Berita

Pelindung amanah Johor bina rumah tanpa kelulusan, kata DAP

JOHOR BAHRU, 20 JULAI –

Banglo itu dijangka bernilai di antara RM1.5 juta dan RM2.5 bila siap dibina di Bandar Simpang Renggam.

Ketua Pembangkang DUN Johor Dr Boo Cheng Hau berkata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor perlu menyiasat integriti Hamid sebagai Pengerusi PAC Negeri yang sepatutnya melakukan tugas demi kepentingan orang ramai dan bukannya untuk mengumpul kekayaan peribadi.

“Menurut siasatan saya, rumah Datuk Abdul Hamid bertapak di atas tanah pertanian Lot 152 Mukim Ulu Benut yang masih belum diubah syarat kepada tanah perumahan tetapi di dalam kawasan operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini bermakna kelulusan pelan bangunan oleh PBT diwajibkan untuk pembinaan rumah selepas lot tanah berkenaan ditetapkan sebagai kawasan operasi PBT.

“Menurut carian persendirian di Pejabat Tanah Daerah Kluang, Datuk Abdul Hamid didapati mempunyai syer sebanyak 53/854 daripada lot tanah 152 yang seluas 2.16 hektar (5.3375 ekar), iaitu 14,426.6 kaki persegi atas lot tanah tertsebut.

“Nilai tanah beliau dijangka RM 280,000 dan bangunan banglo beliau dijangka bernilai di antara RM 1.5 juta hingga 2.5 juta bila siap dibina,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Boo yang juga Adun Skudai berkata beliau tidak mempersoalkan kemampuan Hamid untuk memiliki sebuah rumah semewah itu kerana syarikat milik Hamid, iaitu Hamid Sawmill Sdn Bhd telah dikurniakan hutan simpanan kekal pada tahun 2007.

Hutan itu seluas 2,024 hektar dikurniakan kepada syarikat Hamid dengan kayu balak dijangka bernilai di antara RM 150 juta hingga RM 250 juta untuk tujuan pembangunan projek ladang hutan getah, tambahnya.

“Akan tetapi, integriti beliau perlu disiasat sebab gagal mematuhi undang-undang di mana pelan bangunan rumah kediaman baru beliau perlu diluluskan oleh PBT sebelum pembinaan dimulakan,” katanya.

Beliau juga mahu Hamid disiasat untuk memastikan sama ada pemimpin UMNO itu yang juga Adun Machap telah menggunakan pengaruh beliau sebagai Pengerusi PAC Johor untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan berkenaan.

Dr Boo turut menasihatkan Hamid supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC Negeri demi mempertahankan integriti jawatankuasa pemegang amanah wang rakyat itu. – Roketkini.com