Rencana

1Malaysia dan Retorik Perpaduan – Oleh Hariszuan

27 JULAI – Slogan 1Malaysia kini menjadi kata yang populis dan  fashionable di Malaysia. Segala macam program, kempen dan acara kerajaan mahupun swasta seakan wajib disebut sekali dengan kata 1Malaysia.

Sedangkan ketika kerajaan sedang giat mengatur kempen satu Malaysia, barangkali masih ramai lagi yang tertanya- tanya, apakah sebenarnya  isi 1Malaysia ini? Sudah tamatkah agenda Islam Hadhari? Telah berakhirkah Wawasan 2020? Mana pula letaknya bangsa Melayu dalam bangsa Malaysia?

Semua ini soalan yang masih menunggu jawabnya. Bukan sedikit pula, isu 1Malaysia ini menjadi modal pembangkang mengkritik kerajaan.

Sudah tentu gagasan 1Malaysia adalah benar niatnya untuk membina bangsa Malaysia iaitu bagi meneruskan agenda Wawasan 2020 dan konsep Islam Hadhari.

Namun kini, apa yang perlu adalah merancakkan wacana yang lebih serius mengenai gagasan bangsa Malaysia ini dan bukannya hanya berhenti di peringkat slogan semata. Wacana pembinaan bangsa (nation building) harus berlegar sama dengan  sebarang program yang dihujungnya disimpul sama dengan slogan nasional ini.

Citra kebangsaan

Namun begitu, sejak awal merdeka hingga kini, wacana negara bangsa tidak dicanai dengan  bersungguh. Malaysia masih lagi bergelut akan bentuk citra bangsanya.

Pemahaman tentang citra bangsa Malaysia ini jelaslah penting dalam masyarakat kita yang pluralistik ini. Hal ini dapat kita perhatikan apabila agenda perpaduan tajaan Datuk Seri Najib Tun Razak ini dimanipulasi oleh lain-lain pihak.

Mudah untuk kita mengatakan pihak ini tidak bertangungjawab dan ada niat jahat terhadap negara, tetapi soalan yang jauh lebih penting, mengapa isu ini mudah memancing polemik perkauman? Jawapannya kerana Malaysia – suka atau tidak – masih tidak memiliki citra kebangsaannya.

Setiap kali timbul isu sekolah vernakular, bahasa kebangsaan, nama Tuhan, dan lainnya kita tidak pernah mencerakinkan masalah ini dengan bersungguh, malah tidak menyelesaikannya pun, sekadar menangguhkan.

Buktinya, polemik ini akan terus muncul dari masa ke masa tanpa jawapan konkrit. Hanya cakap-cakap untuk menyedapkan hati sebilangan pihak.

Kita sering mendakwa yang Malaysia ini sangat majmuk dan tidak tahu malu pula untuk mendabik dada mengatakan bahawasanya negara ini adalah truly Asia! Paling hebat kita merayakan kemajmukan kita adalah melalui berkongsi sebahagian makanan bersama – roti canai, nasi ayam, dan goreng pisang.

Namun, tidak pernah (mungkin kata jarang lebih adil) wacana menguruskan kemajmukan  ini menjangkau persoalan nation building. Apakah bangsa boleh dibentuk?

Sudah pastinya, kerana bangsa adalah konstruksi sosial, maka mungkin atas kesedaran itu Tun Dr Mahathir menggariskan pembinaan bangsa Malaysia dengan acuannya sendiri. Lantas, bagaimana membentuk acuannya ?

Bahasa penyatu utama

Maka sudah pasti bahasa menjadi faktor penyatu yang utama. Tanggapan ini bertepatan dengan penjelasan Ben Anderson yang menegaskan bahawa “nationalism has to be understood by aligning it, not with self-conciously held political ideologies, but with the large cultural systems that preceded it, out of which – as well as against which – it came into being” (1986).

Sistem kebudayaan yang sesuai untuk memenuhi matlamat itu, menurut Anderson, adalah komuniti agama dan alam dinasti (dynastic realm).

Dengan demikian anggota-anggota masyarakat dapat menganggap bahawa, walaupun saling tidak kenal-mengenal, mereka adalah berada di bawah satu naungan, iaitu komuniti bayangan (imagined community).

Maka, beliau memberi definisi mengenai bangsa sebagai suatu komuniti politik yang dibayangkan sebagai terhad dan berdaulat. Beliau seterusnya menerangkan bahawa karya penulisan kreatif dan suratkhabar boleh memberi sarana teknikal untuk menubuh semula suatu komuniti bayangan, iaitu suatu bangsa.

Ini kerana para pembaca novel dan suratkhabar, walaupun berada secarara berasingan, dapat mengambil imej yang sama, iaitu imej bayangan.

Maka tidak boleh tidak, isu pemerkasaan bahasa harus diulang bahas. Bahasa adalah ejen penyatuan tapi cabaran terbesarnya adalah sistem sekolah yang tidak seragam.

Kebangsaan sebagai kepelbagaian bahasa

Barangkali ada yang melabelkan penulis sebagai etno-nasionalis Melayu apabila memperjuangkan sekolah kebangsaan, namun penulis harus memberikan garis jelas akan idea ini.

Kebangsaan tidak bererti menunggalkan sesuatu kebudayaan melainkan hanya mencari titik temu paling ampuh untuk membina persefahaman.

Dalam hal ini, mungkin kita dapat belajar daripada Eropah. Kesatuan Eropah mengiktiraf tiga bahasa utama iaitu Jerman, Perancis dan Inggeris, dan kebanyakan masyarakat Eropah menguasai (paling tidak pada tahap minimum bagi tujuan komunikasi)  tiga bahasa ini.

Adalah lebih baik kiranya bahasa Cina dan Tamil turut diajar di sekolah-sekolah kebangsaan untuk semua kaum. Setidaknya diajarkan bahasa ketiga sebagai bahasa komunikasi.

Tidakkah kita berasa rugi tidak mengetahui bahasa selain Melayu (dan Inggeris) sedangkan kita hidup ‘serumah’?

Marilah kita berlapang dada untuk memikirkan kembali, setelah sekian lama kita tinggal bersama, berapa kali kita bersembang panjang dengan kawan kita dari kaum lain? – Roketkini.com