Rencana

Bakat muda – Oleh Muhammad Zir

4 OGOS – Yang digembar-gemburkan oleh kerajaan khususnya pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi ialah aspek modal insan dalam konsep Islam Hadhari. Sebelum ini Tun Mahathir Mohamad di zamanya sibuk dengan idea jati diri dalam menyahut cabaran Wawasan 2020.

Kini, Dato Seri Najib Tun Razak pula, sebelum slogan 1Malaysia muncul, beliau telah menekankan tentang konsep ‘glokal’, yang cuba menggambarkan semangat gigih berusaha di peringkat global dan local (tempatan).

Entah apa yang mereka cuba sampaikan, hingga kini ramai rakyat Malaysia masih kebingungan.

Tanya sahaja pada pakcik makcik di kampung-kampung. Tanya anak-anak muda yang ranggi di kota-kota. Tanya juga pada abang-abang imam muda kita. Tanya pada gadis manis jelita di kaunter bayaran bil.

Sebutir biji nasi pun mereka tidak akan faham sepenuhnya apa yang cuba disampaikan oleh tokoh-tokoh UMNO dan Barisan Nasional ini.

Jika ada ungkapan atau buah fikiran dari rakyat sekali pun, semuanya dalam bentuk skrip yang entah siapa yang menulisnya, yang sering dipaparkan di laman akhbar dan skrin TV milik UMNO-BN.

Kerajaan sebagai pengurus

Dalam pembentangan Bajet yang lalu, Perdana Menteri 1Malaysia telah menubuhkan “Talent Corporation” di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja yang berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.

Tujuannya untuk mengurus bakat-bakat yakni profesional di kalangan rakyat Malaysia, baik yang akan bekerja atau yang sedang bekerja di luar negara.

Malah, Kabinet 1Malaysia ini juga telah menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).

Ini juga jika kita fahami dengan mendalam, adalah untuk memastikan pembangunan bakat-bakat kita terus berkembang dengan sihat dan terjamin. Ketepikan dulu soal gaji atau insentif kakitangan awam yang disebutkan.

Fokusnya adalah untuk mengekal bakat sedia ada dan membangunkan bakat-bakat baru dalam sektor awam dan swasta menerusi pelbagai bidang.

Ini merupakan ‘kerja’ di peringkat nasional atau pentadbiran tertinggi negara. Tidak kita persoalkan sama sekali kerana itulah peranannya.

Pelaksanaan yang menjadi persoalan

Jika kita meninjau aktiviti dan hasil dari masa ke semasa di peringkat pelaksanaanya pula, maka akan timbul banyak persoalan.

Antaranya, hingga kini kita rakyat Malaysia tidak tahu sejauh mana peruntukan dari Bajet ini telah berjaya memberi output yang disasarkan. Belum lagi ada laporan yang jelas tentang keberkesanan perlaksanaan dan hasilnya.

Jika kita masih belum lupa, baru-baru ini juga, sempena sambutan hari belia Malaysia, kerajaan 1Malaysia juga telah mengumumkan satu projek yang dilihat agak menarik iaitu Parlimen Belia.

Tujuannya juga sama, untuk memastikan semua anak-anak muda belia ini punya ruang untuk menunjukkan bakat mereka baik sebagai pemimpin organisasi mahupun masyarakat.

Ini juga hingga sekarang, belia-belia yang berhak untuk tahu masih tidak tahu hujung pangkalnya projek ini.

Apa itu bakat?

Bakat amat sukar diukur tetapi amat mudah dilentur atau dengan kata lain – boleh dibentuk, dan jika dibentuk dengan baik, hasilnya amat membanggakan.

Kemahiran atau pengetahuan itu tidak sukar untuk diukur kerana ia boleh dipelajari baik secara formal atau pun tidak.

Bakat adalah intuisi, ia menjadi pendorong kepada sifat ingin tahu, maka bermulalah kehendak seseorang itu untuk belajar, kemudian barulah kemahiran itu diperolehi. Ia memerlukan satu jangka masa atau proses yang panjang dan konsisten.

Apabila kita bercakap tentang ‘bakat’, secara umumnya ia akan menarik persoalan ini kepada kefahaman tentang bakat seni. Seni ini pula akan dikaitkan dengan nyanyian, lakonan dan sastera sahaja. Inilah realiti pemikiran kita.

Sebetulnya, bakat bukan hanya persoalan tentang seni hiburan atau nyanyian semata-mata. Maknanya lebih luas seluas langit dan bumi ini.

Memang benar bakat itu merupakan aset dalam bidang kesenian, tetapi bakat juga diperlukan dalam bidang sains teknologi dan kepimpinan.

Tiga sumber bidang ini akan terpecah kepada bidang-bidang yang lebih khusus contohnya bidang sains. Bidang ini akan membuka jalan untuk menjadi seorang saintis, jurutera kimia, jurutera genetik, doktor dan sebagainya.

Intuisi bakat muda

Jika kita pernah mendengar bagaimana Albert Einstein mengemukakan teori relativitinya, pasti kita akan tahu bahawa idea itu datang dari intuisinya. Ilmu matematik berperanan selepas idea itu muncul. Dan matematik dan sains bertindak sebagai penyelesai kepada masalah dalam idea relativitinya itu.

Begitu juga dengan aspek kepimpinan. Ambil contoh paling popular iaitu Najib sendiri. Bakat, karisma dan ketokohannya memang datang dari budaya dan status dalam keluarganya.

Beliau sejak berusia awal 20-an lagi sudah menjadi pemimpin politik dan masyarakat. Pada usia 29 tahun sudah menjadi Menteri Besar. Pada usia 30-an, kerjaya penuh sebagai pemimpin kerjaaan dan masyarakat.

Begitu juga ketokohan pemimpin yang lain, lihat saja Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng, bakat mereka sudah terserlah sejak usia muda lagi, dalam lingkungan 20-an.

Tetapi hari ini, hendak cari 30 peratus Ahli Parlimen di bawah usia 30 tahun pun susah!

Mungkin kerana takrif “pemuda” dalam budaya politik kita masih membayangkan bahawa seseorang yang berumur 39 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai beberapa anak, masih lagi dianggap “anak muda” dan tidak berpeluang aktif dalam arus perdana politik.

Bagaimana mengurus bakat?

Negara kita sedang menuju ke sebuah negara yang akan dipimpin dan ditadbir oleh warga berwajah muda tetapi yang berusia dan berperangai tua.

Bukan pula bermaksud untuk menghina golongan tua. Malah lebih baik yang tua tapi berhati muda berbanding yang muda tapi tak faham aspirasi anak muda.

Kita bercakap tentang konsep mengurus dan membangunkan bakat-bakat baru.

Pada asasnya, bakat-bakat muda ini, selain memerlukan latihan dan dorongan yang betul untuk berkembang. Mereka juga memerlukan ruang, peluang dan pendedahan yang berterusan tanpa disekat-sekat.

Tidak kiralah berapa banyak wang yang kerajaan campakkan untuk keperluan bakat-bakat muda ini. Perkara pokoknya ialah memberi mereka kebebasan untuk berpraktis sebagai ‘pemain utama’ secara terbuka dan berterusan baik dalam lapangan kemasyarakatan mahupun organisasi.

Peluang atau ruang yang diberi memang memerlukan tanggungjawab untuk dipikul oleh golongan muda ini. Tetapi jangan pula ia dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan golongan ini untuk bereksperimentasi dengan bakatnya dan minatnya.

Kepercayaan harus diletakkan ditempat yang sewajarnya.

Memang setiap eksperimen yang dilakukan, tidak akan pernah berjaya pada peringkat awalnya. Ia telah dibuktikan oleh ramai tokoh-tokoh terdahulu, baik di bidang sains, seni dan bidang apa sekalipun.

Namun, apa yang menariknya ialah, mereka (bakat-bakat muda) ini akan melakukan kesilapan lebih awal, maka kecenderungan dan peluang untuk mereka belajar dan memperbaiki kelemahan-kelemahan itu juga sudah bermula lebih awal lagi.

“To climb steep hills requires a slow pace at first, kata karyawan agung William Shakespeare.

Bukankah itu sebaik-baik kaedah untuk mengurus bakat anak bangsa kita? – Roketkini.com