Berita

Batalkan perjanjian tukar pelarian dengan Australia, kata Teresa Kok

SHAH ALAM, 12 OGOS – Kerajaan Malaysia perlu membatalkan perjanjian pertukaran pelarian asing dengan kerajaan Australia kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara, kata Setiausaha Organisasi DAP Teresa Kok.

Beliau berkata perjanjian itu melibatkan pertukaran 4,000 pelarian asing di Malaysia yang telah disahkan status mereka oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNCHR) dengan 800 pelarian yang sedang berada di Australia yang tidak diketahui latar belakang mereka.

“Orang asing yang akan dibawa dari Australia ini tdiak diketahui sama ada mereka benar-benar pelarian. Latar belakang mereka, kebolehan bahasa mereka, kemahiran kerja mereka semuanya samar-samar.

“(Menteri Dalam Negeri) Hishammuddin Hussein sendiri tidak tahu siapa yang dibawanya ke Malaysia,” kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh.

Malah, beliau menambah, oleh kerana pendatang asing tersebut masuk secara haram ke Australia, mereka juga mungkin mempunyai kaitan dengan jenayah.

Teresa berpendapat, daripada membuat pertukaran itu, lebih baik kerajaan Malaysia mengekalkan 4,000 pelarian asing di Malaysia, kebanyakan mereka dari Burma, kerana mereka telah pun diiktiraf oleh UNCHR.

Menurutnya mereka sudah berada di Malaysia selama dua dekad, melahirkan anak-anak mereka di negara ini, dan mampu menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Beliau mencadangkan kerajaan Malaysia supaya membenarkan 4,000 pelarian ini memohon kerja di negara ini kerana Malaysia memang kekurangan tenaga kerja.

Teresa yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor berkata bahawa di Selangor sahaja, mengikut Jabatan Buruh terdapat 60,000 peluang pekerjaan.

“Ini membuatkan sesetengah pengusaha industri susah untuk meluaskan lagi perniagaan mereka di Malaysia, memandangkan kekurangan pekerja,” katanya.

Hishamuddin telah dipetik oleh media massa sebagai berkata Malaysia sedia menerima pelarian yang berada di Australia pada bila-bila masa.

Teresa menempelak sikap Hishammuddin sebagai menghina hak asasi manusia hanya kerana wang ringgit.

“Sikap Hishammuddin mengambil secara membabi-buta bersetuju mengambil 800 pelarian itu meletakkan keselamatan risiko tinggi buat Malaysia,” tambahnya. – Roketkini.com