Rencana

TBH: Tiada yang misteri lagi? – Oleh Muhammad Zir

25 JULAI – Teo Beng Hock telah meninggal dunia. Kematiannya tragis sekali, misteri yang menyelubungi episod duka ini kini telah terungkai oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat punca kematiannya.

Perasaan dan pendapat tentang hasil siasatan untuk bercampur-campur. Bagi pihak kerajaan, reaksi pertama mereka kelihatan bernada lega. Paling tidak, kerajaan bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak secara langsung dipersalahkan atas tuduhan membunuh.

Di pihak keluarga TBH, mereka menerimanya dengan penuh kesedihan dan rasa sangsi. Kesangsian itu timbul dengan beberapa persoalan. Dan kita sebagai pemerhati, merasai kesedihan dan keraguan itu.

Hasil siasatan oleh Suruhanjaya Diraja ini pastinya menimbulkan lebih banyak lagi persoalan yang saling berkait. Dalam bahasa forensiknya, kesan rantaian atau anatomi kes dari mula berlaku, latar belakang hingga sebab-sebab berlakunya kes tersebut.

Kes ini menjadi sangat signifikan dengan tahap dan mutu keseluruhan sistem penguatkuasaan undang-undang dalam negara kita, sama ada SPRM atau polis.
Persoalan yang timbul

Apakah benar TBH sanggup membunuh diri akibat tekanan yang diterimanya semasa soal-siasat oleh para pegawai SPRM?

Jika menurut laporan Suruhanjaya Diraja itu, maka jawapannya ‘ya’. Maka persoalan baru akan timbul iaitu;

1. Bagaimana hebat tekanan itu hingga menjadikan manusia waras dan normal ini hilang akal dan bertindak terjun membunuh diri?

Jawapan kepada persoalan ini, tidak dapat tidak akan menunjukkan wujud kelemahan, kesilapan dan kesalahan tentang kaedah soal-siasat yang sedang digunakan oleh SPRM

2. Bagaimanakah bentuk atau kaedah siasatan yang begitu intensif dan agresif hingga menyebabkan tekanan mental atau psikologi yang melampau ke atas TBH?

3. Bagaimana sistem soal siasat sebegini boleh berlaku dan dibenarkan oleh pihak yang bertanggungjawab?

4. Apakah ketua SPRM atau Menteri tidak tahu kaedah siasatan sebegini?

Jika Menteri atau ketua SPRM tidak tahu tentang kaedah sosal-siasat sebegini, maka jelas Menteri atau Ketua SPRM tidak buat kerja, cuai dan gagal. Jika menteri atau Ketua SPRM ini tahu, mengapa mereka membenarkannya? Atas dasar apa pula ia dibenarkan?

Melihat anatomi kes sebegini, tidak lengkap jika kita tidak melihat senario atau latarbelakang penyiasatan ini bermula.

Antaranya;

1. Adakah TBH yang sedang disiasat ini adalah suspek (perasuah)? Adakah ia rasuah yang melibatkan hingga ke RM25 Juta? RM 500 juta? Atau RM1 billion? Hingga SPRM memerlukan satu kaedah siasatan yang sangat luar biasa, agresif dan melampaui batas kewarasan kita. Bukankah TBH hanya seorang saksi?

2. Dan, apakah hasil siasatan agresif itu pada hari ini? Adakah sesiapa yang sudah dibawa ke mahkamah? Adakah sesiapa yang sudah disabit dengan hukuman tersebut? Apa hasil siasatan itu selain orang yang disiasat itu sendiri telah mati?

Maka, yang dikatakan siasatan kes rasuah seperti ini, kaedah soal-siasat dan gembar-gembur oleh SPRM dan kerajaan hanyalah sandiwara yang akhirnya menjerat mereka dengan melakukan kesilapan. Kesilapan ini tidak boleh di maafkan.

Ketua SPRM dan Menterinya perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan tanpa syarat. Para pegawai yang melakukan siasatan dengan cara yang melampau ini harus dibawa ke muka pengadilan.

Jika ada pihak yang tidak bersetuju dan menganggap bahawa pegawai-pegawai ini tidak bersalah kerana tidak melakukan ‘body contact’, nyatalah bahawa mereka ini tidak memahami bagaimana sesuatu kes jenayah berlaku.

Tidak bermakna, TBH tidak disentuh maka pegawai tersebut tidak bersalah.

Jika kaedah siasatan itu berjalan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan, pasti TBH tidak akan hilang akal dan bertindak membunuh diri. Isunya, bagaimana pegawai yang bertauliah ini boleh menentukan hasil siasatan atau kesan siasatan ke atas orang yang disiasat?

Soal tugas dan tanggungjawab tidak boleh dikompromi, sesiapa pun yang disiasat atau ditahan baik oleh pihak SPRM atau polis sekali pun, keselamatan dan kesihatan mangsa tidak boleh dikompromi.

Jika tidak, letaklah jawatan. – Roketkini.com