Budaya

Ketika suara anak muda berteriak – Oleh Muhammad Nazreen

29 JULAI – Sore ini menjadi suatu kesaksian. Anak muda ini bingkas bangkit bersama ribuan rakyat turun mengisi setiap ruang jalanan ibu kota. Nescaya, 9 Julai bukanlah mitos tentang rusuhan antara kaum tetapi detik penyatuan rakyat di bawah satu bendera.

Detik ini sering ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar warganya,  bukan kerana sentimen atau faktor individu. Di saat ini, tiada seorang pun yang menuntut autoriti untuk berdiri di pencak ini.

Malah, setiap insan yang hadir mempamerkan solidariti merasakan bahawa mereka sebahagian daripadanya. Mereka tiba dengan penyatuan sebuah kata: menuntut hak bagi yang berhak.

Kuasa pilihan raya dimonopoli yang punya kuasa tetapi kononnya diabsahkan dengan tuntutan kolektif rakyat.

Maka benarlah kebodohan itu tidak mengenal kelas dan darjat. Malah, seorang penguasa menonjolkan pemikiran lebih bodoh  berbanding seorang pengemis yang merempat di jalanan mencari sesuap nasi.

Hasrat orang muda

Ternyata, memori yang paling bermakna untuk disingkap dalam catitan adalah berkenaan soal anak muda.

Petang itu menjanjikan segalanya. Ada yang tiba dari ceruk-ceruk paling dalam sekitar tanah air, ada pula yang sememangnya datang dari dalam kota. Namun, hasrat orang muda ini punya pengertian yang dalam.

Mereka mahukan keadilan untuk bicarakan mereka menolak bentuk korupsi yang semakin bermaharajalela bahkan institusi agama juga dibela atas kepentingan yang punya kuasa.

Konon meng”atas nama”kan agama, tiada yang lebih sahih dari tindakan sang pemerintah menghapuskan suara-suara kelam mengangkat kebebasan.

Kisah Soe Hok Gie

Suara anak muda ini menghimbau balik kenangan seorang sosok yang pernah wujud di bumi Indonesia. Mungkin, ramai yang mengenali Gie atau Soe Hok Gie di dalam acara menentang kebobrokan rejim Sukarno.

Anak muda ini tidak mengenal rasa ‘takut’ atau gentar kepada ‘kematian’. Kerana baginya, kematian itu pasti tetapi biarlah ia datang dalam keadaan yang terhormat. Kendati pun, ajal itu tiba pada waktu yang paling singkat, biarlah pemergian seorang pemuda itu dirasakan masyarakatnya.

Atas pedoman inilah, Gie mula teriak menghembus dan meniup api-api kegusaran terhadap para penguasa. Maka, Gie mula menggerakkan protes-protes massa dan membangkitkan semangat pemuda-pemudi untuk peka akan kebejatan pemerintah ini.

Manakan tidak, hasil bumi dan hak seorang rakyat makin lama makin dijauhkan, dinafikan malah dalam bahasa lebih keras lagi, rejim ini mula menindas rakyat. Nasib si miskin tidak terbela, yang kaya bertambah kaya, yang fakir semakin hina.

Ironinya, bingkas para pemuda ini bangun, atas nama solidariti bersama rakyat, mereka kental untuk tidak berpihak kepada yang zalim, biarlah menitiskan darah sekali pun tetapi yang berhak harus mendapat haknya.

“Catatan Sang Demonstran”

Itulah unggulnya Gie. Di dalam “Catatan Sang Demonstran”, Gie menghuraikan polemik pemikirannya, bagaimana anak muda ini sering runsing akan tindakan penguasa membodohkan rakyat.

Sering sahaja mereka dengan mudah dimomokkan dengan label yang mengancam kepentingan mereka lantas anasir ini bahaya untuk keselamatan negara.

Tetapi, perkara yang makin membingungkan Gie adalah apabila segala rencam penindasan dan kritik terhadap pemerintah itu dipadamkan dari kitab-kitab perundangan. Lalu, memberikan ketunggalan kebenaran hanyalah di pihak mereka sahaja.

Gie akhirnya sedar, bangsa Indonesia dibodohkan. Waima, diterapkan pula nilai “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”, perlunya seorang rakyat itu menjaga elit pemerintah, dan pada masa yang sama, hak mereka menerima pembangunan dinafikan.

Cuma yang punya kekuatan despotik dan nepotik sahaja yang bisa beruntung. Aduhai malangnya nasib seorang hamba rakyat, sudahlah ditipu kini dipijak.

Mungkin Gie perlu mengejutkan bangsa Indonesianya yang nyenyak tidur. Itu sahaja harapan anak muda ini melihat bangsa terus mekar dimamah usia.

Sukarno jatuh, Suharto bangkit, Gie mati

Sekitar tahun 1965, tatkala rejim Sukarno mula goyah, Gie berjaya menyebarkan kesedaran di kalangan pemuda. Dia berjaya mengaturkan beberapa siri protes massa yang akhirnya membawa kepada keruntuhan tembok pimpinan Sukarno berikutan Gerakan 30 September (Gestapu 30S) Partai Komunis Indonesia dan disusuli rampasan kuasa oleh Jeneral Suharto.

Maka, bermulalah Orde Baru (Orba) di bumi Indonesia. Tetapi sayang, anak muda ini mati muda. Jiwanya diragut di tengah-tengah acara perlawanan rakyat menentang penindasan.

Pemergiannya cukup memberikan impak dan motivasi untuk anak-anak muda yang lain terus pragmatis memperjuangkan nasib bangsa mereka.

Catatan “seorang filosuf Yunani pernah menulis … nasib terbaik adalah tidak dilahirkan, yang kedua dilahirkan tapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua. Rasa-rasanya memang begitu. Bahagialah mereka yang mati muda” tentu sahaja akan membibitkan rasa-rasa peringatan tentang wira agung ini.

Bahagialah seorang pemuda itu mati di dalam keadaan disambut dengan seribu penghormatan bangsanya.

Reformasi 1998

Fenomena Gie tidaklah tamat di situ sahaja. Detik-detik reformasi 1998 pastinya tidak akan melupakan kita tentang peristiwa Trisakti dimana tiga pejuang syahid menentang kezaliman Suharto.

Pasca kejadian itulah, tumbangnya rejim Orba yang rata-ratanya diprakarsai anak-anak Indonesia. Malah, gerakan menumbangkan kezaliman pemerintahan Suharto ini dimulainya oleh anak-anak mahasiswa Indonesia.

Mereka bersatu hanya untuk menyeru ke arah kebebasan dan keadilan. Itulah sebenarnya kekuatan semangat demokrasi yang ada dalam diri seorang pemuda.

Idealisme pancasila juga bermula, tanpa mengira ironinya, dengan semangat “beri saya sepuluh orang pemuda, nescaya saya bakal menggegarkan dunia” yang menjadi asas kepada kenegaraan Indonesia.

Malah, etika “Sumpah Pemuda Indonesia” acap kali menjadi garapan untuk membina asas perjuangan anak muda yang paling perlu.

Ya, mungkin semangat ideal anak muda itu melangkaui batas-batas realiti berkenaan politik kekuasaan dan garisan sosial tetapi apakah kejayaan reformasi menjatuhkan Orba ini lebih tuntas tanpa kekuatan seorang pemuda?

Sudah tentu ianya akan gagal sekiranya majoriti anak muda itu terus diperhambatkan dengan kelekaan dan khayalan di dalam dunia mereka sendiri.

Teriakan anak muda Malaysia

Kembali kepada suasana petang 9 Julai itu, ramainya yang hadir sudah memberikan pembuktian bahawa jiwa Malaysia ini tidak lagi terikat dengan pengkelasan etnik.

Rata-rata yang muda di hari itu berhimpun tanpa mempunyai kecenderungan kaum. Mereka turun kerana hasrat mereka menjadikan negara masih percaya kepada semangat sebenar demokrasi.

Kata-kata pembebasan yang dilaungkan bukan gaya permainan retorik tetapi anak muda ini memaknai kata-kata mereka dengan bersolidariti dengan cara terhormat mengimpikan bumi ini diwarnai dengan corak-corak pentadbiran yang berteluskan semangat liberté, égalité, fraternité.

Suatu ‘magnificia ironi’ yang mendekatkan politik kekuasaan dengan garisan praktikaliti idealisme pemuda yang mendokong erti kata ‘Magna Carta’.

Maka, suara anak muda ini berteriak lagi bukan untuk membudayakan kezaliman dan tirani kuasa autoriti tetapi berteriak demi meneruskan legasi berteraskan kebersamaan semangat demokrasi yang ulung di bumi sendiri.

Lantas, itulah agungnya “ketika suara anak muda berteriak”. – Roketkini.com