Rencana

Indahnya belajar bersama kaum lain – Oleh Nurul

11 OGOS – Saya dilahirkan di Alor Setar, Kedah dan merupakan anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Bapa saya berketurunan Pakistan dan ibu berketurunan Arab, dan saya dibesarkan dalam suasana Islam.

Pendidikan saya bermula dari aliran Cina dan kemudiannya ke sekolah di Alor Setar. Kini saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej aliran Cina di Pulau Pinang dalam bidang Multimedia Design.

Setelah menduduki peperiksaan SPM dan semasa menunggu keputusan saya telah memohon untuk memasuki kolej ini pada bulan Januari lalu. Alangkah terkejut dan gembirnya permohonan saya diterima.

Dalam masa membuat permohonan berdasarkan keputusan percubaan, saya telah menerima pelbagai reaksi positif daripada guru-guru saya, sebaliknya ramai pula kenalan yang memberi reaksi negatif kerana kolej yang saya pohon itu 99 peratus daripada pelajarnya adalah kaum Cina.

Namun disebabkan galakan daripada ibu bapa, saya meneruskan hajat saya walau dengan hati yang risau, maklumlah saya akan ditempatkan dengan pelajar lain di asrama yang kesemuanya pelajar Cina..

Yang paling saya risau adalah masalah solat lima waktu dan makanan halal, serta persoalan adakah saya akan dapat meneruskan kehidupan dan pelajaran dengan mereka, tambahan pula untuk berpuasa pada bulan Ramadhan ini.

Namun pelbagai andaian saya meleset sama-sekali. Kolej yang saya belajar adalah sebuah kolej antarabangsa dengan pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia, walau mereka kaum Cina majoritinya.

Dari sinilah saya didedahkan betapa pentingnya perpaduan kaum kerana ilmu di dunia ini datangnya dari seluruh dunia dan setiap bangsa memiliki kelebihan masing-masing.

Saya diberi tunjuk ajar dari peringkat mula hinggalah akhir setiap hari dan kami semua dapat bersatu sebagai pelajar kolej tanpa membezakan warna kulit.

Perkara agama tidak disentuh, malah disediakan pula sebuah bilik untuk saya bersolat di kolej dan asrama.

Apabila saya demam mereka membawa saya ke hospital swasta dengan pembayarannya dikecualikan walau demamnya tidak seberapa. Sekiranya di rumah ibu bapa saya hanya memberi Panadol sahaja.

Beginilah betapa ambil beratnya rakan-rakan Cina dan India saya. Setiap hari menu makanan halal saya kerap kali dibeli oleh mereka di kedai berdekatan oleh kerana saya tidak mempunyai pengangkutan sendiri.

Manakala di bulan puasa ini pula antara mereka juga ada yang cuba berpuasa. Kami menjalani kehidupan dan pembelajaran dengan penuh ikhlas seperti mana sebuah keluarga.

Tidak ada sedikit pun perasaan curiga, rasis dan lokek di kalangan kami walau kami daripada pelbagai bangsa dan negara.

Inilah yang saya ingin melihat satu hari nanti Malaysia bakal memiliki rakyat yang dikenali sebagai satu bangsa Malaysia yang unggul, bersatu dan tabah menjaga keharmonian kaum.

Ini perlu demi mewujudkan sistem masyarakat yang adil, saksama dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain serta memansuhkan apa saja sistem dan undang-undang yang berat sebelah dan memalukan serta tidak mengguris perasaan kaum lain. – Roketkini.com