Berita

Mengenang jasa Tun Hamdan, Father Julien dan P. Patto

GEORGETOWN, 1 OGOS – Tiga tokoh yang telah berjasa kepada Pulau Pinang diberi penghormatan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan mengabadikan nama mereka sebagai nama jalan-jalan di negeri ini.

Mesyuarat ahli majlis kerajaan negeri Pulau Pinang pada Rabu lalu telah meluluskan cadangan nama baru bagi tiga jalan dalam negeri, iaitu:

* Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir

* Jalan Father Julien; dan

* Jalan P. Patto.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata jalan dari Sekolah Hashim Awang hingga ke Sekolah Bakti yang merangkumi Jalan Bertam dan Jalan Kubang Menerong kini dinamakan Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir;

Katanya jalan Mak Mandin menuju ke Jalan Bunga Tanjung 7, Butterworth pula dinamakan Jalan P. Patto, dan jalan di tepi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee di Jalan Hamilton sebagai Jalan Father Julien.

Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir adalah bekas TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang terkenal sebagai seorang tokoh pendidikan. Beliau juga adalah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Mendiang P. Patto adalah ahli politik DAP yang telah banyak berjasa kepada rakyat dan pada satu ketika adalah Ahli Parlimen Bagan.

Datuk Father Arthur Julien adalah seorang Mubaligh Kristian yang telah banyak berjasa kepada rakyat dalam bidang pendidikan. Beliau tiba di Pulau Pinang pada 1952 untuk menubuhkan kumpulan sekolah-sekolah Heng Ee. – Roketkini.com