Berita

DAP mahu kemenangan Harimau Malaya malam ini

KUALA LUMPUR, 28 JULAI –  DAP berharap agar skuad kebangsaan negara Harimau Malaya dapat membaham singa negara jiran melalui perlawanan bola sepak dengan musuh tradisi Singapura di sini malam ini.

Perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 yang dijangka sengit ini merupakan satu titik temu antara semangat dengan kefahaman mendalam rakyat Malaysia terhadap negara, walau apa pandangan politik sekali pun.

Walau pun dibolosi lima gol sebelum ini, tidak bermakna semangat Harimau Malaya sudah lumpuh kerana kekuatan pasukan negara datang dari kemajmukan dan sorakan rakyat Malaysia sendiri.

Justeru itu, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata perlawanan yang getir malam ini menunjukkan satu semangat patriotik yang semula jadi sudah tertanam di dalam jiwa rakyat Malaysia.

“Tidak kira pandangan politik apa pun, kita yakin semua rakyat Malaysia akan sentiasa berdiri teguh di belakang skuad negara malam ini,” kata Ahli Parlimen Rasah itu yang turut merujuk kepada penjualan 85,000 tiket yang sudah habis dijual.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching pula berkata bola sepak merupakan sukan yang menyatupadukan rakyat Malaysia tidak kira agama mahu pun bangsa.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Serdang, walau pun skuad negara tumpas 5-3 dalam perlawanan pusingan pertama, itu tidak bererti rakyat Malaysia juga turut tewas.

“Semua warga Malaysia adalah penyokong kuat pasukan, buktinya boleh dilihat dengan tiket yang sudah habis di jual.

“Apa-apa pun, saya berharap Harimau Malaya mengejar kembali gol yang tertinggal dan semoga mereka melakukan yang terbaik malam ini,” katanya. – Roketkini.com