan sahaja sedang berlaku di Semenanjung tetapi juga bakal bergegar di Sabah dan Sarawak, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, apa yang diperlukan ialah orang awam tidak perlu takut lagi untuk berdiri memperjuangkan hak asasi, keadilan, dan kebebasan untuk Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia sudah bersedia melakukan perubahan… perkara pertama ialah mereka harus sedar akan hak mereka untuk membangkitkan perjuangan ini.

“Biarlah orang-orang biasa bangun untuk melakukan perkara-perkara luar biasa,” rumusnya dalam forum Adakah Kini Masanya Untuk Kebangkitan Semula Dayak, di sini semalam.

Forum anjuran DAP Malaysia yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor itu turut dihadiri pelbagai kaum terutamanya kaum Dayak dan Iban.

Selain Kit Siang, panelis lain ialah ahli akademik dan aktivis sosial Sarawak Dr John Brian Anthony; Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng; Adun Kidurong Chiew Chin Sing; dan aktivis sosial Evelyne Tina Tawan.

Turut menarik perhatian hadirin ialah kedatangan ‘Malaysian Lady of Liberty’ Anne Ooi Siew Lan yang mana menurut Kit Siang, beliau datang memberi sokongan kepada golongan yang ditindas. Ooi atau Auntie Anne adalah warga emas yang telah meredah gas pemedih mata dan pancutan air dari polis sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Menurut Dr John Brian, kaum Dayak sejak sekian lama diperlakukan oleh kerajaan seperti kaum “Red Indian” di Amerika di mana hak-hak mereka dirampas satu persatu, sejak Malaysia ditubuhkan.

Oleh itu, beliau menyeru supaya kaum Dayak bangun dan melakukan perubahan bersama DAP dan menjadikan parti itu sebagai sebuah parti yang benar-benar berbilang kaum.

“Cuma, jangan jadikan kami (kaum Dayak) macam barang perhiasan, jangan jadikan kami seperti sup untuk dimakan. Dan kita juga tak mahu DAP jadi sup. Kami mahu DAP sebagai DAP, bukan sup,” katanya.

Beliau turut mengkritik sesetengah pemimpin Dayak yang menganggap DAP sebagai parti Cina atau menuduhnya sebagai parti komunis, yang mana beliau berkata ia tidak benar sama sekali dan meminta agar kaum Dayak memahami dan menyesuaikan diri dengan iklim politik semasa.

“Peluang tidak menunggu di depan pintu anda, dan jika Dayak masih tidur dan tidak membuka pintu, maka peluang tidak akan masuk ke dalam diri kita.

“Dayak juga tidak harus berharap orang lain melakukan kerja untuk mereka… Saya tak fikir itu adalah apa yang sepatutnya kita perjuangkan,” katanya.

Menurut Dr John Brian, apa yang perlu dilakukan ialah Dayak harus bekerjasama dengan DAP dari bawah dan perlu diperbetulkan perspektif masyarakat Dayak sebelum melakukan perubahan.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi terhadap DAP dan Pakatan Rakyat untuk memenangi Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.

“Jika Pakatan menang, dan Dayak masih tidak berubah, siapa harus dipersalahkan?” katanya, dnegan menambah bahawa kaum Dayak tidak boleh mempersalahkan orang lain jika mereka tidak mengambil peluang dan kerjasama yang diberikan kepada mereka. – Roketkini.com