Rencana

Politik BN mengatasi undang-undang -Oleh V. Sivakumar

18 OGOS – Adakah cabang legislatif masih dihormati oleh pemain-pemain politik  negara kita? Apa yang berlaku di Perak telah membuktikan sebaliknya.

Kita mahu semua pihak menghormati dan  mengamalkan tertib yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan undang-undang. Tetapi, jika pihak-pihak tertentu cuba mengatasi batasan undang-undang ini, maka tata cara pentadbiran negara kita akan tergugat.

Apabila ada pihak yang melihat diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan tidak mengikuti prinsip-prinsip yang telah ditetapkan sekian lama, ini akan menzahirkan permainan kotor yang tidak adil dalam gelanggang politik negara kita.

Parti politik menyekat badan perundangan

Kita melihat bagaimana organisasi seperti parti politik cuba membataskan aktiviti dan peranan organisasi rasmi seperti  badan legislatif. Kacau ganggu seperti ini akan melumpuhkan pentadbiran negara, malah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan turut luntur.

Walau pun organisasi tidak rasmi seperti parti politik tidak disebut dalam Perlembagaan, peranannya sebagai pengerak utama kepada jentera rasmi negara kita tidak dapat dinafikan. Namun, permainan politik yang melampau atau keterlaluan boleh menggugat kedudukan organisasi-organisasi rasmi seperti badan perundangan.

Dalam kes negeri Perak, memang permainan politik telah melampaui kuasa badan perundangan . Dewan Undangan Negeri tidak lagi dihormati oleh ahli-ahli politik Barisan Nasional apabila mereka merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Mereka membuat pelbagai helah dan tipu muslihat untuk melanggar semua undang-undang dan perintah-perintah tetap Dewan Undangan Negeri semata-mata untuk kembali berkuasa di negeri Perak.

Kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri dicabar, malah tidak dihormati langsung.  Polis berani melangkah masuk ke dalam Dewan yang mulia untuk mengusung keluar Speaker dengan menggunakan kekerasan.

Dewan Undangan Negeri tidak diberi ruang untuk berfungi menjalankan tanggunjawab Perlembagaan. Ini dapat dilihat dalam sekatan yang dibuat oleh ahli-ahli politik supaya tidak membenarkan Dewan Negeri bersidang pada 3 Mac 2009.

Polis dan jentera kerajaan menghalang wakil rakyat memasuki Dewan Undangan Negeri dan akhirnya terpaksa bersidang di bawah pokok.

Tambahan pula mekanisme untuk membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin juga tidak dilakukan sehingga hari ini.

Kes Datuk Harun di Selangor

Sebagai contoh, Allahyarham Datuk Harun Idris adalah seorang Menteri Besar  yang disukai ramai pada suatu masa dahulu telah dipaksa meletakkan jawatannya  melalui undi tidak percaya yang diluluskan dengan suara terbanyak Dewan Undangan Negeri Selangor pada 25 Mac 1976.

Beliau dijatuhkan oleh ahli-ahli partinya sendiri, iaitu UMNO.  Kejatuhan beliau berpunca daripada tindakan pemimpin kebangsaan parti yang mempengaruhi undi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.  Ini adalah kerana Datuk Harun enggan meletakkan jawatan selepas beliau dipecat daripada parti.

Apa yang cuba dijelaskan di sini ialah pemimpin UMNO pada masa itu tidak memilih jalan pintas untuk melantik Menteri Besar baru.

Proses pengundian dibuat secara demokratik untuk menolak kepimpinan Datuk Harun di dalam Dewan Undangan Negeri itu sendiri. Tindakan ini adalah satu amalan demokrasi yang diguna pakai oleh semua negara-negara Komanwel.

Amalan demokrasi ini tidak dilaksanakan di negeri Perak apabila BN merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat.

Undi tidak percaya tidak pernah dibuat untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Nizar. Malah seorang Menteri Besar telah dilantik di Istana secara tergesa-gesa.

Permainan politik kotor BN ini telah mengganggu perjalanan Dewan Undangan Negeri  di Perak. Akhirnya rakyat Negeri Perak terjerumus ke dalam kemelut politik yang masih tidak selesai sehingga ke hari ini.

Kesan politik kotor BN di Perak

Ekoran daripada itu, Dewan Undangan Negeri tidak dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Pelbagai halangan dan batasan diatur  oleh BN untuk menyelamatkan kerajaan mereka yang ditubuhkan secara haram.

Belanjawan 2009 diluluskan dalam masa 20 minit. Persidangan  Dewan Negeri pada Isnin lalu hanya berlangsung selama lebih kurang 2 jam.

Inilah akibat apabila negeri mendapat kerajaan yang diranpas secara haram. Mandat rakyat kepada Pakatan Rakyat pada 2008 telah dirampas dengan menggunakan kekerasan polis dan campur tangan mahkamah.

Ketakutan kerana tidak mendapat sokongan rakyat kini menghantui pemimpin-pemimin  UMNO dan BN di Perak. Yang berlaku sekarang ialah politik yang melampau ini mencemarkan dan bakal menghancurkan sistem  pentadbiran negara kita yang sedia ada.

Yang menanggung derita dan rugi ialah rakyat sendiri. – Roketkini.com

Penulis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh merangkap Timbalan Pengerusi DAP Perak