Budaya

Warkah buat cinta ku, Malaysia

I.

 

Ketakutan kamu berpunca dari salah faham. Untuk melihat kamu dan mengeluarkan segala yang di dada, sungguh amat menyakitkan. Bagaimana pun, bukankah cinta itu datang bersama rasa gentar, dan perubahan pula bergenggamkan keyakinan?

 

Tidak rugi jika terlewat, dan tidak pula terlewat jika gagal dalam perubahan. Aku genggam ini seperti kali terakhir menggenggam tangan kamu, Malaysia. Lima puluh empat tahun, dan Kuasa mereka terus menghancurkan cita-cita kamu.

 

Perubahan adalah jenaka kepada mereka. Walau pun sudah tidak mampu melihat wajah kamu, kamu takkan hilang. Perubahan adalah langkah teragung kamu mampu lakukan.

 

Dan ianya tidak memerlukan wang ringgit.

 

Sedikit keberanian.

 

Keberanian kita lima puluh empat tahun dahulu adalah apa yang membentuk masa hadapan. Kegagalan berpunca kerana janji manis-palsu mereka; kemenangan kita adalah rasa atas rasa cinta abadi.

 

Tanpa komunikasi, perubahan hanyalah ‘hukuman paling kejam’ untuk semua manusia.

 

Jarak perubahan adalah ruang, komunikasi berkaitan masa, dan kita adalah jirim. Ketiga ini ialah asas kepada perubahan kamu, Malaysia.

 

Malangnya, perkauman tidak memerlukan ini. Jauh sekali perjanjian dengan mereka yang lebih kuah dari sudu.

 

 

II.

 

Cinta, kebersatuan dan komitmen untuk Ubah; adalah sahabat sejati dalam gelombang ini. Kekuasaan mereka yang berlebihan membawa kepada semaraknya api kebencian – sama ada kaum atau agama, berikan salah satu. Ia umpama kata editor aku, bagaikan api mancis.

 

Kamu, Malaysia, kekal bijak kekal angkuh memilih yang terindah. Kami, yang memijak kamu setiap detik, tidak pernah mendustakan kamu.

 

Janji berkaitan cita-cita, kesan buruknya memenjarakan perasaan. Kebergantungan padanya adalah kelipan pudar perasaan yang dibina.

 

Adakah mereka gagal?

 

Bagaimana pun patut aku kirimkan lagi puisi ubahan untuk kamu, sedangkan aku tidak memahami akan kebodohan mereka yang tidak mempercayai kamu.

 

Terdiam mereka kerana tiada pilihan. Perangkap yang dibina mereka menjerat kaki sendiri, usah fikir akan berlari lagi.

 

Bagaimana pula mereka katakan bahawa kami terlalu takut dengan mereka walhal dalam masa sama, tertimbul rasa yang kami mahukan ‘kita’ saling berkucupan bersama segar embun pagi, pasca kejatuhan mereka.

 

Bukankah kesunyian yang bakal mereka hadapi adalah sakit yang paling mengajar?

 

Tetapi mereka belum belajar. Mereka muda, kita juga muda. Dalam perubahan, kita tidak akan pernah tua. Yang tua hanyalah janji, dan ia boleh di ubah. Bagaimana pula akan cinta, perubahan, dan komitmen?

 

 

III.

 

Perubahan dibina atas rasa cinta. Ateis yang arif menghormatinya. Untuk memanipulasi agama dan kehendak masyarakat, mereka sudah berjaya…

 

Bagaimana pun, kamu belum mati hati walaupun semangat sudah tidak lagi hangat. Semangat hangat akan bangun setiap masa, kehangatan hanyalah persepsi.

 

Masa, masa, masa!

 

Masa umpama seorang tua; ia tidak mencemburui perubahan. Dia mempercayai segalanya dan sanggup memberi segalanya. Dia terlalu mahal sehingga tidak bernilai. Matinya, mati kita. Hidupnya, memekarkan keharmonian – cita-cita kita lima puluh empat tahun dahulu.

 

Kita hampir kembali dari mati ketika aku menulis ini. Surat ini akan terus kekal; bersama perasaan, walaupun bergoncangnya dunia, sampai berganti masa, surat ini akan terus menyayangi kamu, rakyat Malaysia.

Semoga kita tidak akan lemas dek kekejaman mereka, Malaysia.

 

Nukilan:

Che Kuntum

Kuala Lumpur

1 Ogos 2011