Rencana

Had untuk pegawai, kepuasan untuk menteri – Oleh Daing Yahya

2 OGOS – Manusia yang dikurniakan akal waras pasti tahu bahawa setiap apa yang dimilikinya mempunyai had atau ‘limitation’, sama ada had masa atau tempoh. Ini adalah fitrah semula jadi kita.

Yang lebih menarik lagi ialah apabila sifat had ini berpasangan dengan satu lagi sifat yang semulajadi juga iaitu kepuasan.

Had dan tingkat kepuasan atau ‘limitation and degree of satisfaction’ merupakan satu sifat yang saling berlawanan. Perlawanan sifat-sifat ini akan mudah kita lihat dalam bentuk politik kuasa.

Pasti sudah semakin ramai yang tahu bahawa kuasa bagi manusia itu mempunyai had dan mereka ini juga mahukan kepuasan ketika menduduki tampuk kekuasaan. Kemaruk atau gila kuasa ini sudah selalu sangat kita lihat dan dengar.

Kepuasan dalam konteks kuasa sememangnya sangat hebat. Tarikan atau godaannya melebihi dari godaan seorang perawan manis atau jejaka kacak, melebihi harta benda, malah melebihi tarikan jus epal di bulan Ramadhan seperti sekarang.

Subordinat kuasa

Kuasa ini bukan hanya terhad kepada insan politik seperti perdana menteri, menteri, wakil-wakil rakyat, malah juga ketua-ketua pengarah di mana-mana organisasi. Ia juga turut dinikmati oleh pihak yang bekerja sebagai penguatkuasa, baik polis mahu pun kastam dan imigresen. Mereka ini boleh kita gelar sebagai subordinat kuasa.

Dengan bahasa yang lebih mudah, kuasa itu digerakkan menerusi tindakan subordinat kuasa (penguatkuasa) dalam memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada undang-undang, yakni kuasa.

Bagi yang pernah menjadi manusia ‘penguatkuasa’ ini, pasti mereka sudah merasai bagaimana nikmatnya ketika menggunakan kuasa itu. Mereka merasakan sangat istimewa, berkuasa untuk ‘menundukkan’ insan lain mengikut perintah mereka.

Jika kita melihat beberapa usaha ke arah pemulihan dan pengawalan yang sedang cuba dibuat oleh beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, ia merangkumi langkah bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan kuasa, yakni korupsi di kalangan subordinat kuasa, termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan mereka di sesuatu pos kawalan atau bahagian (tempat).

Melihat dari tindakan ini, sekali pandang sememangnya ia antara mekanisme yang penting untuk membendung berlakunya salah guna kuasa.

Pertama, seharusnya langkah ini telah diambil lebih awal, bukan setelah berlakunya masalah seeprti jenayah atau korupsi.

Kedua, pegawai Imigresen ini kita tahu yang mereka rata-ratanya datang dari pelbagai pangkat, ada yang berpangkat tinggi, sederhana dan rendah. Golongan ini dikatakan, jika terlalu lama berada di sesuatu pos kawalan, mereka amat terdedah dan berisiko tinggi untuk melakukan korupsi, salah guna kuasa, penyeludupan dan pelbagai lagi masalah lain.

Jika mereka-mereka yang di tahap rendah dengan sedikit kuasa ini sudah jelas menunjukkan adanya ‘kemampuan’ untuk berlaku curang, bagaimana pula dengan seseorang yang bertahap yang lebih tinggi dari itu?

Penguasa kuasa

Adakah menteri-menteri atau Perdana Menteri tidak berkemampuan untuk berlaku curang kepada kementerian, kepada kerajaan, kepada rakyat?

Mengapa kaedah ini (menghadkan tempoh perkhidmatan) itu hanya dijalankan di peringkat rendah dan pertengahan dan khususnya di Jabatan Imigresen sahaja?

Bagaimana dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain? Bagaimana dengan polis, Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan sebagainya?

Bagaimana pula dengan had tempoh untuk sesuatu jawatan penting seperti Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis, menteri hatta Perdana Menteri sekali pun? Tidakkah ianya juga untuk membendung potensi berlakunya salah guna kuasa?

Jika jawatan Yang di-Pertuan Agong boleh pula digilirkan, mengapa tidak ada kaedah yang sama digunakan oleh jabatan, kementerian dan agensi-agensi awam dan penting yang lain?

Apakah hanya subordinat kuasa seperti pegawai Imigresen sahaja yang boleh melakukan jenayah? Apakah pengarah-pengarah, ketua-ketua polis dan yang lain-lain itu ‘kebal’ atau maksum dari terdedah dan berpotensi untuk melakukan penyalahgunaan kuasa?

Sistem yang menyeluruh

Jika pelaksanaan yang baik dan telus ini diteliti, kita akan dapat lihat dengan jelas hubungannya dengan konsep demokrasi yang lebih tulus dan baik.

Had atau had tempoh, baik dari segi ruang kuasa, saiz kuasa dan tempoh kuasa bagi seseorang khususnya dalam perkhidmatan awam yang terdedah dengan pelbagai risiko salah guna kuasa, pecah amanah dan sebagainya, perlu mempunyai satu mekanisme yang baik dan praktis.

Sistem ini akan menjadi model bagi masyarakat dan juga dibidang-bidang yang lain untuk turut mencontohinya.

Dalam mekanisme ini, had-had yang telah ditetapkan bukan sekadar untuk mengelak jenayah sebaliknya bagi memberi peluang dan ruang kepada bakat-bakat lain, yakni insan lain untuk turut berkhidmat di sesuatu tempat atau jawatan tersebut.

Bukankah ini akan membuka lebih banyak peluang, daripada itu maka akan lebih banyak pilihan, dan dengan pilihan yang banyak, sudah pasti untuk mencari yang terbaik itu tidak begitu sukar.

Hak bagi semua bakat untuk menunjukkan potensinya amatlah penting dalam mewujudkan satu generasi madani. Yakni yang menghormati institusi, undang-undang dan fungsinya sebagai satu amanah, bukan sebagai lombong emas untuk mengambil kesempatan.

Jika Perdana Menteri mempunyai had tempoh perkhidmatan yang mungkin sekitar dua atau tiga penggal, sudah tentu kita tidak akan ketandusan pemimpin yang bersih dan berwibawa.

Malah sesiapa juga berpeluang untuk menjadi pemimpin tanpa ada sifat prejudis dari mana-mana pihak. – Roketkini.com