Berita

Tanah runtuh: DAP mahu kerajaan kaji pembangunan bersistematik dan mesra alam

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – DAP mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga tujuh mangsa tragedi tanah runtuh di perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands.

Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok berkata, tragedi yang menimpa masyarakat Orang Asli itu sangat menyedihkan dan mereka perlu diberi bantuan segera.

Beliau menyeru agar pihak yang bertanggungjawab berusaha untuk mencari kaedah yang lebih berteknologi dan mesra alam agar kejadian sebegitu dapat dielakkan pada masa mendatang.

Pada awal pagi 7 Ogos lalu, tujuh termasuk empat wanita meninggal dunia dalam tragedi yang berlaku di Perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Ruil.

Mangsa yang meninggal ialah Normadiah Lasik, 69; Ali Hassan, 50; Jaafar Balad, 49; Mohd. Iqbal, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51, dan Yusmizan Yusof, 22.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menjelaskan, kerajaan negeri Pahang sepatutnya memantau tebing-tebing yang berada sepanjang jalan menuju ke Cameron Highlands.

“Melalui pemerhatian saya dari cara jalan baru yang dibuat, kalau melalui Batu Gajah ke sana, lereng-lereng bukit itu kelihatan aneh.

“Saya agak bimbang dengan cara pembangunan yang seakan tidak terkawal ini,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Pahang Apalasamy Jataliah yang turut mengucapkan takziah dan mengkritik kerajaan kerana membenarkan pembangunan sewenang-wenangnya dilaksanakan di kawasan itu.

“Sekarang hujan lebat kerap berlaku. Oleh kerana banyak pokok dan hutan telah ditumbangkan, dan kerana mereka yang buat pembangunan ganggu tanah, iklim dan keadaan tanah di sini sudah bertukar.

“Malah, dalam masa sama pembangunan oleh kerajaan dan swasta di sini tidak mengambil berat tentang alam. Itu sebab mudah berlaku tanah runtuh,” katanya.

Beliau menyeru agar kerajaan negeri Pahang, kerajaan pusat dan pihak swasta menghentikan perobohan tanah kerana ia telah mengakibatkan tragedi malang. -Roketkini.com