Berita

Bola sepak: Kekalahan adalah cabaran untuk langkah ke hadapan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Rakyat Malaysia tidak seharusnya kecewa dengan kekalahan agregat Harimau Malaya malam tadi kerana ia sebenarnya merupakan satu motivasi kepada skuad negara.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor Lau Weng San berkata kekalahan itu  merupakan satu ujian biasa dalam permainan bola sepak, dan yang lebih penting, sokongan padu rakyat Malaysia sepatutnya harus berterusan.

Menurut Adun Kampung Tunku itu memang meminati bola sepak negara, kekalahan itu juga satu proses kebangkitan untuk menjadi lebih bagus pada masa akan datang.

“Sokongan rakyat Malaysia perlu berterusan. Jika rakyat Malaysia sudah berputus asa dengan kekalahan itu, ia akan memberi kesan yang buruk terhadap para pemain negara,” katanya.

Lau menjelaskan semua pihak termasuk pengurusan dan juru latih negara masih mempunyai peluang untuk memperbaiki corak strategi dan permainan.

“Semenjak 1990-an, teknik permainan kita sudah meningkat sedikit demi sedikit. Corak atur bola dan strategi itu sudah ada peningkatan ketara.

“Sebenarnya, Harimau Malaya dalam proses kebangkitan, mereka perlu sedikit lagi masa untuk bangkit. Dan sudah tentu sokongan rakyat Malaysia terhadap Harimau Malaya perlu sentiasa berterusan,” katanya.

Dalam pusingan kedua untuk kelayakan ke Piala Dunia 2014 di Brazil, pasukan kebangsaan Malaysia seri 1-1 dengan Singapura malam tadi, sekali gus tewas dengan agregat 6-4 kepada pasukan negara jiran itu.

Lau berpendapat secara keseluruhannya Malaysia mempunyai banyak peluang untuk menembusi gawang Singapura malam tadi.

“Sepatutnya kita tidak harus bergantung kepada Safee Sali sehaja kerana semalam beliau di kawal ketat… Sudah hendak mendapat peluang. Selain itu, Harimau Malaya juga sepatutnya menambah usaha serangan, walau pun pihak lawan banyak menggunakan pemain import.

“Selepas jaringan pertama Harimau Malaya, psikologi mereka bertambah agak kelam kabut terutamanya selepas Singapura menjaringkan gol penyamaan,” katanya.

Lau juga tertanya-tanya mengapa Harimau Malaya menyarungkan jersi biru sedangkan warna utama adalah kuning apabila bermain di tempat sendiri. – Roketkini.com