Berita

Polis masih dolak-dalik dengan video perhimpunan Bersih

KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Sejak arahan dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar bukti video ‘kebaikan’ polis ditunjukkan kepada orang ramai, polis belum berbuat demikian walau pun setelah hampir dua minggu perhimpunan Bersih berlangsung.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, sejak arahan Muhyiddin dikeluarkan, polis seperti melengah-lengahkan arahan tersebut dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan ganjil seperti kononnya orang ramai enggan beri kerjasama dan video-video perhimpunan telah diubah suai.

Mereka kata hendak tayangkan kepada media pada minggu ini, tetapi sehingga hari ini masih belum berani berbuat demikian.

“Adakah polis sengaja melengahkan masa supaya dapat mengambil masa menyunting video-video itu?” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai respons muka depan Utusan Malaysia hari ini bertajuk ‘Ubah video perhimpunan’ yang menuduh “portal-portal pembangkang” mengubah suai video-video perhimpunan tersebut.

Semalam, lidah rasmi UMNO itu melaporkan peserta perhimpunan aman Bersih enggan memberi kerjasama dengan pihak polis.

Pua sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk menjadi saksi bersama bukti video dan gambar berhubung penafian pihak polis atas serangan yang dilakukan mereka terhadap Hospital Tung Shin pada 9 Julai lalu.

Sebaliknya desakan beliau agar Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan kerajaan Barisan Nasional supaya meminta maaf kepada rakyat Malaysia, sehingga hari ini tidak dilayan.

Menurut Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, DAP masih kekal dengan pendirian untuk mengemukakan saksi dan bukti kepada pihak polis.

Beliau bersama Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari bersedia untuk memberi keterangan pada bila-bila masa.

Bagaimana pun, berhubung video yang akan ditunjukkan oleh polis itu, Pua berkata, pihak polis tidak akan boleh menyunting ribuan video-video kekejaman mereka itu kerana ianya sudah tersebar di seluruh pelusuk dunia.

“Mungkin polis sendiri yang akan jadi saksi sebab orang ramai tidak mahu dan sudah tahu (perkara sebenar),” katanya.

Sementara itu Zairil yang juga berada di kawasan Hospital Tung Shin apabila gas pemedih mata ditembak pada 9 Julai lalu, berkata rakyat yang menyertai perhimpunan aman itu tahu apa yang sebenarnya berlaku.
“Saya berada di kawasan itu apabila ditembak gas pemedih mata dan disembur air. Ramai orang sudah pun menyiarkan klip video mereka ke seluruh dunia.

“Adakah pihak polis cuba membikin filem baru pula?” katanya. – Roketkini.com