Berita

Salam Aidilfitri dari Roketkini

30 OGOS – Roketkini mengucapkan Salam Aidilfitri buat semua umat Islam di Malaysia. Semoga 1 Syawal 1432 Hijrah ini membawa harapan baru untuk kita semua.

Syawal menjelma bukan sahaja untuk dirayakan tetapi juga sebagai medan untuk umat Islam bermaaf-maafan yang mencerminkan hati yang jujur dan ikhlas serta menolak sifat-sifat bongkak, angkuh dan sombong.

Sifat-sifat mulia dari ajaran Islam ini sebenarnya turut dirai dan diamalkan bersama oleh rakyat Malaysia dari pelbagai agama dan kaum. Sifat-sifat ini bersifat universal yang patut kita semua perluaskan lagi demi mewujudkan masyarakat yang berbaik sangka serta berharmoni.

Ajaran Islam menuntut umatnya menolak fitnah, pembohongan dan penipuan; menjauhi perbuatan suka menghasut, mengadu-domba dan mengaibkan sesama manusia; dan menentang kezaliman, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Keagungan prinsip asas Islam ini patut menjadi panduan buat semua rakyat Malaysia kerana ia dapat mengelakkan kita daripada bergaduh atau bersengketa atas perkara-perkara remeh dan kecil yang sebenarnya dapat diselesaikan dengan baik dan mudah melalui perbincangan, dialog dan muzakarah.

Semoga 1 Syawal dapat mengukuhkan semangat kita semua untuk tidak melupakan mereka yang amat memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang kita. – Roketkini.com