Budaya

Perempuan dan sastera – oleh Aishah

22 JULAI – Setiap zaman atau tamadun mempunyai ciri-ciri tersendiri sesuai dengan tahap kesedaran dan perkembangannya.
Pendapat ini juga menyerupai apa yang diperkatakan oleh sasterawan dan ahli sosiologi Indonesia seperti aliran Lekra atau Lembaga Kebudayaan Rakyat era Sukarno dengan slogan “politik sebagai panglima”, “sastera terpimpin” Takdir Alisyahbana dan “sastera kontekstual” oleh Arief Budiman.

Arief Budiman menjelaskan dengan panjang lebar dalam tulisannya Mencari Sastera yang Berpijak di Bumi: Sastera Kontekstual; nilai-nilai sastera itu terikat pada ruang dan waktu. Yang membawa makna, beliau tidak percaya akan keuniversalan nilai-nilai sastera.

Di Eropah, sejak Christine de Pisan (1365-1431) dan Margery Kempe (1373-1438), sebelum itu, Sappho (620–550SM) berkongsi satu kegusaran yang sama. Dan terbawa-bawa hinggalah Anna Akhmatova, Virginia Woolf, Mary Wolstonecraft, dan Simone de Beauvoir.

Fenomena yang sama juga wujud di alam Melayu, melalui novel Layar Terkembang (Takdir Alisjahbana), Andang Teruna (Sutomo Djauhar Arifin) dan Calon Arang (Pramoedya Ananta Toer).

Malah, jika Franz Kafka (1883-1924) cukup jujur dalam mempersembahkan perempuan dalam karyanya, kita juga memiliki tokoh seperti Khatijah Terung (1885-1955) dan suaminya, Raja Haji Abdullah bin Raja Haji Hassan (?-1926) dengan karya Perhimpunan Gunawan dalam Laki-laki dan Perempuan, Cempaka Putih dan Pahlawan Ferhad itu.

Perempuan…tidak boleh buat itu dan ini

Semua ini menumpu pada satu titik perbahasan, tentang-perempuan dan sastera. Dengan sistem masyarakat patrilineal yang menggulingkan sistem matrilineal. Sejak itu, kedudukan perempuan sudah terbenam di bawah kaki sistem patrilineal. Perempuan tidak diberi peluang untuk mendapat pendidikan, tidak boleh buat itu dan ini.

Perbahasan tentang-perempuan dan sastera ini selalu mencuplik gagasan feminisme. Satu pendekatan ke arah kesaksamaan sosial, politik dan ekonomi antara kedua-dua jantina.

Yang bergerak atas keyakinan bahawa jantina tidak harus merupakan faktor penentu yang membentuk identiti sosial atau hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang. Individu dikatakan telah ditentukan atau dipaksakan tingkah laku dan cara pikir bukan mengikut kemahuannya.

Bermula dengan feminisme sosialis, feminis ortodoks-feminis kritikal sehingga feminisme pascamoden, masing-masing mempunyai cara dalam membaca sexploitation yang berlaku di kanan dan kiri masyarakat.
Sesetengah feminis memperdebatkan bahawa sistem sedia ada ialah ciptaan masyarakat—paternalisme. Dan ideologi lelaki sebagai pelindung itu hanya akan melanjutkan lagi ‘masalah yang tidak bernama’ seperti dimaksudkan Betty Friedan dalam The Feminine Mystique.

Pandangan Betty Friedan dan Mary Wolstonecraft ini agak dogmatik, yang masih ada pewarisnya kini. Namun, di sisi lain, ada juga yang memandang sinis akan gerakan ini seperti Germaine Greer dalam bukunya The Female Eunuch dan The Whole Woman.

Autonomi perempuan
Bagaimana sekalipun, cara pandang seperti ini tetap kurang tepat diterapkan dalam membicarakan masalah kesetaraan dan keberadaan perempuan dalam budaya yang berbeza, contohnya autonomi perempuan di alam Melayu.

Di Eropah dan Amerika Syarikat, feminis menumpukan perhatian pada isu pendidikan, kerja, politik dan hak perempuan dalam perkahwinan.

“Teori mahupun ideologi feminisme sering dikaitkan dengan gerakan-gerakan feminisme di Eropah (Barat), persoalannya ialah apakah isu perwakilan perempuan dalam sastera dapat digambarkan daripada gagasan feminis sejagat itu?”

Kecenderungan feminis negara dunia ketiga pun berbeza – Jayawardena dikenali dengan usahanya dalam merekonstruk sejarah gerakan hak perempuan yang terfokus di India, Vietnam, Sri Lanka, Indonesia dan lain-lain lagi. Selain Jayawardena, usaha ini juga diambil oleh Yuval-Davis Anthias & Enloe.

Gerakan feminisme yang bermula di Eropah bermula atas titik perempuan perlu membuat keputusan sendiri dan menolak kawalan atas badannya melalui gelombang pertama (abad ke-19), gelombang kedua (1960-an) dan gelombang ketiga (1990-an). Kini, gelombang keempat.

Alam Melayu

Di wilayah Nusantara, telah tercatit sejarah, perempuan bukan hanya dibenarkan menentukan nasibnya sendiri tetapi rakyatnya juga – perempuan sebagai pemimpin khalayak terbesar.

Misalnya pemerintahan Solor, Patani, Burma, Pasai, Funan, Kalingga dan lain-lain. Empat raja perempuan di Aceh ditamatkan, bukan kerana dalil agama tetapi cara pandang manusia yang patriarki dan bermotif politik.

Al-Singkel dalam bukunya Mir’at al-Tullab fi Tashil Ma’rifat al-Ahkam al-Syar’iyah li’l-Malik al-Wahab mempertahankan Sulthanah Tajul Alam Safiyatuddin Syah, seorang perempuan dalam memimpin dan membuat keputusan atas sebab rasionaliti dan kebolehan mereka.

Inferior perempuan bukan sebagai sesuatu yang alami. Cuma, watak-watak yang dipersembahkan dalam karya boleh jadi sebagai pewaris tradisi atau sebaliknya, pengkritik sosial. Yang tergambar pada watak Faridah Hanum, Siti Zubaidah dan Salmah yang tidak tipikal ala perfect lady di samping menolak ideologi superwoman yang gagal dan kacau.

Oleh itu, pendekatan nyahbinaisme yang dikenalkan Jacques Derrida pada tahun 1967 itu amat sesuai dalam membongkar isu feminisme di wilayah ini, yang autentik, bukan dipinjam.

Ia wajar dicermati agar kita tidak terbelenggu dalam sindrom minda tertawan seperti yang ditegur Syed Hussein al Attas. – Roketkini.com