Berita

Tindakan JAIS boleh jejas keharmonian kaum

KUALA LUMPUR, 5 OGOS – Tindakan Exco Selangor Datuk Hasan Ali mempertahan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di satu majlis makan malam muhibbah di Gereja Metodis Damansara Utama (DUMC) dilihat sebagai satu tindakan kurang bijak yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, apa yang dilakukan Hassan itu adalah melanggar muafakat kerajaan negeri Selangor kerana ‘memintas’ tindakan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu menyelesaikan masalah secara bijaksana dan berhemah.

Katanya, respon cepat oleh Khalid yang menyesali serbuan JAIS itu serta meminta jabatan itu menjelaskan mengapa ia bertindak demikian menunjukkan kerajaan negeri Pakatan Selangor menghormati kebebasan beragama dan hak berpersatuan.

“Kenyataan Khalid bahawa Selangor sentiasa terbuka kepada penglibatan dan dialog yang berhubung keharmonian dan sifat saling hormat menghormati antara komuniti agama serta menghargai usaha membina masyarakat bersatu padu adalah sangat tepat pada masanya,” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini di sini.

Semalam Khalid telah menegaskan bahawa kerajaan Selangor menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka.

Rabu lalu, JAIS telah menyerbu sebuah majlis makan malam muhibbah anjuran DUMC tanpa sebarang waran.

Puluhan anggota JAIS dan polis telah menyerbu bangunan itu sekitar 10 malam dan menyoal para hadirin yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum dan agama.

Berhubung kontroversi itu Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, telah mengeluarkan kenyataan yang antara lain menyebut: “Terdapat bukti-bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.”

Lantaran daripada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak hari ini mengeluarkan larangan agar kesemua Exco Selangor tidak membuat sebarang kenyataan berhubung serbuan JAIS itu.

“Sehingga tindakan ini diambil dan isu ini diselesaikan, semua ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor dilarang dari membuat sebarang kenyataan berkenaan isu ini.

“Niat dan tujuan yang baik tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan dalam memimpin masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad turut menuntut penjelasan Hassan yang mempertahankan sebuan JAIS itu.

“Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan JAIS dan mesyuarat dewan bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.

“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata dia ada itu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini. – Roketkini.com