Rencana

Ramadhan dan bulan Merdeka – Oleh Muhammad Zir

1 OGOS – Hari ini umat Islam di Malaysia mula berpuasa di bulan Ramadhan yang istimewa kerana ia jatuh pada bulan di mana negara kita mengisytiharkan kemerdekaannya dari penjajahan Inggeris, 54 tahun yang lalu.

Bulan Ogos punya makna kemerdekaan yang begitu mendalam di hati sanubari rakyat Malaysia umumnya. Begitu juga dengan bulan Islam yakni Ramadhan, amat besar maknanya bagi seorang Muslim yang mentaati perintah penciptaNya.

Bulan Merdeka

Di bulan Ogos inilah di mana Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra  telah mengisytiharkan kemerdekaan tanah air yang merupakan satu peristiwa yang amat bersejarah.

Di dalam pengisytiharan itu termaktub dengan jelas bahawa kerajaan yang merdeka menjanjikan satu kontrak sosial yang akan didukung cita-citanya hingga ke akhir zaman.

Janji-janji itu adalah untuk menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi berparlimen dengan kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman yang bebas.

Turut disebut ialah tentang amalan budaya dan agama yang diamalkan secara adil dan bebas. Begitu juga hak kaum dan agama yang jelas tertera di mana tidak ada sesiapa boleh ditindas atau dipinggirkan kerana agama dan kaum.

Janji-janji ini juga adalah perjuangan setiap rakyat, parti dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang bergerak di atas landasan undang-undang yang sah.

Pendirian Pakatan Rakyat

Sehingga hari ini, jika kita ambil contoh Deklarasi Permatang Pauh yang dibacakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pemecatannya dari kerajaan pada September 1998 yang menuntut janji-janji ini ditunaikan oleh pihak kerajaan yang memerintah.

Antara intipati deklarasi itu adalah:

“Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan.

“Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya.”

Baru-baru ini sebuah pertubuhan Angkatan Amanah Merdeka pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah turut ada mengumumkan hasrat yang sama untuk negara kembali kepada asas Perlembagaan Merdeka.

Begitu juga dengan Parti Tindakan Demokrasi (DAP) yang turut memperjuangkan perkara yang sama, malah lebih terperinci dalam aspek ketelusan pentadbiran kerajaan dan agihan kekayaan hasil mashul negara.

Sewaktu konvesnyen kebangsaan DAP pada 2010, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah menyatakan:

“Jalan Tengah Malaysia lebih sukakan kerjasama dan bukannya konflik; konsultasi dan bukannya konfrontasi; dan sebuah masyarakat bersama yang inklusif iaitu merangkumi semua dan bukannya eksklusif.

“Sesebuah masyarakat bersama itu meraikan kepelbagaian dan memberikan peluang kepada semua warganya dengan menjamin penyertaan secara demokratik, hormat kepada kepelbagaian dan kemuliaan maruah manusia, memberikan peluang yang saksama dan perlindungan daripada diskriminasi.”

Malah Parti Islam SeMalaysia (PAS) juga kini berubah wajah tanpa mengorban sebarang prinsip perjuangan Islamnya dengan menitik beratkan sebuh negara yang mengamalkan prinsip-prinsip asas iaitu negara berkebajikan.

Dalam ucapan dasar muktamar April lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggariskan asas-asas negara berkebajikan yang antara lain:

• Bertanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain;

• Tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan;

• Mewujudkan kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani;

• Melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman; mengikut kaedah perundangan Islam yang menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya; dan

• Menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan.

Mana janji pemerintah?

Soalan yang menarik di sini ialah, adakah selama lebih 50 tahun negara ini merdeka, janji-janji tersebut masih belum tertunai?

Sewajarnya, bulan Ogos yang penuh memori ini kita sebagai warga negara yang merdeka seharusnya meneliti kembali bukan sahaja makna kemerdekaan, malah yang lebih utama melihat ke dalam tentang janji-janji yang telah diucapkan oleh Bapa Kemerdekaan kita.

Kita teliti dan sedarkan diri, di mana silapnya maka janji ini terbengkalai? Kita diskusikan bagaimana janji-janji ini telah diseleweng oleh kerajaan. Dan kita hayati cabaran sebenar bagaimana kita sebagai insan mampu merealisasikan janji-janji ini.

Sesungguhnya, di dalam ajaran syumul Islam senantiasa menuntut kepada kita yang membuat janji untuk menunaikannya. Apatah lagi, kesemua janji-janji ini adalah sebuah usaha ke arah kebaikkan dan kemashalatan umat.

Ramadhan Al Mubarak

Di samping kita dituntut untuk bekerja ke arah kesejahteraan bangsa, dengan berpuasa jugalah kita sebagai hamba dianjurkan untuk bermuhasabah diri yakni menghisab semua amalan-amalan hidup agar kita beroleh kesedaran.

Lapar, dahaga dan segala tuntutan hawa nafsu sedang diuji. Ini menjelaskan lagi bahawa kita sebagai manusia biasa mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama sahaja.

Kita wajib sentiasa membantu dan merasai sendiri nilai yang dianjurkan oleh Islam iaitu kesamarataan, keadilan dan sifat saling hormat-menghormati baik antara kaum, budaya dan kepercayaan.

Tidak ada bangsa atau agama di dunia ini yang menganjurkan perpecahan atau monopoli sepertimana yang UMNO-BN lakukan.

Tidak ada dalam mana-mana ajaran agama yang membenarkan manusia dipenjara tanpa sebab dan tanpa dibicarakan. Malah tidak ada dalam mana-mana kitab sekali pun yang membenarkan manusia lain menfitnah dan mengadu domba terhadap insan lain.

Sebaliknya, apa yang telah dianjurkan oleh Islam adalah sama dengan konsep demokrasi yang sama rata, sama rasa buat semua warga Malaysia. Inilah asas demokrasi yang kita perjuangkan.

Menghormati kedua-dua bulan ini, bukan sekadar berbuka puasa hingga membazir. Sebaliknya berkongsi kesusahan dengan rakyat, berkongsi impian dengan masyarakat dan berkongsi hidup sebagai sebuah bangsa yang merdeka.

Selamat menyambut Ramadhan dan Selamat Hari Merdeka buat semua anak bangsa Malaysia. – Roketkini.com