Berita

Gas pemedih mata di Hospital Tung Shin: DAP beri keterangan pada polis

PETALING JAYA, 15 OGOS – DAP hari ini memberi keterangan kepada polis mengenai tindakan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air kimia ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur sewaktu perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, beliau bersama Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching telah mengaku kepada polis menjadi saksi kepada kejadian tersebut.

“Saya antara orang-orang yang sedang berteduh dalam tempat letak kereta bertingkat, apabila kami terkena secara terus semburan air kimia daripada lori FRU di Jalan Pudu.

“Pada masa itu, saya nampak seorang anggota polis membuka pintu lori merah itu dan keluar untuk memantau keadaan.

“Apabila anggota polis itu ternampak kami yang berselindung dalam tempat letak kereta yang berbumbung itu, dia terus memasuki lorinya dan menghalakan meriam ke arah kami.

“Kemudian dia. menyembur air kimia. Saya terkena semburan air itu dan kulit saya berasa pedih dan gatal kemudian,” katanya berdasarkan kepada keterangan yang diberikan kepada pihak polis di sini pagi ini.

Zairil dan Teo merupakan dua dari empat saksi yang ditampilkan DAP berhubung kenyataan pihak polis dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan hospital itu perhimpunan Bersih 2.0.

Selain mereka berdua, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dan Setiausaha Antarabangsa DAP Liew Chin Tong adalah antara saksi kejadian yang mewakili parti.

Pada 8 Ogos lalu, DAP menyelar Jawatankuasa Siasatan Dalaman kementerian Kesihatan kerana masih berdolak dalik berhubung kesediaan empat pemimpin DAP bagi membantu jawatankuasa tersebut berkaitan serangan gas pemedih mata oleh polis.

Sehubungan itu, Zairil dan Teo telah memberi kenyataan kepada pihak polis di bawah seksyen 112 iaitu sebagai saksi dalam insiden itu di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini.

Zairil berkata, beliau bersama Teo ke IPD Petaling Jaya setelah mendapat panggilan oleh pihak polis pada 10 Ogos lalu supaya datang memberi keterangan. – Roketkini.com