Berita

Tak mungkin Beng Hock bunuh diri, keluarga tolak keputusan Suruhanjaya Diraja

KUALA LUMPUR, 21 JULAI – Keluarga Teoh Beng Hock hari ini menolak sama sekali keputusan yang dikeluarkan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang memutuskan mendiang membunuh diri.

Mereka berpendapat terdapat beberapa keadaan yang menimbulkan kecurigaan yang tidak membolehkan keputusan “bunuh diri” diterima.

Peguam keluarga mendiang, Karpal Singh berkata, kedudukan Suruhanjaya Diraja yang lebih rendah daripada badan kehakiman boleh dirujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk disemak semula.

Beliau berkata pejabat beliau akan meneliti laporan yang dikeluarkan petang tadi sebelum membuat keputusan sama ada akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Karpal yang juga Pengerusi DAP dijangka akan mengumumkan kenyataan bagi pihak anak guamnya selewat-lewatnya awal minggu depan.

Di bawah undang-undang, permohonan untuk semakan kehakiman mesti difailkan dalam masa 14 hari selepas tarikh keputusan dikeluarkan.

“Keluarga Teoh Beng Hock tidak dapat menerima keputusan ‘bunuh diri’ yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Diraja,” kata Karpal dalam sidang media hari ini.

RCI hari ini mengeluarkan keputusan laporan siasatan kematian Beng Hock dengan merumuskan mendiang membunuh diri akibat tekanan psikologi yang dikenakan oleh tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ketika mengumumkan laporan RCI di Parlimen petang tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mendkawa mendiang Beng Hock adalah seorang yang ‘berpewatakan lemah’.

Bagaimana pun adik mendiang, Teoh Lee Lan tidak bersetuju dengan kenyataan  Nazri itu.

Menurutnya, Beng Hock sebagai seorang pembantu politik dan bekas wartawan bukannya seorang yang lemah, dan sanggup berjuang untuk DAP yang sering menerima tekanan oleh pihak pemnerintah.

Tambah beliau, abangnya pernah terlibat dalam demonstrasi menentang penahanan tanpa bicara Ahli Dewan Undangan Kota Alam Shah M Manoharan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2007.

Sambil menangis, Lee Lan berkata tiada seorang pun rakyat Malaysia yang percaya dengan keputusan suruhanjaya tersebut.

“Pada hari kematiannya, dia kelihatan gembira semasa keluar dari rumah dan tidak sabar menunggu hari perkahwinannya yang akan berlangsung pada keesokkan harinya,” katanya, mencerminkan ia bukan tanda-tanda orang yang mahu membunuh diri.

Tambah Lee Lan, sebelum pergi ke pejabat SPRM, abangnya telah membuat temu janji bersama kawan-kawannya pada 10.30 malam.

“Kami (keluarga) sama sekali tidak menerima keputusan tersebut… kami akan terus menegakkan keadilan (untuk Beng Hock).

“Laporan sudah menunjukkan dia telah ditekan (secara psikologi) oleh tiga pegawai itu sehingga meninggal,” katanya.

Mengulas lanjut, Karpal berkata tindakan jenayah harus diambil ke atas ketiga-tiga pegawai SPRM tersebut.

Ketika disoal wartawan mengenai apakah jenis tindakan yang patut dikenakan terhadap pegawai-pegawai tersebut, beliau berkata: “Menurut keterangan yang diberi kepada tribunal RCI, saya berpendapat bahawa ketiga-tiga pegawai tidak boleh dituduh untuk bersubahat.”

Bagaimanapun, Karpal yang juga Ahli Parlime Jelutong menegaskan bahawa beliau tidak menyesal dengan keputusan sebelum ini yang menolak untuk bekerjasama dengan suruhanjaya itu.

Menurutnya, beliau dan pasukan guamannya akan memberi perhatian kepada punca ‘bunuh diri’ seperti yang dilaporkan itu. –Roketkini.com