Berita

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun berhak mengundi

KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Jika Datuk Seri Najib Razak benar-benar ikhlas untuk mereformasikan sistem pilihan raya, mulakan pendaftaran automatik dan menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun dengan segera.

Ketua Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, perkara itu boleh dilaksanakan serta-merta, dan bukan menunggu sehingga enam bulan atau setahun.

“Kalau ini pun tak berani dilakukan, terbukti kerajaan Barisan Nasional hanya pandai tabor janji tapi tak berniat hendak laksanakan apa-apa perubahan yang baik untuk rakyat,” katanya.

Dalam banyak aspek kehidupan, usia 18 tahun sudah dianggap dewasa, malah sesiapa yang mencapai usia itu boleh dihadapkan ke mahkamah sebagai orang dewasa.

Sebaliknya, untuk menentukan masa depan negara, kerajaan hanya membenarkan mereka yang berusia 21 tahun ke atas sahaja untuk mendaftar sebagai pengundi.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata kemungkinan pilihan raya umum bakal diadakan pada Mac atau April tahun hadapan sangat tinggi.

“Sejak dua minggu ini, ramai warga asing penduduk tetap (PR) sudah menjadi warganegara di mana dengan cepat mereka dilayakkan menjadi pengundi,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Ini mencerminkan betapa terdesaknya UMNO dan BN ‘mencipta’ pengundi baru kerana semakin ramai rakyat Malaysia telah menolak mereka berikutan keangkuhan, penyelewengan, salah guna kuasa dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO-BN.

Pua mengumumkan kempen daftar undi anjuran DAP bersama Pakatan Rakyat di 13 lokasi sekitar Lembah Klang pada 20 dan 21 Ogos ini.

Justeru, beliau menggesa agar rakyat Malaysia cepat-cepat mendaftar sebagai pengundi bagi memastikan hak mereka didengari.

“Ini adalah peluang terakhir buat mereka yang belum mendaftar, dan ini adalah bagi memastikan suara anda didengari dan tidak dipinggirkan oleh mereka yang memegang kuasa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, bukan senang untuk Pakatan mengadakan kempen daftar undi kerana selalu diganggu oleh pihak tertentu.

“Jadi, sementara mempunyai tempat untuk mendaftar, kami berharap rakyat Malaysia datang segera mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu menjelaskan tiada guna rakyat bising mengutuk BN jika tidak mendaftar sebagai pengundi dan menunaikan tanggungjawab apabila tiba masa mengundi sewaktu pilihan raya.

Kempen daftar undi akan diadakan hujung minggu ini di:

1. Bangsar

UOA Carrefour Bangsar South (10pg-5ptg)

2. Batang Kali

Pasar Tani Batang Kali (8pg-12tghari) (20 Ogos)

Econsave Batang Kali (12tghari-7ptg) (21 Ogos)

3. Cheras

Pasar Pagi Taman Kenanga (8pg-11pg)

Pasar Pagi Taman Midah (8pg-11pg)

4. Desa Petaling (Seputeh)

Giant, Desa Petaling (10pg-5ptg) (20 Ogos)

5. Kajang

Metro Kajang Shopping Centre (Tingkat 4 Medan Selera) (11.30pg-9mlm)

6. Kapar

44, Jalan Kapar Besar, Kapar (Shoplot) (9pg-3ptg)

7. Klang

Klang Parade (Ren Ren Bookshop, Tingkat 1)  (10pg-10mlm)

8. Pandan

Pasar Pagi Taman Muda (8pg-11pg) (21 Ogos)

9. Petaling Jaya

1Utama Shopping Centre (Tingkat 1, Oval) (10pg-10mlm)

Tropicana City Mall (LG, berdekatan Sweet Florist) (10pg-10mlm)

10. Puchong

IOI Mall (Tingkat Bawah, Old Wing) (10pg-10mlm) 20 Ogos

IOI Mall (Tingkat Bawah, Old Wing) (10pg-3ptg) 21 Ogos

11. Salak South (Seputeh)

Pasar Pagi Salak South New Village (9pg-12tghari) 21 Ogos

12. Sekinchan

Sheng Hui Restaurant (8pg-12tghari) 21 Ogos

13. Subang Jaya

Empire Shopping Gallery (P1, berdekatan eskalator) (10pg-10mlm)