Berita

Laporan polis terhadap video perkauman tuduh DAP naikkan harga barang

KUALA LUMPUR, 8 OGOS – Ada pihak telah menghasilkan video atas nama 1Malaysia untuk memfitnah DAP sebagai dalang yang menyuruh semua peniaga Cina menaikkan harga barang supaya rakyat sengsara.

Klip video di laman Youtube bertajuk “Sembang Rakyat – Kedai 1Malaysia” telah dimuatnaik oleh orang yang menggunakan nama gelaran Kawasaki9722, bertujuan menggunakan sentimen lapuk perkauman dengan menuduh DAP mewakili peniaga-peniaga Cina menaikan harga barang di Malaysia.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari menempelak pihak yang menghasilkan video tersebut kerana cuba menipu rakyat Malaysia dengan fakta yang dangkal serta membangkitkan api perkauman.

“Realitinya, harga barang dikawal secara langsung oleh kerajaan Barisan Nasional dengan adanya inflasi, subsidi, pengawalan harga minyak, gula dan sebagainya,” katanya kepada pemberita sejurus membuat laporan polis mendesak menyiasat pembuat video tersebut di Balai Polis Tun H S Lee di sini petang ini.

Menurutnya, kenaikan harga barang dan inflasi berlaku kerana ketirisan dan kepincangan dalam dasar dan urus tadbir ekonomi Malaysia, dan tidak ada kena-mengena dengan kaum atau agama.

“Di samping itu, syarikat yang mengawal industri gula pula adalah Felda, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada inflasi adalah kuasa pasaran antarabangsa yang berada di luar kawalan, dan juga ketidakcekapan dalam urustadbir ekonomi negara kita,” katanya.

Justeru beliau memberi contoh subsidi gas yang jumlahnya berbilion-bilion ringgit setiap tahun diberi kepada penjana tenaga bebas (IPP) yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia makin meningkat.

“Bukankah tujuan pemberian subsidi itu untuk mengurangkan beban rakyat? Satu lagi contoh polisi yang menguntungkan syarikat besar dan membebankan rakyat adalah monopoli beras, yang dikawal oleh Bernas, sebuah lagi GLC.

“Oleh kerana monopoli yang mengekang pasaran beras ini, hasilnya harga beras import di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding harga beras import di Singapura!” katanya.

Justeru, jelas Zairil, kebertanggunjawaban bagi masalah inflasi harus dipikul oleh Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN dan bukan mana-mana pihak lain, terutamanya DAP.

Oleh itu beliau mempersoalkan bagaimana pula DAP boleh dikatakan terlibat untuk menjatuhkan BN dengan bersekongkol dengan peniaga-peniaga Cina, walhal DAP semenjak penubuhannya tidak menetapkan sebarang dasar berunsur perkauman seperti yang dilakukan kerajaan BN.

Zairil secara terbuka meminta rakyat menilai sendiri video propaganda murahan tersebut di http://www.youtube.com/watch?v=_PFkwslteWk

Berdasarkan kualiti terbitan klip video tersebut, beliau berkata, jelas ia bukan terbitan sembarangan tetapi telah dibuat secara profesional dengan peralatan dan peruntukan yang mencukupi.

“Dalam erti kata lain, klip video ini adalah angkara pihak-pihak tertentu yang mempunyai sumber kewangan yang besar,” katanya, merujuk kepada mutu persembahan video itu yang dikatakan menyerupai drama iklan syarikat-syarikat korporat besar di negara ini. – Roketkini.com