Rencana

Islam dan demokrasi – Oleh Aishah

29 JULAI – Demokrasi mempunyai dua aspek. Pertama, sebagai sebuah sistem dan bentuk negara dan kedua sebagai nilai-nilai universal yang diperjuangkan demi kemanusiaan. Islam lebih luas konteks kepada sebuah agama dan aturan hidup bermasyarakat, tidak berbicara tentang sistem, apa lagi bentuk khusus sebuah negara.

Di Eropah pula, idea demokrasi dikembangkan melalui sekularisme (Niccolo Machiavelli), negara kontrak (Thomas Hobbes), pengasingan kuasa (John Locke) yang disempurnakan (Baron de Montesquieu), kedaulatan rakyat dan kontrak sosial (Jean-Jacques Rousseau).

Douglas Lummis kemudian datang dengan idea demokrasi radikal tentang perlunya mendefinisi semula demokrasi, kerana demokrasi kini telah menggantungkan maknanya pada para demagog.

Katanya; “Democracy doesn’t means ‘feeling’ powerful. It means holding real power…Radical democracy describes the adventure of human beings creating, with their own hands, the conditions for their freedom” (Demokrasi tidak bererti merasa diri kuat. Ia bererti memegang kuasa sebenar…Demokrasi radikal menggambarkan kembara manusia dalam mencipta, dengan tangan mereka sendiri, keadaan-keadaan bagi kebebasan mereka)

Demokrasi ialah satu perkataan yang paling kacau. Namun, penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Hampir tidak ada satu pun negara di dunia yang tidak endah idea-idea sebegini, sehingga muncul istilah-istilah seperti “Demokrasi Liberal”, “Demokrasi Terpimpin”, “Demokrasi Pancasila”, “Demokrasi Sosial”, dan sebagainya.

Masyarakat Islam juga dikenali dengan konsep bai`ah, musyawarah (syura), dan konsensus (ijmak) serta jumhur. Ramai yang menerima nilai Islam itu identik dengan nilai demokrasi, namun tidak kurang juganya menganggap Islam itu syumul tanpa perlu sebarang “-isme”.

Islam dan demokrasi hasil tulisan Muhammad Uthman el-Muhammady berkisar tentang penerimaan mau pun keselarian antara nilai Islam dengan asas demokrasi.

Beliau menyatakan tentang pendapat Abul A’la al-Mawdudi dan Syed Qutb. Masing-masing menolak langsung konsep kedaulatan popular — kedaulatan rakyat. Kerana bagi mereka Islam meletakkan kekuasaan mutlak pada Tuhan.

Namun, yang dimaksudkan dengan kedaulatan rakyat itu selalunya menjunjung nilai-nilai seperti kebebasan, keadilan dan seumpamanya. Nilai manusiawi yang juga merupakan nilai kebertuhanan.

Kedaulatan rakyat hendaklah difahami sebagai manifestasi pencaran kuasa Tuhan. Malah, Rashid Ghannouchi yang terpengaruh dengan Malik Bennabi melalui esei “Islam and Democracy” menjelaskan Islam bukan sahaja tidak bercanggah dengan demokrasi, tetapi ia berkongsi dengannya.

Islam mengutamakan keadilan dan kehormatan darjat manusia – penghargaan terhadap keberadaan manusia itu sendiri melalui pemeliharaan hak asasi yang didukung faham demokrasi.

Tidak kurang juga terdapat para ilmuwan yang membahaskan tentang asas demokrasi itu liberal. Yang bagi mereka itu sebagai sekular – terpisah daripada agama.

Namun, Barat yang mengalami “zaman kegelapan” dahulu tidak bermusuh dengan agama tetapi dengan gereja pada waktu itu. Liberal – liber yang bermakna bebas, mungkin bermakna bebas daripada kongkongan gereja.

Islam dan demokrasi bukanlah merupakan item yang berasingan. Tiada sebarang kenyataan dalam Quran yang mengarah kepada bentuk pemerintahan tertentu. Yang dibangkitkan ialah tentang nilai-nilai yang dapat menjamin KEBAJIKAN RAKYAT.

Terpulang sama ada ia dalam bentuk demokrasi atau tidak. Dalam demokrasi sendiri terkandung nilai-nilai universal, nilai-nilai kesetaraan (al-musawah), kebebasan (al-huriyah).

Prinsip ini muncul untuk menentang sistem dominasi kekuasaan yang dilakukan aristokrasi atau oligarki serta tuntutan sebagai akibat daripada hierarki kekuasaan dan diskriminasi sosial.

Kebebasan adalah salah satu syarat untuk mewujudkan demokrasi tetapi tidak semua bentuk kebebasan menunjukkan makna demokrasi.

Tuntasnya, Islam dan demokrasi jelas mempunyai keserupaan, malah lebih jauh dari itu, kedua-duanya membawa nilai universal yang tidak berlawanan tetapi saling memperkuat.

Hal ini bukan bermakna Islam itu tempang tanpa demokrasi tetapi ia lebih merupakan apabila saat seseorang itu berbicara soal Islam, ia juga menyentuh nilai demokrasi yang bersamaan. – Roketkini.com