Berita

Monopoli kroni BN bebankan rakyat

PETALING JAYA, 12 OGOS – Monopoli syarikat-syarikat besar di Malaysia tidak membantu menyelesaikan masalah ekonomi, sebaliknya menambahkan lagi penderitaan rakyat yang tidak ada pilihan lain.

Penguasaan Penerbangan Malaysia tidak memberi faedah kepada rakyat yang terpaksa menggunakan perkhidmatannya walau pun mahal manakala monopoli Bernas terhadap beras serta tepung dan gula hanya menyebabkan harga barangan tersebut  naik.

Justeru itu, Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat mahu rakyat menolak monopoli ini agar dapat meningkatkan kecekapan peniaga dan perniagaan melalui persaingan sihat.

Bajet bertemakan ‘Kesejahteraan Untuk Semua’ yang sedang disediakan oleh jawatankuasa itu mahu pengedaran barangan dan perkhidmatan yang lebih sihat dan secara langsung bagi meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong yang mewakili DAP dalam jawatankuasa itu berkata, dengan monopoli yang ada sekarang, rakyat Malaysia merasai kesan kenaikan harga dan tekanan belanja keluarga dalam masa beberapa bulan akan datang ini.

Tambah beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP, yang paling teruk bakal menerima beban dalam industri penerbangan ialah rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak.

“Sepuluh tahun sebelum monopoli ini, rakyat di sana boleh menggunakan Air Asia ke semenanjung melawat keluarga dengan harga yang berpatutan. Kini ia akan berubah.

“Monopoli sebenarnya tidak membenarkan pasaran  bergerak secara mantap dan berkesan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, cabaran paling besar buat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah berhadapan dengan ketidaksamarataan peluang ekonomi yang mana beliau patut selesaikan.

Pendirian Pakatan itu adalah respon terhadap langkah kerajaan melalui Khazanah Nasional menjual saham MAS kepada Air Asia sebanyak 20 peratus kepada pengasas Tune Air Sdn Bhd Tony Fernandes secara ‘penjualan bersilang’ dengan saham Air Asia yang dimiliki Tune Air.

Difahamkan, penjualan saham MAS sebanyak 20 peratus itu akan membentuk monopoli dalam industri penerbangan yang akan menyusahkan rakyat.

Pada 6 Ogos lalu, Pakatan Rakyat mengumumkan bajet Kesejahteraan Untuk Semua sebagai alternatif kepada Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober depan.

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Yang Dipertua PAS Negeri Sembilan Dr Rosli Yaakob dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Selain itu, jawatankuasa tersebut mengumumkan penambahan dua wakil dari setiap parti Pakatan iaitu Zairil dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari DAP, Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Pemuda PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dari PKR.

Dr Dzulkefly menjelaskan Pakatan bersikap tebruka jika Barisan Nasional mahu meniru bajet yang dikemukakan, asalkan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Najib sedar perkara yang kerajaan lakukan adalah salah. Tetapi kenapa beliau masih memberikan kepada kroni membuat keputusan, mungkin ada kena mengena dengan dana politik untuk pilihanraya atau sebagainya,” katanya. – Roketkini.com