Budaya

Bahasa 1Malaysia – Oleh Aishah

pada suatu hari

seperti suatu janji longgar

di usia yang terseksa oleh peka

kutemui selonggok kata-kata,

darinya kukumpul

dan susun satu dunia.

bunyinya kuasah pada suara,

sedihnya pada gurau,

ketawanya dengan derita.

inilah cakerawalanya

dilukis oleh tebar makna,

rupa ucap dan jantung kata –

semuanya dikutip dari sungai tohor wakktu

terendam dalam lagu pujangga

atau terlantar di gurun sejarah.

bahasa membina dunia

menyusun diri

dan memberi layangan pengalaman.

seperti penjala

aku menangkap setebar daerah

dan ikan langgam makna.

Selonggok Kata-kata, Muhammad Hj Salleh

 

Berdasarkan nukilan Muhammad Haji Salleh ini, jelaslah pada kita peranan yang dimainkan oleh kata – bahasa yang mampu membina dunia. Begitulah dengan bahasa Melayu yang pernah satu ketika menjadi lingua franca Alam Melayu, dan menyatukan banyak wilayah di bawahnya.

Dari sekian banyak halnya itu, pastilah banyak juga polemiknya. Namun tulisan ini hanya ingin menyentuh sebatas perkembangan Melayu yang kini semakin terhad pendefinisiannya di Malaysia saat ini.

Ada banyak pendapat atau hujah tentang kata ‘Melayu’. Melayu sebagai bangsa mahupun bahasa.

Menjelang akhir Perang Dunia kedua, bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perantaraan antarabangsa. Bahasa Inggeris (BI) juga dominan di tanah bekas jajahannya.

Malah BI sebagai bahasa utama Amerika Syarikat, dengan pengaruh politik atau ekonomi sambil membawa the white man’s burden menerapkan penggunaannya di negara-negara lain. Di sisi lain, bahasa Inggeris tidak lagi dikenal pasti dengan satu bangsa atau negara, tetapi juga bahasa pelbagai budaya dan subbudaya, tidak semata-mata budaya Anglo-Saxon.

Walaupun BI dibawa penjajah, bahasa ini tidak tamat selepas penjajahan berakhir. Bahasa pemodenan ini akhirnya menjadi lingua franca baru pada era ini.

Tidak kurang juga BI itu disimbolkan dengan tanda orang terpelajar. Dan di negara-negara, elit akan menggunakannya sebagai bahagian dalam komunikasi mereka, apa lagi bagi yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi, yang banyak meminjam terus terma luar. Dan kesannya, pada peminjaman butir-butir leksikal Inggeris untuk mencipta laras baru.

Begitulah agaknya bahasa 1Malaysia dilahirkan selain daripada menjadi salah satu slogan tipikal setiap pemerintah di Malaysia.

Tidak hanya bahasa, ia juga mencakupi klinik 1Malaysia, kedai 1Malaysia, Tandas 1Malaysia dan lain-lain lagi.

Tidak habis dengan pentakrifan bangsa Melayu perlembagaan yang bermasalah dari segi makna, begitu juga bahasa Melayu yang cacamerba, muncul pula ‘bahasa Malaysia’.

Ia dikatakan lebih inklusif kerana Melayu disimbolkan mengikut takrif Perlembagaan yang terhad, ekslusif pada etnik Melayu semata.

Diharapkan dengan nama lain yng diberikan pada bahasa Melayu ini, ia dapat dikongsi oleh masyarakat yang heterogen di sini.

Lalu, bahasa Malaysia juga ‘berkembang’ sehingga ia kini sudah menjadi bahasa 1Malaysia; sangat hibrid contohnya Indah Water, KL Sentral, dan sebagainya. Kata majmuk cantuman ini kerap berlaku.

Malah, di negara jiran kita, Indonesia, yang berlaku juga peminjaman ‘spontan’. Namun, pinjaman kata Inggeris ini menunjukkan identiti moden bukan tradisional.

Dalam hal ini, Pramoedya Ananta Toer pernah mengatakan; keindahan itu terletak pada kemanusiaan, pembebasan terhadap penindasan.

Jadi, keindahan itu terletak pada kemurnian kemanusiaan, bukan dalam mengutak-atik bahasa. – Roketkini.com